Kedatangan-Nya Telah Dinubuatkan
- Dec 17, 2025
- 2 min read

Baca Daniel 9 dn Galatia 4
Salah satu keindahan Firman Tuhan (Alkitab) adalah ketepatan nubuatannya.
Alkitab bukan sekadar catatan sejarah atau buku moral; ia adalah Firman Tuhan yang diilhamkan oleh Roh Kudus dan firman Tuhan itu hidup, benar, dan dapat dipercayai.
Bukti paling kukuh bahawa Alkitab adalah Firman Allah ialah nubuat-nubuatnya yang digenapi dengan tepat sepanjang sejarah, terutamanya penggenapan nubuat teragung dalam seluruh Perjanjian Lama, iaitu kedatangan Yesus Kristus yang kita rayakan pada hari Natal.
Ratusan tahun sebelum Yesus dilahirkan di Betlehem, Tuhan telah membisikkan janji melalui para nabi. Di taman Eden, selepas manusia jatuh dalam dosa, Tuhan berfirman bahawa satu hari kelak “benih perempuan itu akan meremukkan kepala ular.” (Kejadian 3:15).
Janji Tuhan dalam Kejadian 3:15 merupakan bayangan pertama seorang Penyelamat. Kemudian, melalui nabi Yesaya, Tuhan menjanjikan bahawa seorang anak akan lahir bagi kita, “Dia akan dinamakan Penasihat Ajaib, Tuhan Yang Perkasa, Bapa Yang Kekal, Raja Damai.” (Yes. 9:6).
Dan melalui Daniel, Tuhan menyatakan dengan luar biasa bahawa Mesias akan datang tepat pada waktunya, dihitung dari perintah raja Parsi untuk membangun semula kota Yerusalem, ratusan tahun sebelum kelahiran-Nya.
Segala nubuat ini bertemu dalam satu titik kecil di peta dunia iaitu di palungan kecil di Betlehem. Di sana, Firman menjadi manusia. Di sana, janji menjadi realiti. Di sana, sejarah bertemu dengan kekekalan.
Natal bukan hanya kisah indah tentang malaikat, gembala dan bintang. Natal adalah bukti sejarah bahawa Tuhan menggenapi Firman-Nya. Ia adalah pengesahan bahawa Yesus bukan sekadar guru moral atau nabi, tetapi Dialah Mesias yang dinubuatkan. Dia adalah Tuhan yang menjadi manusia untuk menebus dan menyelamatkan kita.
Sebab itu, jika kita menghargai Natal, kita harus kembali menghargai Alkitab, kerana seluruh kisah keselamatan bermula dan berakhir dengan Firman Tuhan. Alkitab memperkenalkan kepada kita Tuhan yang benar, memberikan pengetahuan yang membawa keselamatan, dan menunjukkan jalan yang tepat menuju syurga.
Kebenaran Alkitab tidak berubah, tidak goyah oleh masa, dan tidak tunduk kepada pandangan manusia. Firman Tuhan berdiri teguh kerana Ia diilhamkan oleh Roh Kudus dan sejarah membuktikannya.
Marilah ketika kita melihat palungan Natal tahun ini, jangan sekadar memandang seorang bayi. Lihatlah ia sebagai kegenapan nubuatan, lihatlah ia sebagai ketetapan janji, dan lihatlah Natal sebagai kasih Tuhan yang datang mencari kita.
Biarlah renungan ini menimbulkan kerinduan baru untuk membuka Alkitab kembali untuk menggali, menyelidiki, dan menemukan dengan mata hati bahawa Yesus Kristus benar-benar Tuhan, Dia telah datang seperti yang telah dikatakan, dan Dia akan datang kembali seperti yang dijanjikan.
Kiranya Roh Kudus menolong kita melihat keindahan Firman-Nya dan membawa kita lebih dekat kepada Dia yang datang untuk menyelamatkan. Selamat menyambut perayaan dan ibadah Natal 2025. Syukur kepada Tuhan yang menepati setiap janji-Nya.
Yesus Kristus, Tuhan untuk semua orang dari semua bangsa. Oleh Gembala Jubilie Apin (Pena Rajawali) Sumber : Facebook @ jubilie apin




Comments