top of page

Sentiasa Tetap Bersukacita

  • 13 minutes ago
  • 2 min read

 Oleh itu, bagaimana pula? Hal itu, bagiku tidak penting. Walau dengan apa cara sekalipun, baik berpura-pura mahupun ikhlas, Kristus sedang diberitakan. Dan kerana ini aku bersukacita dan akan terus bersukacita.  Filipi 1:18 AVB

 

Sewaktu Paulus berada di dalam penjara dua kumpulan orang memberitakan Kristus kepada orang lain. Satu dengan cara yang berpura-pura dan salah. Satu lagi dengan cara yang baik dan ikhlas. Bagi Paulus, hal ini tidak sekali-kali menyusahkan dirinya. Dia bersukacita asalkan Kristus diberitakan. Yang lain tidak penting bagi dirinya.

 

Itulah sebabnya dia berkata bahawa dia akan tetap bersukacita walaupun maksud mereka memberitakan Kristus adalah jahat. Akan tetapi, pemberitaan mereka ini sebenarnya akan menyebabkan Kristus diperkenalkan kepada orang ramai lalu dikenali dan dipercayai mereka.

 

Jelaslah bahawa Paulus lebih mengutamakan penyebaran Injil berbanding dengan nama atau kesenangan dirinya. Dia membuat keputusan untuk tetap bersukacita biarpun dia dikurung di dalam penjara. Dia berfokuskan pemberitaan Kristus dan bukannya niat atau motif orang yang memberitakan Kristus.

 

Janganlah kita menjadi susah hati sekiranya ada orang yang memberitakan Kristus dengan maksud yang tidak ikhlas. Apa yang lebih penting bagi diri kita ialah Kristus diberitakan kepada orang lain untuk mencelikkan mata mereka dan membawa mereka daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kuasa Iblis kepada kuasa Allah. Dengan demikian, mereka akan menerima pengampunan dosa apabila mereka menaruh kepercayaan kepada Kristus dan menjadikan-Nya Penyelamat serta Tuhan mereka.

 

Amanah pemberitaan tentang Kristus ialah tanggungjawab kita secara peribadi kepada Allah. Dengan itu, kita harus tenang dan tetap bersukacita. Sekalipun ada orang yang bertindak dengan hasad dengki atau persaingan , yakinlah bahawa Allah yang maha kuasa boleh memakai orang sedemikian juga untuk menyempurnakan kehendak-Nya dan memuliakan nama-Nya. Oleh itu, marilah kita terus bersukacita dalam Allah, seperti Paulus.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Bimbinglah aku untuk sentiasa melayani-Mu dengan niat yang baik dan betul. Tolonglah aku untuk mengutamakan pemberitaan Injil-Mu dan bukan siapa yang memberitakannya. Dalam nama-Mu yang suci aku berdoa. Amin.

Comments


bottom of page