Memberi Ruang Dalam Ketidaksiapan
- Komuniti Digital

- Dec 19, 2025
- 3 min read

Natal selalu membuat kita fikir tentang damai, tenang, dan harapan.
Tentang suasana yang indah dan cerita yang kita sudah dengar sejak kecil. Tetapi Natal tahun ini buat saya merenung dengan lebih mendalam.
Semalam, ketika saya berkongsi firman Tuhan tentang kisah Maria dan Yusuf, saya sedar satu perkara penting - Tuhan tidak menunggu hidup manusia selesai atau tersusun sebelum Dia datang.
Maria dan Yusuf sendiri tak siap pada awalnya. Keadaan tidak jelas. Emosi bercelaru. Reputasi dipersoalkan. Masa depan terasa kabur. Everything felt messy.
Bayangkan situasi mereka: Maria mengandung sebelum mereka sah menjadi suami isteri, dan Yusuf, yang tunanginya itu, harus membuat keputusan paling sukar iaitu menerima Maria sebagai isteri, walaupun bagi pandangan manusia itu akan merosakkan reputasi.
Tetapi mereka berkata “ya” kepada rencana Tuhan. Mereka taat kepada rancangan Allah.
Dan saya bertanya pada diri sendiri, jika Tuhan menunggu Maria dan Yusuf untuk “siap”, apakah yang akan berlaku kepada keselamatan manusia? Apa yang akan berlaku kepada masa depan kita? Mungkin Natal yang kita kenal sekarang tidak akan terjadi.
Hidup kita hari ini pun sama.
1. Ada yang tidak siap dari segi kewangan - hutang belum habis, simpanan tak ada, hidup cukup-cukup makan.
2. Ada yang emosi masih bersepah - penat, burnout, senyum di luar tapi kosong di dalam.
3. Ada yang hubungan rumah tangga belum selesai - dingin, banyak diam, luka lama belum sembuh.
4. Ada yang sedang bergumul dalam percintaan - hubungan tak pasti, putus yang belum sembuh, doa tentang pasangan yang terasa sunyi.
5. Ada ibu bapa yang rasa gagal - anak makin besar, tenaga makin kurang, hati makin letih.
6. Ada yang masih datang gereja dan melayani, tapi jiwa sudah penat dan kering.
7. Ada yang masih bergumul dengan dosa lama, rasa malu, rasa tak layak.
8. Ada yang hidupnya masih kabur - kerja, masa depan, doa yang belum dijawab.
9. Dan ada juga yang sedang menanggung duka yang orang lain tak nampak.
Dalam semua ini, kita selalu cakap:
“Nanti bila hidup saya siap sikit.”
“Nanti bila semuanya okay.”
“Nanti bila hati saya sudah tenang.”
Tapi Natal mengingatkan saya, Tuhan jarang menunggu hidup kita selesai atau tersusun.
God entered the mess.
Bukan selepas semuanya selesai, tetapi tepat di tengah “ketidaksiapan”.
Selepas berkongsi firman semalam, saya melihat respon yang sangat menyentuh hati. Ramai yang meresponi - mereka mahu Tuhan masuk ke dalam keadaan hidup mereka sekarang, bukan versi hidup yang sudah siap atau sempurna.
Baru mereka sedar bahawa justeru ketika hidup kita belum siaplah kita benar-benar belajar menerima kehadiran Yesus. Dan di situlah makna Natal menjadi lebih hidup bukan sekadar perayaan, tetapi pertemuan.
Natal bagi saya hari ini bukan tentang perfect vibes, hiasan cantik, atau suasana ideal. Tetapi tentang memberi ruang kepada Tuhan walaupun hidup masih belum atau tidak teratur. Taat dahulu, baru kita faham rancangan-Nya, seperti Maria dan Yusuf.
Lihat apa yang terjadi apabila Yusuf dan Maria taat dan dengar panggilan Tuhan? Yesus lahir. Rencana keselamatan manusia dimulai. Masa depan kita terbuka. Natal menjadi nyata bagi kita semua.
Itu sebab ketaatan mereka mengubah sejarah.
Dan itu juga mengingatkan kita: hidup belum siap bukan alasan untuk menolak Tuhan masuk. Sebaliknya, ketaatan kita hari ini membuka pintu bagi berkat yang tidak kita jangka.
Kalau hidup kamu sekarang merasa tak siap, mungkin ini adalah titik dimana Tuhan ingin bertemu dengan kamu - maybe that’s exactly where God wants to meet you.
Selamat menyambut Natal dengan hati yang terbuka.
Matius 1:18-22 AVB
KELAHIRAN KRISTUS
“Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus: Ibu-Nya, Maria bertunang dengan Yusuf, tetapi sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan, ternyata Maria mengandung melalui Roh Kudus. Yusuf, seorang yang salih, tidak mahu memalukan Maria di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam. Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi bahawa malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, “Hai Yusuf, anak Daud! Janganlah takut mengambil Maria sebagai isterimu kerana anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Kudus. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.” Segala ini berlaku supaya terlaksanalah firman Tuhan melalui nabi-Nya: “Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, dan mereka akan menamai Dia Immanuel” yang bererti, Allah menyertai kita dalam bahasa Ibrani. Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maria. Tetapi Yusuf tidak bersentuh dengan Maria sebagai isterinya hinggalah Maria melahirkan Anak itu. Yusuf menamai Anak itu Yesus.”
Oleh Pr Apriathy Asong




Comments