top of page

Saya Lemah, Tuhan Kuat

  • Mar 31
  • 2 min read

Kisah Rasul Petrus sebelum Kristus disalibkan merupakan sebuah kisah yang amat menarik.


Sebelum penyaliban, Petrus berkata dengan penuh keyakinan,

“Sekalipun aku harus mati bersama-sama Engkau, aku tidak akan menyangkal Engkau” (Matius 26:35).


Kata-kata ini kedengaran mulia dan penuh kesetiaan, namun di sebaliknya tersembunyi satu kelemahan yang halus, iaitu penekanan pada perkataan “aku”. Petrus meletakkan keyakinannya pada dirinya sendiri. Dia yakin dengan hatinya, percaya pada kekuatannya, dan menyangka dia mampu bertahan tanpa menyedari betapa mudahnya hati manusia berubah.


Tidak lama kemudian, ayam berkokok. Dalam tekanan dan ketakutan, Petrus jatuh dan menyangkal Yesus sebanyak tiga kali. Bukan kerana dia tidak mengasihi, tetapi kerana dia juga manusia biasa. Kisah ini bukan hanya tentang Petrus, tetapi juga tentang kita.


Dalam kehidupan seharian, kita sering melihat bagaimana manusia begitu yakin dengan diri sendiri. Contoh mudah seperti ahli politik yang ketika berkempen menjanjikan pelbagai perkara dengan penuh keyakinan, namun apabila diberi kuasa, janji itu tidak ditepati. Ini mengingatkan kita bahawa manusia, walau seyakinnya, tetap terbatas dan tidak sempurna.


Di sinilah Paskah membawa kebenaran yang membebaskan. Yesus datang untuk menyelesaikan apa yang tidak mampu kita lakukan, dan memampukan kita hidup dalam anugerah-Nya. Manusia yang tidak berdaya, yang cuba menjadi benar melalui perbuatan sendiri, akhirnya diselamatkan bukan oleh usaha sendiri, tetapi melalui pekerjaan Kristus di kayu salib.


Selepas kebangkitan, Yesus tidak menolak Petrus, malah memulihkannya dengan kasih. Petrus akhirnya memahami bahawa kekuatan sejati bukan datang dari diri, tetapi daripada Tuhan.


Paskah mengajar kita untuk mengubah cara kita melihat diri sendiri, bukan lagi berkata, “Saya kuat, saya mampu,” tetapi, “Saya lemah, tetapi Tuhan kuat.” Bukan lagi, “Saya tidak akan jatuh,” tetapi, “Tuhan, peganglah saya supaya saya tidak jatuh.” Semoga kita belajar untuk terus bergantung teguh kepada Kristus, bukan sahaja dalam kelemahan, tetapi dalam seluruh kehidupan.


Sumber : Facebook @ edmund kumar

Comments


bottom of page