Menolak Utusan-Nya Bererti Menolak Tuhan Yesus
- Komuniti Digital 05

- 17 hours ago
- 1 min read

“…Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi para penyewa ladang memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong....” Lukas 20:10
Yesus menceritakan sebuah perumpamaan kepada para imam, ahli Taurat dan pemimpin Yahudi tentang “…seseorang yang telah menanami sebuah kebun anggur, lalu menyewakan kebun anggur itu kepada beberapa petani, kemudian pergi ke negeri yang jauh untuk waktu yang lama.”
Perumpamaan ini menegaskan bahawa hanya Tuhan sahaja yang memiliki hak dan kuasa sepenuhnya, kerana Dialah Pemilik kebun anggur itu. Para penyewa bukanlah pemilik ladang tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap hamba-hamba yang diutus oleh pemilik ladang.
Sebaliknya, penyewa-penyewa ladang sepatutnya menghormati hamba-hamba pemilik kebun yang diutus untuk menerima hasil bagiannya. Namun mereka memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong.
Perumpamaan ini menggambarkan sikap para imam, ahli Taurat dan pemimpin orang Yahudi yang bertindak seperti penyewa-penyewa ladang anggur—mereka menolak utusan Tuhan. Mereka memperlakukan dengan kasar para nabi yang diutus oleh Tuhan, seperti penyewa yang memperlakukan hamba pemilik ladang.
Oleh kerana penolakan dan ketidakpercayaan mereka terhadap nabi-nabi Tuhan, maka hukuman Tuhan datang ke atas mereka.
Bagaimana pula dengan diri kita hari ini? Adakah kita menolak lawatan Tuhan dan uluran tangan Yesus dalam hidup kita? Atau adakah kita terus berkeras menentang-Nya?
Marilah kita tunduk kepada kuasa Tuhan Yesus dan menerima jemputan keselamatan serta anugerah-Nya dalam hidup kita hari ini.
Doa: Tuhan, aku datang kepada-Mu. Buka mata rohani aku agar aku melihat bahawa Engkaulah Tuhan yang berkuasa dalam hidup ini. Engkaulah Pemilik segala yang aku miliki dalam hidup ini. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments