top of page

Sebab Bangsa Israel Merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi

ree

Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu Perayaan Paskah, telah menjelang.  Lukas 22:1 AVB

 

Apakah itu Perayaan Roti Tidak Beragi? Perayaan Roti Tidak Beragi ialah perayaan untuk memperingati keluarnya bangsa Israel dari Tanah Mesir. Dalam Kitab Keluaran sebelum bangsa itu dibebaskan daripada cengkaman warga Mesir dan dibawa keluar dari negeri itu, mereka telah diperintah oleh Allah supaya selama tujuh hari ragi tidak boleh ada di rumah mereka. Sesiapa pun makan sesuatu yang beragi harus disingkirkan daripada antara jemaah Israel. Mereka hendaklah makan roti yang tidak beragi tujuh hari lamanya.

 

Dengan kata lain, bangsa Israel merayakanPerayaan Paskah dan Perayaan Roti Tidak Beragi agar seumur hidup mereka akan sentiasa memperingatkan diri mereka dan keturunan mereka tentang apa yang telah dilakukan Allah untuk membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Pada waktu mereka mahu bertolak dari Tanah Mesir, masa terlalu singkat untuk mempersiapkan makanan. Mereka tidak dapat membuat roti seperti kebiasaannya dengan menggunakan ragi dalam adunan yang memerlukan masa untuk naik sebelum dibakar menjadi roti.

 

Roti tidak beragi secara turun-temurun bagi bangsa Israel merupakan satu peringatan murni akan pekerjaan Allah dalam hidup mereka. Allah melepaskan mereka daripada perhambaan selama 430 tahun di Tanah Mesir. Setiap kali mereka memakan roti tidak beragi pada Perayaan Roti Tidak Beragi, mereka memperingati bagaimana Allah yang maha berkuasa melakukan pelbagai keajaiban untuk membawa rombongan bangsa Israel keluar dari Tanah Mesir. Oleh sebab itu, mereka diperintah untuk merayakan hari itu turun-temurun sebagai suatu ketetapan untuk selama-lamanya.

 

Sebagai orang Kristian pada hari ini, kita diperingatkan tentang penebusan yang diperoleh dalam Tuhan Yesus bagi diri kita melalui kelahiran, kehidupan, pelayanan, kematian, kebangkitan, dan naiknya Tuhan Yesus Kristus ke syurga. Dengan mengingati semua hal ini, maka iman kita dalam Tuhan Yesus akan semakin kukuh supaya kita bertumbuh menjadi orang Kristian yang matang.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, terima kasih atas segala yang telah Engkau lakukan bagiku. Engkau menanggung dosaku dalam tubuh-Mu di kayu salib supaya aku tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. Ajarlah aku untuk terus mengingati kasih kurnia dan kebaikan-Mu dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page