Melalui Iman, Kita Mampu Melakukan Hal yang Besar
- Komuniti Digital 05

- 3 days ago
- 2 min read

'Tuhan menjawab, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu akan dapat berkata kepada pokok ara ini, ‘Tercabutlah akar-akarmu dan tertanamlah kamu di laut,’ dan pokok ara akan menurut perintahmu.” ' (Lukas 17:6) AVB
Yesus memberikan jaminan kepada para pengikut-Nya tentang kuasa iman. Walaupun iman yang mereka miliki hanya sebesar biji sawi, mereka tetap dapat berkata kepada pokok ara, “Tercabutlah dan tertanamlah di laut,” dan pokok itu pasti akan menurut perintah mereka.
Yesus berkata demikian kerana memberi pengampunan kepada seseorang yang terus-menerus melakukan kesalahan terhadap kita memerlukan iman yang besar. Mengampuni berulang kali bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, namun dengan iman yang teguh, seseorang mampu terus memberi pengampunan tanpa rasa jemu.
Yesus ingin menjelaskan kepada para pengikut-Nya bahawa iman bukan sekadar soal besar atau kecilnya, tetapi bagaimana iman itu dinyatakan melalui tindakan. Menegur orang yang bersalah dan terus memberi pengampunan memerlukan iman yang hidup dan aktif.
Oleh itu, setiap pengikut Yesus perlu memiliki kepekaan terhadap dosa dan kesediaan untuk mengampuni tanpa batas. Yang penting bukanlah ukuran iman kita, tetapi bagaimana iman itu dikerjakan dalam ketaatan kepada Tuhan.
Sebab melalui iman kepada-Nya, seseorang akan mampu mengatasi setiap rintangan yang dihadapi. Iman yang benar menjadikan perkara yang mustahil menjadi mungkin, kerana kuasa anugerah Tuhan bekerja melalui mereka yang bergantung sepenuhnya kepada-Nya.
Iman yang sekecil biji sawi pun dapat melakukan perkara besar, kerana seperti biji sawi yang kecil tetapi mampu tumbuh menjadi pohon yang besar, demikian juga iman kita yang kecil mampu membangkitkan kuasa Tuhan bekerja di dalam diri kita apabila kita yakin dan percaya sepenuhnya kepada-Nya.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, kerana melalui iman yang Engkau berikan, Engkau memampukan aku melakukan perkara-perkara besar. Ajarlah aku untuk terus percaya kepada-Mu dalam segala hal. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments