Pelajaran Dari Malinsau
- 6 days ago
- 2 min read

Dalam dua hari lawatan kerja saya ke Kawasan Malinsau, hati saya benar-benar disentuh oleh satu realiti yang tidak boleh dinafikan ada jiwa-jiwa yang haus dan lapar akan kebenaran Firman Tuhan. Mereka mungkin sederhana dari segi kehidupan, terbatas dari segi kemudahan, tetapi kerinduan mereka kepada Tuhan begitu tulus dan mendalam.
Saya melihat sendiri bagaimana jemaat berkumpul dengan penuh kesungguhan bukan kerana program yang hebat, bukan kerana fasiliti yang selesa, tetapi kerana mereka rindu akan hadirat Tuhan. Setiap doa yang dinaikkan, setiap pujian yang dinyanyikan, dan setiap Firman yang didengar, dilakukan dengan hati yang lapar dan terbuka.
Pengalaman ini mengingatkan saya bahawa apabila seseorang benar-benar mengalami kasih Tuhan, hidupnya pasti berubah. Seperti kata-kata ini: “When someone truly experiences God's love, their way of life begins to change…”
Di Malinsau, saya melihat perubahan itu nyata. Dalam keterbatasan, mereka tetap memberi. Dalam kekurangan, mereka tetap melayani. Dalam kesederhanaan, mereka tetap mengampuni dan mengasihi. Ini bukan sesuatu yang dibuat-buat tetapi ini adalah respon dari hati yang telah disentuh oleh kasih karunia Tuhan.
Saya belajar satu perkara penting: kehidupan yang berkelimpahan bukan bermula dari perubahan keadaan, tetapi dari penyerahan hati sepenuhnya kepada Tuhan. Jemaat di Malinsau mungkin tidak memiliki banyak dari segi dunia, tetapi mereka memiliki sesuatu yang sangat bernilai iaitu hati yang telah dipulihkan oleh kasih Tuhan. Dan dari hati yang dipenuhi kasih karunia itulah, memberi bukan lagi beban… melayani bukan lagi paksaan… tetapi menjadi respon yang semula jadi.
Ini juga menjadi cermin bagi saya sendiri. Apakah saya masih melayani dengan hati yang penuh syukur? Atau pelayanan sudah menjadi rutin tanpa rasa? Apakah saya memberi kerana terpaksa… atau kerana saya telah mengalami kasih-Nya?
Lawatan ini bukan sekadar perjalanan pelayanan ini adalah teguran lembut dari Tuhan. Bahawa di tempat-tempat yang kita anggap “kecil”, Tuhan sedang melakukan perkara yang besar. Bahawa di tengah kekurangan, Tuhan sedang membentuk hati yang kaya dalam kasih karunia. Dan bahawa respon kita terhadap kasih Tuhan akan menentukan arah hidup dan pelayanan kita.
Hari ini, saya ingin mendorong setiap pembaca: Jika anda benar-benar telah mengalami kasih Tuhan, jangan tahan respon itu. Ampuni walaupun sukar. Layani walaupun penat. Memberi walaupun terasa kurang. Kerana hidup yang berkelimpahan tidak diukur dari apa yang kita miliki, tetapi dari hati yang telah diubahkan oleh kasih-Nya...
Oleh Pr Jerry Ignacio
(Penyelaras Penginjilan dan Misi SIB Sabah) Sumber : Whatsapp channel @ jerry ignacio




Comments