top of page

Jangan Takut untuk Memberikan Teguran

ree

'Berwaspadalah! Jika saudaramu telah berbuat dosa terhadapmu, tegurlah dia dan jika dia bertaubat, ampunilah dia. ' (Lukas 17:3) AVB


Yesus mengingatkan para pengikut-Nya supaya sentiasa memperhatikan diri mereka dan terus berjaga-jaga agar tidak disesatkan. Oleh itu, jika ada saudara seiman yang melakukan kesalahan terhadap mereka, mereka harus menegurnya. Sekiranya orang itu menyesali dosanya, maka mereka harus mengampuninya.


Sebagai pengikut Tuhan Yesus, kita hendaklah berhati-hati terhadap diri sendiri supaya tidak berkata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan iman seseorang menjadi goyah atau lemah. Kita mesti sentiasa berhati-hati dan bijaksana dalam perkataan serta perbuatan supaya tidak sekali-kali menggoncangkan iman orang yang lemah.


Namun Yesus juga menasihatkan agar kita mengambil tanggungjawab terhadap mereka yang telah menyakiti, menghina atau menyinggung kita. Kita tidak boleh membiarkan mereka terus hidup dalam dosa, tetapi perlu menegur dan menasihati mereka dengan kasih, supaya mereka menyedari kesalahan yang telah dilakukan.


Seseorang yang tidak menegur orang lain yang berbuat dosa sebenarnya membiarkan dosa terus menguasai hidup orang itu. Hal ini juga bermaksud bahawa kita turut bersalah kerana tidak menegurnya. Kadangkala seseorang terus berbuat dosa hanya kerana tiada siapa yang berani menegurnya.


Oleh itu, menegur seseorang yang melakukan kesalahan sebenarnya menunjukkan bahawa kita mengambil berat tentang keselamatan rohaninya. Melalui teguran yang diberikan dengan kasih, orang itu boleh sedar akan kesalahannya, bertaubat, dan mendapat kesempatan untuk memperbaharui dirinya.


Janganlah takut untuk memberikan teguran kepada mereka yang melakukan kesalahan, kerana teguran tidak akan memusnahkan seseorang, sebaliknya dapat menyelamatkannya daripada hukuman.


Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih untuk mereka yang berani menegurku. Melalui teguran mereka, aku diselamatkan daripada kuasa dosa dan terus hidup menyenangkan hati-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page