top of page

Dimanakah Damai Sejahtera Yang Dijanjikan Tuhan

“… Damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.” (Lukas 2:14, AVB)


Di manakah damai sejahtera yang dijanjikan Tuhan? Tembakan dan pembunuhan. Kerja penat, tetapi duit dalam bank tidak cukup untuk keluarga menyambut Natal. Ahli keluarga masih terbaring di atas katil hospital. Di manakah damai sejahtera?


Tidak dapat dinafikan, inilah realiti kehidupan kita yang dicemari dosa. Tiada satu hari pun yang sempurna. Ada sahaja yang tidak betul. Malah, kadangkala batin dan jiwa penat untuk bangun dari katil bagi memulakan kehidupan seharian.


Namun, “Allah mendengar keluhan mereka dan mengingati perjanjian-Nya.” Allah tidak lupa mahupun meninggalkan kita. Dia mendengar, Dia tahu, Dia ingat. Sebab itu Dia menganugerahkan Yesus kepada kita sebagai bukti bahawa Dia mendengar keluhan kita dan mengingati segala janji-Nya terhadap kita.


Yesus bukan sahaja Anak Allah yang biasa, tetapi juga Anak yang Bapa kasihi dan berkenan (Lukas 3:22). Namun, kehidupan Yesus di bumi ini tetap bukan damai sejahtera sepanjang masa. Semasa masih kanak-kanak, Yesus sudah menjadi sasaran utama Raja Herodes untuk dibunuh. Dalam pelayanan-Nya, Mesias sering kali menghadapi ancaman daripada ramai orang, termasuk orang Farisi dan ahli-ahli Taurat yang fasih tentang ciri-ciri seorang Juruselamat. Pada malam terakhir-Nya, Dia yang tidak menganiaya sesiapa dikhianati dan ditinggalkan oleh murid-murid-Nya. Pada hari terakhir-Nya, Dia disalibkan.


Sang Putera yang dikenan tinggi oleh Bapa-Nya tetap menderita sengsara. Namun, inilah keindahan Injil. Bapa rela mengorbankan Anak Kesayangan-Nya agar kita yang “berkenan pada hati-Nya” memperoleh kehidupan kekal. Anak Domba yang dikenan sanggup “mengetepikan martabat diri-Nya” agar kita diselubungi “jubah perbenaran” yang dibasuh dengan darah-Nya. Kita yang dikenan oleh Bapa Allah dan Anak Allah dimeteraikan dengan Roh Kudus sebagai “jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah”.


Damai sejahtera bukanlah sebuah damai tanpa pergumulan, namun disebabkan Kristus datang, dalam kesusahan dan pergumulan kita tetap ada damai sejahtera. Bumi yang penuh dengan dosa mempunyai damai sejahtera kerana Juruselamat telah lahir bagi kita, hidup bagi kita, mati bagi kita, dan bangkit bagi kita. Dan seperti Yesus Kristus yang dikenan oleh Bapa, kita pasti akan bersama-sama dengan Bapa di Langit Baru dan Bumi Baru nanti, di mana tiada lagi penyeksaan mahupun penganiayaan. Di Langit Baru dan Bumi Baru nanti, kita akan memuji dan menyembah Allah bersama-sama dengan malaikat yang mengkhabarkan Injil damai sejahtera kepada para gembala dahulu. Kemuliaan bagi Allah di tempat yang Maha Tinggi.


Sumber : Facebook @edmund kumar

Comments


bottom of page