top of page

Keutamaan Dalam Hidup Kita

 

ree

“Seorang yang lain lagi berkata, ‘Aku baru berkahwin. Oleh itu, aku tidak dapat datang.’ ” Lukas 14:20 AVB

 

Satu alasan lagi daripada orang yang menolak jemputan untuk menghadiri jamuan besar yang diadakan ialah dia baru sahaja berkahwin. Dengan itu, dia tidak dapat datang untuk menghadiri jamuan itu. Sebagaimana yang diketahui,  persediaan untuk perkahwinan orang Yahudi dirancang dan diatur dengan sangat teliti sekali. Lelaki tersebut sudah tentu mengetahui bila dia akan melangsungkan perkahwinan. Jadi, awal-awal lagi dia tidak patut bersetuju untuk menerima jemputan untuk jamuan besar itu dan kemudian tidak mahu menghadirinya pula.

 

Bersama pasangan baharu untuk mengurus rumah tangga setelah berkahwin bukanlah sesuatu yang salah di hadapan Allah tetapi Allah tidak harus diketepikan dalam hubungan suami isteri kerana Dia haruslah menjadi yang terutama dalam rumah tangga. Perbuatan lebih mengutamakan pasangan daripada Allah merupakan sesuatu yang  bertentangan dengan kehendak-Nya. Ingatlah bahawa pasangan hidup merupakan pemberian yang baik daripada Allah.

 

Siapakah yang merupakan orang yang terpenting dalam hidup anda pada hari ini? Apakah jemputan dan panggilan Allah penting bagi dirimu hari ini atau sebaliknya? Sewaktu Allah menjemput anda, siapakah yang kamu utamakan dalam hidup anda?

 

Tuhan Yesus telah membayar harga yang sangat mahal untuk menyediakan anugerah penyelamatan bagi setiap kita. Apakah kita telah mendengar jemputan dan panggilan-Nya kepada kita saat ini? Atau kita berkata, Minta maaf, aku baru sahaja …..”?

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku atas kesalahanku yang tidak mengutamakan Engkau dalam hidupku. Sering kali aku mengutamakan kepentingan peribadiku.  Ajarlah aku untuk sentiasa menjadikan Engkau sebagai yang terutama dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page