Merendahkan Diri, Bukan Meninggikan Diri
- Sofea Anne
- Sep 14
- 2 min read

“Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan yang merendahkan diri akan ditinggikan.” Lukas 14:11 AVB
Tuhan Yesus merumuskan ibarat-Nya tentang jamuan perkahwinan dengan berkata kepada mereka yang bersama dengan-Nya, “Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan yang merendahkan diri akan ditinggikan.
Kata-kata hikmat ini mengajar setiap kita supaya tidak memikirkan atau mencari hal yang indah-indah dan yang tinggi-tinggi bagi diri kita dengan tujuan untuk bermegah-megah, terutamanya dalam konteks hidup sehari-hari sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus. Biarlah kita berpuas hati dengan hal yang biasa-biasa sahaja bagi diri kita dan bukan hal yang berlebih-lebihan.
Sebab orang yang meninggikan diri akan direndahkan, sedangkan orang yang merendahkan diri akan ditinggikan. Betapa kita harus sentiasa merendahkan diri kita di hadapan Allah dengan tidak mengejar penghormatan bagi diri kita sendiri tetapi mengutamakan orang lain dalam segala perkara. Dengan kata lain, kita melihat orang lain lebih penting daripada kita.
Biasanya, individu yang mementingkan diri merupakan orang yang angkuh, degil dan memikirkan dia lebih baik daripada orang lain. Sikap begitu akan membawa kesan buruk kepada diri sendiri.Sebaliknya, seseorang yang rendah diri akan menerima pujian kerana kerendahan diri mendahului penghormatan. Dalam ibarat Yesus seorang tetamu duduk di tempat yang paling belakang. Kemudian tuan rumah datang mempersilakannya ke tempat yang lebih baik. Dengan itu, dia mendapat penghormatan di hadapan semua orang jemputan itu.
Oleh itu, hiduplah dengan rendah diri. Jika kita merendahkan diri di bawah kuasa Allah, Dia akan meninggikan kita pada waktu yang ditetapkan-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, tolonglah aku sentiasa merendahkan diri supaya aku dapat melihat kekuatan dan kebaikan orang lain. Ajarlah aku untuk tidak hanya memusatkan hatiku kepada kepentingan diri sendiri tetapi kepada kepentingan orang lain. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments