top of page

Selamat Hari Krismas!

Krismas akhirnya sampai. Malam ini, esok sepanjang hari, kita akan rasakan kemeriahan yang tidak terungkapkan. Apa maksud Krismas “in a nutshell”?


Apakah mesej Krismas seringkas-ringkasnya? Mungkin mesej itu tidak terlalu sukar, kerana ia ditemukan dalam ayat hafalan Sekolah Minggu — Yohanes 3:16.

“Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini sehingga Ia mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal (Yesus Kristus), supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak akan binasa melainkan memperoleh hidup yang kekal.”


Mesej yang ringkas dan jelas!


1. Allah mengasihi dunia.

Dunia merangkumi manusia yang berdosa, jahat, memberontak, najis, keji — pembunuh, perogol, penghisap syabu, pencuri dan sebagainya. Tetapi kasih yang Allah ada dalam hati-Nya, dalam diri-Nya, bukan kasih sentimental. Kasih sentimental berubah-ubah mengikut musim; kasih Allah tidak berubah — ia tetap, tidak berganjak dari keberadaan Allah.


Kasih ini, sama seperti kasih seorang bapa, ialah kasih yang membawa perubahan, menuntut perubahan, dan menghasilkan perubahan bagi manusia. Anak yang degil dan nakal tetap dikasihi bapanya — justeru dirotan demi kebaikan anak itu. Demikian juga kasih Allah: bukan kasih yang sekadar membelai dan mencium, melainkan kasih yang kuat dan teguh dalam membawa perubahan ke dalam dunia ini.


2. Tetapi kasih itu bukan hanya ungkapan.


Kasih itu bukan sekadar lafazan emosi. Kasih itu dibuktikan melalui pemberian — penganugerahan Anak-Nya yang tunggal, Yesus Kristus. Kasih yang hanya dalam kata-kata tidak mempunyai erti. Itulah sebabnya budaya memberi hadiah pada musim Krismas diadakan — sebagai bukti kasih sayang.


Demikian juga dalam percintaan: bukti cinta adalah dalam sikap saling memberi! Bukan sekadar bercakap, tetapi ada sesuatu yang nyata. Pada Krismas pertama, Allah memberi Anak-Nya — suatu hadiah yang nyata dan sangat berharga. Allah memberikan Anak-Nya sebagai Juruselamat, Kristus dan Tuhan bagi dunia. Ini bukan NATO — No Action, Talk Only!


3. Dalam pemberian Anak-Nya, Allah turut memberi janji dan harapan.

Hidup yang kekal ditawarkan kepada setiap orang yang percaya kepada Anak-Nya. Benda senang jangan dirumitkan. Itulah yang selalu saya katakan ketika memandu. Dalam hidup ini, dan untuk akhirat, benda yang senang jangan dirumitkan!


Allah sudah memberikan janji yang pasti dan benar. Percaya kepada Yesus Kristus, Anak Tunggal Allah, dan kamu akan memperoleh hidup yang kekal. Hidup yang kekal ialah hidup di syurga, dan juga hidup yang terubah di bumi. Yang dahulunya mencuri, tidak lagi mencuri. Yang dahulunya mabuk, tidak lagi menjadi pemabuk.


Apa yang dialami dalam hidup kekal ialah “a taste of heaven” — satu senduk syurga dirasai di sini, yang menghasilkan kerinduan berterusan untuk syurga yang akan datang. Pengampunan, hidup baru, syurga — janji yang manis dan indah. Percaya kepada Yesus Kristus.


Pada hari Krismas ini, kiranya kita mengenal kasih Allah, melihat dan percaya kepada pemberian Anak-Nya, serta menikmati janji-Nya, iaitu hidup yang kekal.


Selamat Hari Krismas!

Merry Christmas!

Kotobian Tadau Krismas!

Maayong Pasko!

Joyeux Noël!


Sumber : Facebook @ Edmund Kumar Gambar : Gereja Buduk Nur, Ba Kelalan

Comments


bottom of page