top of page

Pengucapan Syukur, Penyataan Hati Kita kepada Tuhan

ree

'Seorang daripada mereka ketika melihat dirinya sembuh, kembali dan memuji Allah dengan suara yang kuat. ' (Lukas 17:15) AVB


Ketika salah seorang daripada sepuluh orang yang menghidap penyakit kulit yang teruk menyedari bahawa dirinya telah sembuh, dia segera berpatah balik kepada Tuhan Yesus untuk mengucap syukur. Dia sedar bahawa kesembuhan yang dialaminya datang daripada Tuhan.


Oleh kerana kesedaran akan siapa dirinya dan siapa Tuhan yang menyembuhkannya, dia kembali kepada Yesus untuk menyatakan rasa syukur atas apa yang telah terjadi dalam hidupnya. Dia tahu bahawa hanya Tuhan sahaja yang berkuasa menjadikan segalanya berlaku. Kesedaran inilah yang mendorongnya untuk datang kepada Tuhan terlebih dahulu, sebelum meneruskan perjalanannya untuk diperiksa oleh imam bagi pengesahan kesembuhan.


Pengucapan syukurnya kepada Tuhan Yesus merupakan hal yang sangat penting baginya, melebihi perkara-perkara lain. Sikap bersyukur adalah suatu penyataan dalaman seseorang tentang betapa dia menghargai segala yang diterima dalam hidup ini.


Hal ini juga merupakan tanda pengakuan dan penyataan hati kita kepada Tuhan, bahawa kita benar-benar menghargai segala yang telah dilakukan-Nya dalam hidup kita. Kita mengakui bahawa segala yang kita terima dan alami dalam kehidupan ini datangnya daripada Tuhan. Oleh itu, selama Tuhan hidup dalam kehidupan kita, kita hendaklah sentiasa mengucap syukur kepada-Nya dalam segala perkara, agar kita tidak pernah melupakan-Nya.


Kita perlu sentiasa menyedarkan diri bahawa segala yang kita miliki dan alami dalam hidup ini datang daripada Tuhan. Dengan kesedaran itu, kita akan terus hidup dalam rasa syukur kepada-Nya sepanjang kehidupan kita.


Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk sentiasa mengucap syukur dalam hidup ini. Sedarkanlah aku bahawa segala yang aku miliki dan alami datangnya daripada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page