top of page

Percayalah Kepada Tuhan Yesus untuk Menolong Kita


Seorang lelaki yang bernama Yairus, iaitu ketua saumaah datang kepada-Nya. Dia sujud pada kaki Yesus dan memohon kepada-Nya supaya datang ke rumahnya kerana anak perempuan tunggalnya yang berumur dua belas tahun hampir mati. Lukas 8:41-42 AVB

 

 Sewaktu Tuhan Yesus kembali ke seberang Tasik Galilea, orang ramai datang menyambut-Nya kerana mereka sudah menanti-nantikan diri-Nya. Antara mereka ada seorang yang bernama Yairus. Dia ketua saumaah, iaitu rumah ibadat tempatan. Yairus datang kepada Tuhan Yesus lalu sujud pada kaki-Nya. Dengan rendah hati dia memohon supaya Yesus datang ke rumahnya kerana satu-satu anak perempuannya yang berumur dua belas tahun, sakit dan hampir meninggal.

 

Sementara Yesus masih lagi berkata-kata kepada orang ramai, seorang utusan yang datang dari rumah Yairus memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan telah mati. Tidak usah menyusahkan Guru lagi.”

 

Namun begitu, apabila Yesus mendengar berita buruk daripada utusan tersebut,  Dia memberitahu Yairus, “Jangan takut,  percaya sahaja dan anakmu akan dipulihkan.” 

 

Apabila Yesus tiba di rumah Yairus, Dia tidak membenarkan sesiapa pun masuk dengan-Nya kecuali Petrus, Yohanes, dan Yakobus serta ibu bapa  si anak perempuan. Lalu Yesus menyuruh semua orang yang sedang menangis dan meratapi kematian anak Yairus, supaya berhenti menangis, kerana anak itu bukan mati tetapi dia cuma tidur! 

 

Ketika mendengar kata-kata Yesus, semua orang mentertawakan-Nya kerana mereka tahu bahawa anak itu sudah meninggal. Akan tetapi, Yesus memegang tangan anak itu lalu berseru, “Anak-Ku, bangunlah!” Roh anak itu kembali dan seketika itu juga dia bangun. Lalu Yesus menyuruh mereka memberikan makanan kepada anak itu.

 

Sebagai orang yang mengenal Yesus secara peribadi, kita harus percaya tanpa ragu-ragu bahawa dalam Yesus segala perkara dapat kita hadapi dan tangani. Dengan itu, janganlah takut dan menjadi ragu apabila terdengar ejekan atau sindiran orang lain tetapi percayalah sepenuhnya kepada Tuhan Yesus untuk menghulurkan pertolongan kepada kita tepat pada masanya.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan dan pertolongan-Mu. Sering kali aku khuatir dan takut menghadapi cabaran serta tentangan dalam hidup ini. Ya Tuhan, ajarlah aku untuk percaya dan beriman sepenuh hati kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page