top of page

Pertaubatan Menyebabkan Pintu Dibuka untuk Kita

ree

“Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, ‘Tuan, tuan, bukalah pintu.’ Tetapi dia akan menjawab, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang.’ ” Lukas 13:25 AVB

 

Tuhan Yesus menggunakan satu ibarat untuk memperingatkan orang Yahudi tentang pentingnya  perkenalan dan hubungan secara peribadi antara dua pihak. Sebab waktu untuk bertaubat dan menerima-Nya adalah sesungguhnya singkat dan peluang terbuka itu hendaklah diambil dengan segera sebelum terlambat.

 

Dengan itu, Yesus berkata kepada orang Yahudi yang datang mendengar ajaran-Nya bahawa keadaan kerajaan Allah bagaikan sebuah rumah. Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika mereka berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, ‘‘Tuan, tuan, bukalah pintu.” Tetapi dia akan menjawab, ‘‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang.”  Kemudian mereka akan berkata, ‘‘Kami telah makan dan minum bersama tuan, dan tuan mengajar di kota kami.’’ Tetapi tuan itu akan berkata, ‘‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Nyahlah kamu dari sini, kamu semua penjahat!’’ 

 

Yesus ingin menasihati orang Yahudi pada masa itu yang berfikir bahawa semua orang Yahudi  pasti akan masuk ke dalam kerajaan Allah memandangkan mereka keturunan Abraham dan sentiasa menjalani upacara keagamaan Yahudi. Itulah sebabnya mereka bertanya kepada Yesus, “Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?” Pada pendapat mereka, bangsa-bangsa lain tidak akan diselamatkan.

 

Jelaslah bahawa Yesus mahu memberitahu mereka bahawa pertaubatan sahaja akan membolehkan mereka untuk masuk ke dalam kerajaan Allah, sebagaimana semua bangsa lain juga mesti bertaubat. Tanpa pertaubatan tidak ada seorang pun dapat masuk ke dalam kerajaan Allah.  

 

Bertaubatlah daripada dosa kita selagi pintu kerajaan Allah masih dibuka untuk diri kita. Tegasnya, pertaubatan daripada dosa akan menyebabkan hubungan kita dengan Allah  dipulihkan dan kita berbaik semula dengan-Nya. Jika kita enggan bertaubat, kita pasti akan menghadapi penghakiman-Nya.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku daripada dosa-dosaku baik yang sengaja mahupun yang tidak sengaja. Limpahkan belas kasihan dan kasih kurnia-Mu kepadaku kerana aku memang tidak layak masuk ke  hadirat-Mu. Inilah aku. Sucikanlah aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page