Janganlah Mengabdi Diri Kepada Dua Orang Tuan Pada Masa yang Sama
- Komuniti Digital 05

- Oct 15
- 2 min read

“Seorang hamba tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.” Lukas 16:13 AVB
Tuhan Yesus mengakhiri ibarat-Nya tentang pengurus yang cerdik dengan berkata kepada murid-murid-Nya bahawa tidak ada seorang pun yang dapat bekerja pada satu waktu yang sama kepada dua orang tuan. Sebab dia akan membenci tuan yang satu dan menyukai tuan yang lain. Selain itu, dia akan patuh kepada tuan yang satu dan mengingkari tuan yang lain.
Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Kita tidak boleh menjadi hamba kepada Allah dan pada masa yang sama kita juga menjadi hamba kepada wang. Sebab kita hanya dapat melayani satu tuan sahaja pada satu-satu masa. Seorang hamba yang ingin mengabdi diri kepada Allah tidak dapat menyerah diri yang sepenuhnya kepada Allah sekiranya pada masa yang sama dia juga ingin mengabdi diri kepada wang.
Sebenarnya, Tuhan Yesus menggesa kita untuk mengabdi diri kepada Allah dengan sepenuh jiwa raga. Kita tidak boleh mengasihi atau melayani dua orang tuan sama seperti kita tidak boleh berjalan menuju dua hala yang berlainan pada satu-satu masa. Jika kita memilih untuk mengabdi diri kepada kekayaan, mana boleh kita mengabdi diri kepada Allah. Kalau kita memilih untuk mengabdi diri kepada Allah, janganlah kita mengabdi diri kepada kekayaan pula. Yesus menuntut kejujuran dan kebolehpercayaan daripada kita. Dengan kata lain, kita mengutamakan Allah dalam segala-galanya. Ingat, Allah dan kekayaan dunia ini menuntut kesetiaan dan keutamaan yang saling bercanggah.
Memang kita mungkin ingin ada kedua-dua Allah dan kekayaan, tetapi kita tidak dapat melayani kedua-duanya dengan sepenuh hati. Kita akan membenci yang satu dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang satu dan curang kepada yang lain. Mustahillah kita menjadi hamba Allah dan juga hamba wang. Jika Allah ialah tuan kita, wang ialah hamba kita dan kita akan menggunakan sumber kewangan kita mengikut kehendak Allah. Bagaimanapun, jika Allah bukan tuan kita, kita akan menjadi hamba kepada wang. Betapa malangnya wang dijadikan tuan! Kita akan mensia-siakan hidup. Amalan mengutamakan wang akan membawa kebinasaan rohani tetapi amalan mengutamakan Allah akan membawa berkat yang melimpah ruah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang menyerah seluruh hidupku kepada-Mu. Bimbinglah aku untuk mengikut semua jalan-Mu dalam hidupku. Engkau sahajalah yang terutama dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments