top of page

Semakin Sengsara, Semakin Tekun Yesus Berdoa

  • Feb 10
  • 1 min read

Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Lukas 22:44 AVB

 

Oleh kerana kesengsaraan yang dipikul oleh Yesus semakin berat, maka Dia semakin bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah Bapa demi melaksanakan kehendak Bapa-Nya. Peluh-Nya yang menitis ke tanah pun seperti titik-titik darah yang menitis. Fenomena jasmani yang luar biasa ini berlaku apabila seseorang menghadapi tekanan yang teramat sangat, khususnya kesengsaraan rohani dan emosi yang berat sekali.

 

Kesungguhan Yesus untuk berdoa bertambah kerana tekanan beban yang dipikul-Nya semakin bertambah. Hal itu menyebabkan diri-Nya semakin kuat berdoa. Hati-Nya sangat gelisah dan dukacita kerana waktu Dia akan ditangkap, disiksa, dibunuh dengan disalib semakin mendekat. Sebentar lagi, ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci, dan tua-tua masyarakat Yahudi akan datang bersama dengan salah seorang murid-Nya yang bernama Yudas untuk mengkhianati-Nya.

 

Dengan itu, Dia datang kepada Bapa yang di syurga melalui doa, “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.” Alkitab memberitahu kita bahawa malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya. Pertolongan dan kekuatan pasti akan datang kepada yang melaksanakan kehendak Allah.

 

Untuk menghadapi tekanan beban yang semakin berat, maka Yesus mengambil masa untuk berdoa dengan lebih tekun lagi. Bagaimanakah dengan diri kita hari ini? Apakah tekanan, pergelutan dan beban dalam diri kita yang semakin mencabar akan mendorong kita untuk berdoa dengan lebih tekun lagi? Marilah kita meneladani Yesus -- sewaktu Dia menempuh kesengsaraan, Dia meluangkan waktu dengan lebih banyak lagi untuk berdoa.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk berdoa di hadirat-Mu sewaktu aku menghadapi keadaan yang sangat mencabar dalam hidup ini. Berilah aku jiwa yang tekun berdoa. Engkau akan menolong aku dan tidak akan membiarkan aku dalam pergelutanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page