Ketua Saumaah Marah Kepada Yesus
- Komuniti Digital 05
- 16 hours ago
- 1 min read

Tetapi ketua saumaah itu marah kerana Yesus telah menyembuhkan orang pada hari Sabat. Lalu dia berkata kepada orang ramai, “Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabat.” Lukas 13:14 AVB
Tuhan Yesus telah menyembuhkan seorang perempuan yang sakit selama 18 tahun pada hari Sabat akibat dirasuk oleh roh jahat. Maka ketua rumah ibadat menjadi marah kepada Yesus. Sebab hari Sabat merupakan hari yang kudus mengikut hukum Taurat. Oleh itu, mereka harus menjaga kesucian hari Sabat.
Selama enam hari mereka melakukan segala pekerjaan tetapi pada hari ketujuh, iaitu hari Sabat mereka tidak dibenarkan melakukan pekerjaan apa-apa pun kerana enam hari lamanya TUHAN mencipta langit dan bumi lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh. Itulah sebabnya TUHAN memberkati hari Sabat dan menjadikannya suci. Tindakan Yesus yang meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu untuk menyembuhkannya dianggap sebagai bekerja, justeru Dia dituduh melanggar kesucian hari Sabat. Pada pendapat ketua saumaah itu, Yesus telah melanggar hukum Taurat dan tidak menghormati hari Sabat.
Jadi, ketua saumaah itu bukannya gembira menyaksikan penyembuhan perempuan tersebut tetapi menjadi sangat marah pula. Lalu dia berkata kepada orang ramai, “Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabat.”
Pertanyaan untuk diri kita pada hari ini ialah apa yang menyebabkan diri kita sangat marah kepada seseorang? Mungkinkah kita salah faham atau buruk sangka? Marilah kita secara jujur menyelidiki fikiran dan hati kita. Janganlah mudah marah tanpa usul periksa kerana kemarahan tidak mendatangkan apa-apa keuntungan bagi diri kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ciptalah hati yang bersih dalam diriku dan pulihkan semangat waja dalam jiwaku. Berilah aku hati yang mengasihi-Mu dan melihat segala perkara menurut pandangan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments