Mengejar Keseronokan akan Menghancurkan Diri Sendiri
- Komuniti Digital 05
- 1 day ago
- 1 min read

“Anak bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.’ Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu.” Lukas 15:12 AVB
Seterusnya, Tuhan Yesus menceritakan ibarat tentang anak lelaki yang hilang. Seorang bapa mempunyai dua orang anak lelaki. Anak bongsu berkata kepada bapanya, ‘‘Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.’’ Terang-terang anak bongsu tidak sabar menanti lagi sehingga si bapa meninggal dunia. Dia cuma ingin cepat-cepat mendapatkan bahagian harta pusakanya.
Apabila si bapa mendengar permintaan anak bongsunya, dia tidak menyoalnya atau menolak permintaannya dengan memberikan alasan tertentu tetapi dia terus membahagikan hartanya kepada kedua-dua orang anaknya. Dengan mengambil bahagian harta pusakanya, anak bongsu secara tidak langsung menyatakan bahawa dia tidak mahu hidup lagi di bawah kuasa dan naungan bapanya selain ingin bebas memuaskan keinginan hatinya untuk hidup berseronok-seronok.
Oleh sebab anak bongsu leka mengejar keseronokan hidup, maka tanpa disedari dia telah ditarik masuk ke dalam kehancuran. Hatinya yang berlonjak-lonjak untuk memperoleh bahagian harta daripada bapanya telah menyebabkan dia tidak menaruh hormat kepada bapanya, bahkan dia dikira biadap kerana dia seolah-olah mengharapkan kematian bapanya. Perbuatan si anak bongsu jelas membawa aib kepada keluarganya kerana dia hilang sabar untuk memperoleh bahagian hartanya sebelum masa yang sewajarnya.
Demikian juga dengan diri kebanyakan kita pada hari ini. Kadang-kadang kita tidak sabar-sabar untuk menunggu waktunya. Kita sering kali terdorong oleh keinginan hati kita untuk bertindak terburu-buru untuk memperoleh apa yang kita kejar dalam hidup kita. Oleh sebab kita tidak sabar, maka hidup kita menjadi hancur atau musnah.
Betapa pentingnya kita belajar untuk bersabar dan jangan bertindak mengikut keinginan hati kita tetapi hendaklah mengikut kehendak Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, tolonglah aku untuk bersabar dan menanti waktu-Mu dalam segala perkara. Bimbinglah aku untuk mengikut jalan-Mu yang benar sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments