Mencipta Pembohongan bagi Menakut-nakutkan
- Komuniti Digital 05

- Sep 9
- 1 min read

Pada masa itu beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan berkata, “Pergilah dari sini ke tempat yang lain. Herodes hendak membunuh-Mu.” Lukas 13:31 AVB
Tuhan Yesus didatangi oleh beberapa orang Farisi yang berpura-pura sangat mengambil peduli tentang keselamatan-Nya. Mereka menasihati Yesus untuk segera pergi dari Galilea, wilayah kekuasaan Herodes. Kononnya Herodes hendak membunuh-Nya.
Apa yang menghairankan ialah Yesus menjawab sedemikian kepada mereka, “Pergilah beritahu si musang, ‘Pada hari ini dan esok Aku menghalau roh-roh iblis serta menyembuhkan orang tetapi pada hari ketiga Aku akan menyelesaikan tugas-Ku.’ Namun demikian, Aku harus meneruskan perjalanan pada hari ini, esok dan lusa.”
Sebenarnya, Herodes tidak pernah berkata begitu tentang Yesus, tetapi semuanya ini hanyalah pembohongan yang dirancangkan oleh orang Farisi terhadap Yesus. Sebab Yesus semakin disukai banyak orang dan mangancam kedudukan mereka. Oleh itu, mereka ingin sekali mengusir Yesus dari Galilea. Itulah sebabnya mereka mendesak Yesus untuk pergi dari Galilea.
Orang Farisi pun mula berusaha sedaya upaya untuk menakut-nakutkan Yesus dengan pesan yang direka oleh mereka sendiri untuk mengancam keselamatan-Nya agar Yesus akan segera pergi meninggalkan kawasan itu. Yesus bukan sahaja tidak memperlihatkan rasa takut terhadap Herodes, malah Dia memberitahu kumpulan orang Farisi itu untuk menyampaikan pesan-Nya kepada “si musang”, iaitu Herodes yang licik bahawa Dia akan tetap meneruskan pelayanan-Nya sehingga selesai.
Apakah respons anda terhadap pesan yang dicipta oleh seseorang yang tidak suka kepada diri anda pada hari ini? Oleh itu, sewaktu anda menerima amaran atau pesan daripada seseorang yang anda tahu tidak suka kepada anda, doakan hikmat daripada Allah untuk membimbing anda.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, berilah aku hikmat untuk mengenal pasti setiap amaran atau pesan yang aku terima daripada orang di sekelilingku pada hari ini agar aku akan bertindak menurut jalan dan kehendak-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments