top of page

Penghalang Untuk Menerima Jemputan Allah

ree

“Tetapi masing-masing mula berdalih. Yang pertama berkata, ‘Aku telah membeli sebuah ladang dan aku harus pergi ke sana. Aku minta maaf.” Lukas 14:18 AVB


Setelah salah seorang jemputan itu berkata, “Diberkatilah orang yang akan dijamu dalam kerajaan Allah”, Tuhan Yesus menceritakan ibarat tentang jamuan besar. Yesus berkata kepadanya bahawa ada seorang yang mengadakan jamuan besar dan dia menjemput ramai orang. Apabila tiba masanya, dia menyuruh hambanya pergi memberitahu para jemputannya supaya datang kerana semuanya siap sedia.  Sedihnya, masing-masing mula berdalih untuk membatalkan kehadiran mereka kerana ada tuntutan lain yang lebih penting daripada jemputan itu. 


Yang pertama berkata, ‘‘Aku telah membeli sebuah ladang dan aku harus pergi ke sana. Aku minta maaf.’’   Oleh sebab dia baru sahaja membeli sebuah ladang, dia terburu-buru untuk pergi melihat ladang itu sehingga dia tidak lagi ada masa untuk menghadiri jamuan yang diadakan. Perkara yang penting di hatinya hanyalah keinginan untuk memastikan ladangnya dalam keadaan yang baik dan bukan untuk memenuhi undangan jamuan makan itu. 


Begitu juga pada hari ini hati banyak orang dipenuhi dengan keinginan duniawi, seperti bercita-cita menambah harta benda, memiliki rumah demi rumah dan membeli ladang demi ladang. Malangnya, mereka menolak untuk mendengar panggilan Injil. Mereka memberikan alasan demi alasan bagi menghindarkan diri mereka daripada mendengar suara Tuhan Yesus yang mengetuk pintu hati mereka. Jika mereka membuka pintu, Dia pasti akan masuk ke dalam hidup mereka.


Mereka memilih untuk melakukan sesuatu yang bukan untuk kepentingan orang lain, tetapi untuk kepentingan dan kesenangan diri sendiri, tanpa memperhitungkan akibat penolakan mereka terhadap undangan itu. 


Adakah anda sudi untuk menerima undangan yang telah disediakan untuk anda hari ini?


Doa: 

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk mengutamakan Engkau dalam semua yang aku lakukan agar nama-Mu dimuliakan. Berilah aku kekuatan dan kemampuan untuk tidak hidup menurut sifat tabi yang berdosa tetapi hidup menurut Roh Kudus. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page