Terlalu Lama Sehingga Terlupa Cara Diajar
- Apr 24
- 2 min read

"Hai saudara-saudara yang kukasihi, ingatlah hal ini: setiap orang hendaklah cepat untuk mendengar, tetapi lambat untuk berkata-kata, dan juga lambat untuk marah " Yakobus 1:19
Ada satu fasa dalam perjalanan pelayanan di mana tanpa sedar, pengalaman mula berbicara lebih kuat daripada ketaatan.
Bukan kerana saya berniat menolak nasihat, tetapi kerana di dalam hati ada suara halus yang berkata, “Saya sudah melalui semua ini.” Di situlah bahaya sebenar bermula.
Firman Tuhan mengingatkan: “Hendaklah kamu cepat untuk mendengar, lambat untuk berkata-kata.” — Yakobus 1:19
Ayat ini kelihatan mudah. Namun semakin lama saya melayani, semakin saya sedar bahawa ketaatan kepada ayat ini tidak menjadi lebih mudah ia menjadi lebih sukar. Bukan kerana kita tidak tahu kebenarannya, tetapi kerana pengalaman kita mula menuntut untuk didengar lebih dahulu.
Saya pernah berada dalam satu perbincangan pelayanan di mana seorang yang jauh lebih muda, kurang pengalaman, kurang gelaran memberi pandangan yang berbeza daripada apa yang saya biasa lakukan.
Reaksi awal saya bukan mendengar, tetapi menilai. Dalam hati, saya sudah menyusun jawapan sebelum dia selesai bercakap.
Bukan kerana pandangannya salah, tetapi kerana ia tidak selari dengan cara lama yang pernah “berhasil.”
Saat itu, Tuhan menegur saya melalui gambaran yang sangat jelas: Baldi yang kosong mudah diisi air. Baldi yang penuh lumpur menolak air bersih.
Saya mula bertanya pada diri sendiri:
* Adakah hati saya masih kosong di hadapan Tuhan?
* Atau sudah penuh dengan kejayaan lama, pengalaman lama, dan cara lama?
Masalahnya bukan pada hikmat baru yang Tuhan mahu curahkan. Masalahnya ialah isi lama yang tidak dikosongkan.
Saya belajar bahawa kematangan rohani bukan diukur dengan berapa lama kita melayani, tetapi dengan sejauh mana kita masih boleh diajar. Orang yang benar-benar matang tidak takut untuk berkata: “Saya mungkin salah.”
Ayat itu tidak melemahkan autoriti. Ia sebenarnya menguatkan kredibiliti rohani.
Ada saatnya Tuhan mengajar saya melalui orang yang lebih muda mahupun yang sudah dewasa. Ada kalanya melalui mereka yang lebih sederhana. Dan ada waktunya, Tuhan memakai teguran kecil untuk meruntuhkan keangkuhan halus yang tidak saya sedari.
Hari ini, saya bertanya kepada diri saya dan mungkin juga kepada anda:
* Adakah pengalaman membuat kita lebih rendah hati atau lebih keras hati?
* Adakah kita masih mendengar, atau sekadar menunggu giliran untuk bercakap?
* Adakah kita membimbing orang lain, tetapi lupa bagaimana rasanya menjadi murid?
Firman Tuhan tidak pernah berubah. Tetapi hati kita boleh menjadi keras jika terlalu lama merasa “sudah tahu.”
Saya belajar satu perkara penting dalam pelayanan: Pengalaman yang tidak disertai kerendahan hati akan menghasilkan keangkuhan rohani.
Hari ini, saya memilih untuk kembali belajar daripada sesiapa sahaja yang Tuhan pakai. Kerana selagi saya masih boleh mendengar, selagi itu Tuhan masih boleh mengajar.
Dan selagi hati ini rela dikosongkan, air hidup Tuhan akan terus mengalir dan menyegarkan kembali pelayanan anda dan saya. Oleh Pr Jerry Ignacio Sumber : Whatsapp Channel @ jerry ignacio




Comments