Jangan Menyalahkan Orang Lain
- Komuniti Digital 05
- Apr 2
- 1 min read

"...Janganlah kamu hukum orang supaya kamu tidak dihukum...'" (Lukas 6:37b) AVB
Apabila kita melihat daripada terjemahan lain (Terjemahan Lama (TL), Diterjemahkan daripada bahasa Gerika kepada Bahasa Melayu. Lembaga-Lembaga Alkitab yang Bekerjasama, Jakarta 1954, 1965... Dari Alkitab Bode (PB) dan Klinkert (PL)), ayat ini diterjemahkan sebagai “…janganlah hukum orang lain, supaya Allah tidak menghukum kamu juga…”. Ia juga diterjemahkan dengan kata “…jangan menyalahkan orang, nescaya kamu pun tidak akan disalahkan...”
Kata "menyalahkan" merujuk kepada sikap seseorang yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap sesuatu kegagalan atau kesalahan. Dia berusaha mengelakkan dirinya daripada terlibat dalam kegagalan atau kesalahan tersebut, lalu menyalahkan orang lain atas kegagalan itu.
Sikap yang sering kali menyalahkan orang lain atas sesuatu kegagalan atau kesalahan adalah sikap yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab. Seseorang harus bersedia menanggung kegagalan dan kesalahan dengan mengakuinya, tanpa meletakkan kesalahan ke atas orang lain.
Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan orang lain atas sesuatu kegagalan atau kesalahan, supaya kita juga tidak disalahkan. Sebaliknya, kita harus berkata “Ya” sekiranya sesuatu itu benar dan “Tidak” sekiranya sesuatu itu tidak benar.
Marilah kita membina sikap yang bertanggungjawab terhadap sesuatu kegagalan atau kesalahan. Ingatlah bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran segalanya dalam hidup ini. Belajarlah daripada kegagalan dan jangan menyalahkan orang lain.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, memohon pengampunan daripada-Mu sekiranya aku kerap menyalahkan orang lain atas sesuatu kegagalan. Ajar aku untuk bertanggungjawab dalam segala perkara. Di dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments