top of page

Pemimpin Yang Di Pimpin Oleh Firman

  • May 7
  • 2 min read

Perkongsian Peribadi dalam Kepimpinan dan Pelayanan


Ada waktu-waktu tertentu dalam perjalanan pelayanan di mana kita benar-benar tidak tahu langkah seterusnya yang harus diambil. Dalam pelayanan dan kepimpinan, kita sering berhadapan dengan keadaan yang tidak pasti perancangan yang belum jelas, sumber yang terhad, dan cabaran di lapangan yang tidak kita jangka.


Dalam saat-saat seperti itu, saya teringat akan firman Tuhan dalam Mazmur 119:105: “Firman-Mu adalah pelita bagi kakiku dan terang bagi jalanku.”


Ayat ini sangat sederhana, tetapi maknanya sangat mendalam bagi seorang pemimpin dan pelayan Tuhan. Tuhan tidak selalu menunjukkan seluruh perjalanan di hadapan kita. Dia tidak memberi peta lengkap untuk sepuluh tahun akan datang. Tetapi Dia memberikan pelita cahaya yang cukup untuk langkah seterusnya.


Dalam pengalaman saya melayani di lapangan, khususnya ketika melawat kawasan-kawasan pedalaman, ada banyak keputusan yang perlu dibuat dengan cepat.


Kadang saya bertanya dalam hati, “Tuhan, apakah ini langkah yang benar?” Dalam keadaan seperti itu, saya belajar satu prinsip penting dalam kepimpinan rohani: Pemimpin yang berjalan bersama Tuhan tidak bergantung pada kepastian keadaan, tetapi pada kepastian firman Tuhan.


Firman Tuhan menjadi panduan yang menenangkan hati. Ketika kita membaca, merenungkan, dan hidup menurut firman-Nya, Roh Kudus memberi hikmat untuk membuat keputusan yang tepat walaupun kita tidak melihat keseluruhan jalan di hadapan kita.


Saya juga belajar bahawa kepimpinan dalam pelayanan bukan tentang mengetahui semua jawapan. Sebaliknya, kepimpinan rohani adalah tentang berani melangkah dengan iman ketika firman Tuhan sudah memberi arah.


Ada masa kita hanya melihat satu langkah di depan, tetapi itu sudah cukup. Jika kita setia pada langkah kecil yang Tuhan tunjukkan hari ini, Tuhan sendiri yang akan membuka jalan untuk langkah seterusnya.


Dalam perjalanan pelayanan, saya semakin menyedari satu kebenaran: Firman Tuhan bukan hanya untuk dibaca, tetapi untuk dijadikan kompas dalam setiap keputusan hidup dan pelayanan.


Ketika pemimpin berjalan dipimpin oleh firman Tuhan, dia tidak berjalan dalam kegelapan. Walaupun masa depan belum jelas, hatinya tetap tenang kerana dia tahu siapa yang memegang jalan itu.


Renungan untuk kita semua: Jika hari ini anda tidak pasti tentang langkah seterusnya dalam hidup atau pelayanan, jangan panik dan jangan terburu-buru. Kembali kepada firman Tuhan.


Kerana ketika firman Tuhan menerangi langkah kita, walaupun hanya satu langkah pada satu masa, itu sudah cukup untuk membawa kita sampai ke tujuan yang Tuhan sediakan.


Pemimpin yang dipimpin oleh Firman tidak pernah tersesat kerana Tuhan sendiri adalah terang bagi jalannya.


Oleh Pr Jerry Ignacio

Sumber : Whatsapp channel@ jerry ignacio

Comments


bottom of page