top of page

Semua Orang Akan Melalui Kematian Jasmani

ree

'Peminta sedekah itu mati dan malaikat-malaikat membawanya ke sisi Abraham di syurga. Orang kaya itu pun mati lalu dikebumikan. ' (Lukas 16:22) AVB


Yesus menggunakan perumpamaan ini dengan satu tujuan iaitu untuk memperingatkan orang Farisi yang sering mengejek ajaran-Nya, kerana ajaran Yesus sentiasa menentang perkara-perkara duniawi. Yesus mahu menyedarkan mereka tentang akibat dosa. Sekiranya mereka tidak bertaubat daripada dosa mereka, pada hari yang akan datang mereka akan ditempatkan di tempat penderitaan.


Oleh itu, Yesus mahu menyampaikan kepada mereka supaya sentiasa memberi perhatian terhadap golongan miskin yang ada di sekeliling mereka dengan membantu mereka. Ini kerana setiap orang yang hidup di dunia ini pasti akan mengakhiri kehidupannya suatu hari nanti.


Mereka harus menolak segala godaan dunia ini, terutamanya kesenangan jasmani yang boleh menyebabkan mereka melupakan Tuhan dalam perjalanan hidup mereka. Mereka juga perlu menyedari bahawa suatu hari nanti mereka pasti akan mati secara jasmani, sama ada mereka seorang yang kaya mahupun miskin.


Kematian jasmani tidak mengenal siapakah kita, sama ada kaya atau miskin, berpendidikan atau tidak berpendidikan. Hakikatnya, semua orang pasti akan mengalami kematian jasmani pada suatu hari kelak tanpa dapat dielakkan.


Oleh itu, selagi kita masih hidup, kita harus menggunakan kehidupan ini dengan sebaik-baiknya. Kematian jasmani bukanlah penamat kehidupan, tetapi selepas kematian jasmani, ada kehidupan yang baru, kehidupan yang ditentukan oleh iman kita. Maka, jalanilah kehidupan yang memuliakan Tuhan, kerana bagi orang yang percaya, mereka akan masuk ke dalam syurga. Namun bagi mereka yang tidak percaya, mereka akan ditempatkan di dalam neraka, tempat penderitaan kekal.


Doa: Ya Bapa yang di syurga, ini aku. Bimbinglah aku dalam setiap perjalanan hidupku agar aku tidak membiarkan hidupku dikuasai oleh perkara-perkara dunia ini. Biarlah aku sentiasa hidup dekat dengan-Mu dan memuliakan nama-Mu. Dalam nama Yesus, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page