Keinginan Allah untuk Kita Semua
- Komuniti Digital 05
- 3 days ago
- 2 min read

“Aku berkata kepadamu bahawa begitu jugalah kegembiraan di syurga kerana seorang yang berdosa bertaubat lebih daripada kegembiraan ke atas sembilan puluh sembilan orang yang benar yang tidak perlu bertaubat.” Lukas 15:7 AVB
Tuhan Yesus mengisahkan ibarat ini kepada mereka yang bersungut-sungut bahawa Dia menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka. “Jika seorang antara kamu mempunyai seratus ekor domba lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga ditemukannya. Setelah dia menemukannya, dia memikul domba itu di atas bahunya. Setibanya di rumah, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya lalu berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan domba aku yang hilang itu.’
Ibarat tentang domba yang hilang digunakan oleh Yesus untuk memberitahu orang ramai betapa Allah sangat gembira apabila melihat orang bertaubat dan kembali kepada-Nya. peDemikian juga seharusnya dengan diri kita terhadap orang yang bertaubat dan kembali kepada Allah. Kita patut berasa sangat gembira apabila kita melihat seseorang memutuskan untuk bertaubat daripada dosanya dan kembali kepada Allah. Sebab pertaubatan merupakan keinginan Allah bagi semua orang di dunia ini. Dia amat bersabar dengan kita kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa tetapi Dia ingin semuanya bertaubat dan kembali kepada-Nya.
Sesungguhnya, seseorang yang terus hidup dalam dosa bagaikan domba yang hilang atau sesat. Dia sesat langkah daripada naungan dan perlindungan Allah, yang seharusnya mendapat penghormatan serta pengabdian daripadanya. Dia seperti domba yang menyimpang lalu terpisah daripada kawanan domba yang lain.
Domba yang sesat akan berkeliaran di merata-rata tempat kerana sudah kehilangan arah tuju, sehingga dia tidak lagi tahu di mana dirinya sedang berada. Dia berjalan ke sana ke mari dalam kebingungan. Dia tidak lagi selamat, bahkan dalam bahaya dan terancam oleh binatang buas. Hal ini menyebabkan dia sentiasa berasa takut dan ngeri kerana dia jauh daripada perlindungan gembalanya dan dia sendiri memang tidak dapat menemukan jalan untuk kembali kepada gembala atau kawanannya.
Syukurlah, Allah datang mencari dan membawa kita pulang kepada-Nya. Itulah sebabnya Dia mengutus Anak Tunggal-Nya, iaitu Tuhan Yesus untuk mencari dan menyelamatkan kita yang hilang.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas anugerah penyelamatan-Mu. Engkau mengutus Anak-Mu Yesus Kristus untuk mencari dan menyelamatkan aku daripada hukuman dosa. Bimbinglah aku dalam setiap langkahku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments