top of page

Ketaatan Lebih Penting Daripada Kejayaan

  • Apr 28
  • 2 min read

Sebuah Perkongsian Peribadi dalam Pelayanan


“Yang dituntut daripada pelayan-pelayan ialah supaya mereka didapati setia.” 1 Korintus 4:2


Semakin lama saya melayani Tuhan, semakin saya sedar bahawa ukuran Tuhan sangat berbeza dengan ukuran manusia.


Pada awal pelayanan dahulu, saya juga seperti kebanyakan orang berfikir bahawa keberhasilan pelayanan diukur melalui angka. Berapa ramai yang hadir? Berapa banyak jiwa yang percaya? Berapa lokasi Penginjilan baru yang dibuka? Berapa banyak pelayanan yang berjaya disiapkan?


Tanpa sedar, saya mula menilai diri saya dengan standard “besar” dan “banyak”. Tetapi Tuhan perlahan-lahan membetulkan hati saya.


Saya masih ingat satu musim pelayanan di kawasan pedalaman. Perjalanan jauh, jalan rosak, kos tinggi, dan hasilnya kelihatan kecil. Kadang hanya beberapa orang sahaja yang hadir. Tidak ada laporan yang “mengagumkan”.


Secara manusia, ia terasa seperti kegagalan. Namun setiap kali saya mahu berkecil hati, ayat ini kuat dalam hati saya: “Yang dituntut daripada pelayan-pelayan ialah supaya mereka didapati setia.”


Tuhan tidak berkata “didapati berjaya.” Tuhan berkata “didapati setia.” Di situlah perspektif saya berubah. Saya teringat gambaran dua petani.


Seorang memiliki tanah luas tetapi jarang menjaganya. Seorang lagi hanya memiliki tanah kecil, tetapi setiap hari dia menyiram, membersih, dan menjaga dengan tekun. Akhirnya, yang kecil itu lebih berbuah. Saya sedar sebuah pelayanan tu mungkin tidak selalu besar, tetapi kita boleh memilih untuk setia.


Setia datang awal. Setia melawat walaupun hanya satu keluarga. Setia mengajar walaupun cuma tiga orang pelajar. Setia berdoa walaupun tiada siapa melihat. Setia menulis laporan walaupun nampak remeh.


Saya belajar bahawa ketaatan dalam perkara kecil itulah yang sebenarnya membentuk karakter seorang pelayan Tuhan.


Ada masa mungkin kita tergoda untuk mengejar “pelayanan besar” sehingga hampir mengabaikan tanggungjawab kecil di hadapan kita. Sehinggalah Roh Kudus menegur kita dengan lembut: “Jangan kejar perkara besar sehingga lupa setia pada yang kecil.”


Kerana kita tahu: Kejayaan sering menarik perhatian manusia. Tetapi kesetiaan sentiasa menarik hati Tuhan. Manusia mungkin hanya melihat hasil. Tuhan melihat hati. Manusia meraikan pencapaian. Tuhan menghargai ketaatan.


Jika Tuhan beri satu jiwa kita tetap setia. Jika Tuhan beri tugas yang tidak dikenali orang kita tetap setia.


Kerana pada akhirnya, apabila kita berdiri di hadapan Tuhan nanti, saya percaya Dia tidak akan bertanya: “Berapa besar pelayananmu?” Tetapi Dia akan bertanya: “Adakah engkau setia?”


Hari ini saya belajar untuk: Menyelesaikan satu tugas dengan sepenuh hati. Melakukan perkara biasa dengan kesetiaan luar biasa. Taat walaupun tiada siapa melihat


Kerana dalam Kerajaan Allah, ketaatan kecil hari ini membentuk buah besar esok hari.


Oleh Pr Jerry Ignacio

Sumber : Whatsapp Channel @ jerry ignacio

Comments


bottom of page