Perkara yang Besar Bermula Daripada Perkara yang Kecil
- Komuniti Digital 05

- Aug 29
- 1 min read

Yesus berkata, “Serupa apakah kerajaan Allah dan dengan apakah dapat Aku bandingkannya?” Lukas 13:18 AVB
Tuhan Yesus menceritakan ibarat tentang bagaimana rupanya kerajaan Allah kepada orang ramai kerana pada masa itu terlalu banyak orang yang masih buta dan keliru tentang kerajaan yang diperintah Allah.
Oleh itu, Yesus menjelaskan kepada orang ramai bahawa kerajaan Allah seumpama biji sesawi yang dibawa oleh seseorang dan ditabur di dalam kebunnya. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok lalu burung di udara membuat sarang pada dahan-dahannya. Memang biji sawi itu sangat kecil saiznya, bahkan paling kecil antara semua benih. Akan tetapi, apabila tumbuh, ia akan menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung di udara datang membuat sarang pada cabangnya untuk berteduh.
Demikian juga tanggapan banyak orang yang memiliki prasangka atau prejudis terhadap Injil sehingga mereka enggan menerimanya. Sebab pada permulaan mereka menganggapnya sebegitu kecil. Begitulah pandangan mereka terhadap Yesus. Mereka bertanya, "Betulkah orang ini (Yesus) boleh menyelamatkan kita?" dan "Adakah Injil-Nya benar dan boleh dipercayai?”
Tidak hairanlah Yesus ingin melenyapkan segala pandangan sempit, meleset dan merugikan terhadap diri-Nya dengan meyakinkan mereka bahawa meskipun pada mulanya kerajaan Allah itu kelihatan sangat kecil, namun pada akhirnya kerajaan Allah itu akan menjadi sangat besar sehingga banyak orang akan tertarik untuk memasukinya dan beroleh penyelamatan.
Ingatlah, jangan menilai sesuatu itu daripada luaran sahaja, tetapi alihkan pandangan kepada Allah kerana segala perkara yang besar bermula daripada perkara yang kecil.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu pada saat ini untuk memohon agar Engkau mengajar aku untuk terus percaya kepada-Mu dalam segala perkara yang Engkau mulakan dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments