top of page

Kerajaan Allah Itu Bersifat Rohani

'Terdapat beberapa orang Farisi bertanya kepada Yesus bila kerajaan Allah akan datang dan Yesus menjawab, “Kerajaan Allah tidak datang dengan tanda-tanda yang dapat dilihat. ' (Lukas 17:20) AVB


Pada suatu hari, beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan bertanya kepada-Nya, bilakah Kerajaan Allah akan datang. Yesus menjawab mereka, “Kerajaan Allah tidak datang dengan tanda-tanda yang dapat dilihat. Tiada orang akan berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau ‘Lihatlah di sana!’ kerana kerajaan Allah sebenarnya ada di dalam kamu.”


Bagi bangsa Yahudi, kerajaan Allah yang akan datang difahami sebagai kerajaan yang bersifat duniawi, sebuah kerajaan sementara yang akan meninggikan bangsa Yahudi di atas segala bangsa di bumi ini. Namun, apa yang mereka bayangkan itu sangat berbeza dengan maksud kerajaan yang dimaksudkan oleh Yesus.


Kerajaan Allah yang dimaksudkan oleh Yesus bukanlah kerajaan duniawi yang bersifat sementara atau lahiriah, tetapi kerajaan yang bersifat rohani, kerajaan yang tidak mempunyai tanda-tanda lahiriah seperti kerajaan-kerajaan dunia ini.


Kerajaan Allah yang ingin Yesus dirikan di antara manusia ialah kerajaan yang berkuasa untuk mempengaruhi jiwa, membangkitkan dan membaharui hati nurani mereka melalui kuasa-Nya.


Oleh itu, marilah kita membuka hati agar Kerajaan Allah memerintah dalam kehidupan kita, kerana pemerintahan-Nya akan mengubah hidup kita menjadi seseorang yang penuh kasih, sukacita, damai sejahtera, sabar, murah hati, baik terhadap orang lain, setia, rendah hati, serta sanggup menguasai diri.


Doa: Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Ajarlah aku untuk membuka hati kepada-Mu, agar kerajaan-Mu terus berkuasa dalam hidupku dan mengubah keperibadianku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page