Jangan Patah Semangat, tetapi Tetap Teguh Hati
- Komuniti Digital 05
- May 16
- 1 min read

Mereka mentertawakan Yesus kerana mereka mengetahui anak itu telah mati. Lukas 8:53 AVB
Sewaktu Yesus sampai di rumah Yairus, Dia menyuruh semua orang yang sedang menangis dan meratap di situ atas kematian anak perempuan Yairus supaya tidak menangis lagi. Sebab anak itu tidak mati, tetapi hanyalah tidur. Orang ramai yang ada di situ mentertawakan Yesus kerana mereka tahu bahawa anak itu sudah meninggal.
Namun demikian, Yesus tidak mempedulikan tertawaan mereka terhadap apa yang dikatakan oleh-Nya, kerana Yesus mengetahui siapa Dia sebenarnya. Dia memegang tangan anak itu dan berseru, "Anak-Ku, bangunlah!" Maka kembalilah roh anak itu dan seketika itu juga dia bangun.
Mungkin kita melalui hal yang sama seperti Yesus sewaktu kita giat melayani Tuhan dan melakukan pekerjaan Tuhan. Orang mentertawakan kita atas pegangan iman kita kepada Tuhan Yesus. Mereka melihat apa yang kita lakukan bertentangan dengan pandangan dunia ini.
Akan tetapi, janganlah mengundur diri atau takut tetapi percayalah kepada Tuhan. Dengan kuasa Tuhan, kita boleh melakukan perkara-perkara yang besar. Oleh itu, fokuskan pendengaran kita kepada firman Tuhan kerana Tuhan boleh menolong kita bila-bila sahaja.
Ingatlah bahawa selagi Tuhan bersama-sama dengan kita, selagi itulah mukjizat Tuhan pasti akan terjadi. Oleh itu, jangan kecil hati apabila orang mengejek dan mentertawakan kita. Tuhan Yesus memihak kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon kekuatan daripada-Mu. Sewaktu aku menghadapi sindiran atau ejekan, aku tidak akan patah semangat atau berasa lemah lalu mengundur diri tetapi akan tetap kuat dan teguh hati. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments