Ketika Dunia Tidak Menentu, Kepada Siapa Kita Bergantung?

Semakin lama saya terlibat dalam kepimpinan dan pelayanan, semakin saya menyedari bahawa tanggungjawab seorang pemimpin bukan sekadar membuat keputusan, menyusun perancangan atau menyelesaikan masalah. Ada waktunya kita berhadapan dengan keadaan yang jauh lebih besar daripada kemampuan dan pengalaman kita sendiri.
Ketika merenungkan 2 Raja-Raja 19:1–19, saya tertarik dengan tindakan Raja Hizkia sewaktu menghadapi ancaman kerajaan Asyur. Dia tidak menafikan bahaya yang sedang dihadapi bangsanya. Sebaliknya, dia membawa surat ancaman itu ke Rumah Tuhan dan membentangkannya di hadapan-Nya.
Tindakan Hizkia mengajar saya bahawa kepimpinan yang matang bukan bermaksud kita mampu mengawal segala-galanya, tetapi mengetahui kepada siapa kita harus bergantung ketika keadaan berada di luar kawalan.
Apabila melihat keadaan dunia hari ini, kita berhadapan dengan pelbagai ketidakpastian. Peperangan, konflik politik, tekanan ekonomi, peningkatan kos kehidupan serta penyebaran khabar angin dan maklumat yang belum disahkan semakin mempengaruhi pemikiran masyarakat.
Malah, ada yang terlalu cepat membuat ramalan tentang peperangan dunia, keruntuhan ekonomi dan akhir zaman. Sebagai orang Kristian, kita perlu peka terhadap perkembangan dunia, tetapi tidak seharusnya membiarkan ketakutan menguasai iman dan pertimbangan kita. Yesus sendiri mengingatkan dalam Matius 24:6 bahawa kita akan mendengar tentang peperangan dan khabar-khabar peperangan, tetapi jangan menjadi gelisah.
Dalam pengalaman pelayanan, saya melihat bahawa cabaran juga datang dalam pelbagai bentuk. Ada keperluan pelayanan yang melebihi kemampuan kewangan, ada pelayan yang memerlukan perhatian, ada perancangan yang tidak berjalan seperti diharapkan, dan ada keputusan yang perlu dibuat dengan penuh hikmat. Situasi seperti ini mengingatkan saya kepada Hizkia. Dia tidak membiarkan ancaman menentukan arah kepimpinannya, sebaliknya membawa pergumulannya kepada Tuhan.
Saya juga belajar bahawa seorang pemimpin tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan tekanan, emosi atau khabar angin. Kita perlu menyelidiki fakta, mendengar dengan teliti, berdoa dan bertindak secara bertanggungjawab.
Gereja juga mempunyai peranan yang penting dalam keadaan dunia sekarang. Kita bukan dipanggil untuk menambahkan ketakutan masyarakat, tetapi membawa pengharapan, kebenaran dan kasih Kristus melalui perkataan serta tindakan kita. Semua ini membawa saya menilai kembali kehidupan dan kepimpinan sendiri.
Adakah saya lebih bergantung kepada pengalaman daripada Tuhan? Adakah saya terlalu sibuk menyelesaikan masalah sehingga terlupa membawa pergumulan kepada-Nya? Adakah pelayanan saya sedang membina keyakinan orang kepada Tuhan atau sekadar kepada kemampuan seorang pemimpin?
Dalam 2 Raja-Raja 19:19, Hizkia memohon pertolongan bukan semata-mata demi keselamatan bangsanya, tetapi supaya semua kerajaan mengetahui bahawa Tuhanlah satu-satunya Allah.
Di sinilah saya belajar bahawa tujuan tertinggi kepimpinan Kristian bukanlah mempertahankan nama, kedudukan atau pencapaian peribadi, tetapi memuliakan Tuhan melalui tanggungjawab yang dipercayakan kepada kita. Dunia mungkin semakin tidak menentu, tetapi iman kita tidak seharusnya ditentukan oleh ketidakpastian dunia.
Kita tidak mampu mengawal segala perkara yang akan berlaku, tetapi kita boleh memilih untuk terus setia, berhikmat, berdoa dan memimpin dengan hati yang bergantung kepada Tuhan.
Akhirnya, saya semakin memahami bahawa pemimpin yang kuat bukanlah pemimpin yang tidak pernah mengalami ketakutan, tetapi pemimpin yang tidak membiarkan ketakutan mengatasi imannya kepada Tuhan.
Persoalannya, ketika dunia semakin dipenuhi ketidakpastian, adakah kita sedang membina umat yang takut kepada keadaan dunia, atau umat yang semakin teguh mengenal Tuhan?
“...supaya segala kerajaan di bumi mengetahui, bahwa hanya Engkau sendirilah Allah, ya TUHAN.” — 2 Raja-Raja 19:19
Oleh: Pr Jerry Ignacio
Sumber: Whatassap Channel@Renungan@Pr Jerry Ignacio




Comments