top of page

Jangan Terkejut Dengan Peperangan dan Pemberontakan Terjadi

ree

“…Jangan takut apabila kamu mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan. Semua perkara ini mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba........” Lukas 21:9


Yesus sekali lagi memperingatkan semua pengikut-Nya supaya mereka tidak merasa takut apabila mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan di sana sini. Semua perkara ini memang harus terjadi terlebih dahulu sebelum tiba waktunya, namun hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba.


Oleh itu pengikut-pengikut Yesus tidak perlu takut atau terkejut dengan semua yang berlaku di sekeliling mereka, kerana semuanya ini bukan kesudahannya, tetapi hanya tanda bahawa kesudahannya sudah dekat.


Perkataan “jangan takut” ini diterjemahkan dalam versi lain sebagai “…jangan terkejut, …jangan gentar…”. Apa yang perlu dilakukan oleh pengikut-pengikut Yesus adalah sentiasa berhati-hati terhadap penyesat-penyesat yang muncul dan mengaku bahawa diri mereka adalah Mesias yang datang.


Pengikut Yesus beranggapan bahawa semua yang berlaku merupakan tanda kedatangan Yesus untuk menggenapi keMesiasan-Nya. Oleh kerana tanggapan ini, Yesus menegur mereka supaya bersabar menantikan kedatangan-Nya yang kedua kali.


Apa yang perlu mereka lakukan adalah sentiasa berjaga-jaga dalam hidup mereka terhadap penyesat yang datang menyerupai diri-Nya, supaya mereka tidak disesatkan oleh Mesias palsu yang menyatakan dirinya sebagai Mesias (Kristus, orang yang diurapi Allah secara khusus).


Demikian juga dengan diri kita hari ini, kita tidak harus terkejut dengan peperangan dan pemberontakan yang sedang berlaku, tetapi kita harus berwaspada agar kita tidak disesatkan oleh Mesias palsu pada hari ini.


Doa: Tuhan, ajarlah aku untuk sentiasa berwaspada terhadap penyesat yang muncul pada hari ini dan bukan kepada peperangan serta pemberontakan yang sedang terjadi. Bimbinglah aku, Tuhan, dalam setiap langkah hidup aku. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page