top of page

Kepada Siapakah kita Menyembah?

Nov 9
2 min read

Seorang pemimpin pujian sedang menyanyi di tengah kabut dan cahaya laser yang begitu banyak, lalu muncul ayat sindiran, “Let’s set aside distractions,” seolah-olah gangguan itu sendiri sudah menjadi sebahagian daripada suasana ibadah. Walaupun kelihatan lucu, gambar ini sebenarnya membawa kita kepada satu persoalan yang serius: dalam ibadah kita, apakah yang sebenarnya sedang menjadi pusat perhatian, Tuhan atau suasana?


Kita hidup dalam zaman di mana pengalaman visual dan bunyi sangat mudah mempengaruhi manusia. Lampu, kabut, laser, skrin besar, muzik yang kuat, susunan pentas dan pelbagai teknologi boleh membuat sesuatu perhimpunan kelihatan sangat menarik. Semua perkara ini tidak semestinya salah. Alkitab tidak mengatakan bahawa menggunakan alat muzik, lampu atau teknologi adalah dosa. Persoalannya bukan semata-mata tentang adanya teknologi, tetapi apakah fungsi semua itu dalam ibadah.


Yesus berkata, “Allah itu Roh dan barangsiapa menyembah Dia, harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran” (Yohanes 4:24). Ini menunjukkan bahawa ibadah bukan sekadar tentang perasaan atau suasana yang menyentuh hati. Ibadah mesti berakar dalam kebenaran tentang siapa Tuhan.


Kadang-kadang kita menganggap ibadah itu “kuat” kerana muziknya kuat, lampunya menarik atau suasananya membuat kita merinding. Tetapi emosi yang kuat tidak semestinya bermaksud kita sedang menyembah dengan benar. Kita boleh tersentuh oleh muzik, tetapi hati kita masih jauh daripada Tuhan.


Sebab itu Paulus berkata, “Segala sesuatu harus berlangsung dengan sopan dan teratur” (1 Korintus 14:40). Dalam ibadah, segala sesuatu harus membantu jemaat melihat kepada Tuhan, bukan menjadikan manusia dan persembahan sebagai pusat perhatian.


Pemimpin pujian bukanlah penghibur. Pemuzik bukanlah bintang utama. Teknologi juga bukan pusat ibadah. Semuanya hanyalah alat untuk mengarahkan hati jemaat kepada Tuhan.


Kolose 3:16 juga mengingatkan bahawa nyanyian Kristian harus dipenuhi dengan “perkataan Kristus”. Ertinya, lagu yang kita nyanyikan bukan hanya untuk membangkitkan emosi, tetapi juga menyampaikan kebenaran, mengajar dan menguatkan iman.


Jadi, bukan persoalan sama ada gereja menggunakan lampu, kabut atau laser. Persoalannya ialah: adakah semua itu membantu kita melihat kemuliaan Kristus, atau semakin mengalihkan perhatian kita daripada-Nya?


Jangan sampai kita terlalu sibuk menciptakan suasana untuk “merasakan Tuhan”, tetapi kurang memberi perhatian kepada firman Tuhan.


Oleh: Pr. Edmund Kumar

Sumber: Facebook@Renungan@Edmund Kumar

Comments


bottom of page