Orang Berasak-asak hendak Memasuki Kerajaan Allah
- Komuniti Digital 05

- Oct 18, 2025
- 2 min read

“Sebenarnya, hukum Taurat dan kitab segala nabi berkuat kuasa sehingga zaman Yohanes. Semenjak itu, perkhabaran baik tentang kerajaan Allah diberitakan, dan orang berasak-asak hendak memasukinya.” Lukas 16:16 AVB
Kata-kata Tuhan Yesus ini menunjukkan bahawa Dia ingin mengalihkan perhatian-Nya daripada orang Farisi yang terus mencemuh dan mengejek ajaran-Nya kerana Dia mengambil berat dan menyambut para pemungut cukai dan orang yang dianggap najis. Golongan yang dipandang hina ini lebih tergerak untuk menerima Injil-Nya berbanding dengan orang Farisi yang tamak dan sombong.
Sebelum kemunculan Yohanes Pembaptis, kehendak Allah adalah agar semua orang menjalani hidup mereka menurut hukum Taurat dan kitab-kitab nabi. Bagaimanapun, zaman hukum Taurat dan kitab segala nabi itu berakhir dengan Yohanes Pembaptis kerana dalam pelayanannya, dia memperkenalkan Yesus kepada orang ramai dan memberitakan perkhabaran baik tentang kerajaan Allah sehingga mendorong orang ramai berebut-rebut untuk masuk ke dalam kerajaan Allah.
Orang Farisi beranggapan bahawa mereka sahaja yang memiliki kebenaran dan penyelamatan, sehingga mereka meninggikan diri. Kerap kali mereka bermegah bahawa mereka sangat mentaati hukum Taurat. Sedihnya, orang Farisi bukan sahaja menolak pelayanan Yohanes Pembaptis yang mengajar orang ramai tentang pertaubatan untuk pengampunan dosa, mereka juga tidak menerima Yesus yang ditulis dan dinubuat oleh Nabi Musa.
Tidaklah bermaksud bahawa hukum Taurat dan ajaran nabi-nabi tidak lagi berguna, tetapi kedatangan Yesus adalah untuk menyempurnakan hukum Taurat dan ajaran nabi-nabi. Pendek kata, Yesus tidak datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi tetapi untuk menunaikan segala-galanya. Menurut-Nya, selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku.
Berita baik yang disampaikan oleh Yohanes Pembaptis telah menarik banyak orang untuk menjadi umat kerajaan Allah. Mereka sangat merindukan penyelamatan dan hidup kekal bagi diri mereka. Mereka tidak teragak-agak untuk menerima berita baik sungguhpun mereka menghadapi halangan dan pertentangan daripada pemimpin agama, seperti orang Farisi. Hal ini telah menyebabkan mereka berasak-asak atau berusaha keras untuk memasuki kerajaan Allah.
Bagaimanakah dengan diri kita? Adakah kita juga berasak-asak hendak memasuki kerajaan Allah biarpun kita mungkin menghadapi pelbagai cabaran dan penganiayaan?
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas anugerah penyelamatan-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku. Aku bersyukur bahawa penyelamatan itu diberikan secara percuma melalui iman kepada Tuhan Yesus tanpa apa-apa usahaku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments