Kekhuatiran Tidak Dapat Melanjutkan Usia
- Komuniti Digital 05

- Aug 8
- 1 min read

“Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir?” Lukas 12:25 AVB
Tuhan Yesus sekali lagi memperingatkan murid-murid-Nya tentang kekhuatiran yang menjejaskan kesejahteraan hidup banyak orang, terutamanya kekhuatiran tentang keperluan jasmani sehari-hari mereka. Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka:
“Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai. Hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian. Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir?”
Jelaslah bahawa Yesus menggesa setiap murid-Nya supaya tidak memberikan ruang sedikit pun dalam hidup untuk dibebani oleh kekhuatiran. Sebab kekhuatiran tidak sekali-kali dapat mengubah keadaan seseorang ataupun memanjangkan umurnya walaupun sesaat.
Oleh itu, mereka harus menyingkirkan segala kekhuatiran yang melanda hati mereka. Sebab setiap kekhuatiran yang timbul dalam hati mereka tidak dapat menghasilkan apa-apa pun yang baik bagi hidup mereka hari ini atau esok. Demikian juga kekhuatiran tidak dapat membantu mereka untuk memperoleh apa-apa pun yang diingini mereka. Dengan kata lain, kekhuatiran sebenarnya sia-sia sahaja.
Selain itu, kekhuatiran menyebabkan ketenangan dalam hati kita terganggu atau tergugat sehingga kita tidak dapat berfikir dengan baik. Jadi, lepaskanlah segala kekhuatiran dalam hati kita kepada Allah. Sebaliknya, simpanlah kebenaran firman Allah dalam hati kita. Sebab dengan tersematnya kebenaran firman Allah dalam hati, maka kita akan tetap percaya kepada Allah dan menjadi tenang serta damai sejahtera.
Usahlah khuatir…
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, tolonglah bebaskan aku daripada perasaan khuatir. Berilah aku hati yang sentiasa percaya dan berharap kepada-Mu dalam segala perkara. Aku insaf bahawa kekhuatiran hanya mendatangkan tekanan kepada jiwa dan tidak dapat melepaskan aku daripada masalah hidup ini. Ajarlah aku bersandar teguh kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments