Tidak Perlu Respon
- 4 hours ago
- 2 min read

Ada satu musim dalam pelayanan dan kepimpinan di mana saya belajar bahawa tidak semua perkara perlu dijelaskan, tidak semua perkara perlu dibalas, dan tidak semua keadaan perlu diperjuangkan dengan suara.
Semakin lama memimpin, saya mula memahami bahawa ada waktunya seorang pemimpin perlu: memaksa mata menjadi “buta” terhadap perkara yang hanya membawa gangguan, membuat telinga menjadi “tuli” terhadap suara-suara yang melemahkan, dan menahan mulut daripada berkata-kata demi menjaga hikmat, kesatuan, dan damai.
Pada awal pelayanan, saya pernah berfikir bahawa setiap kritikan perlu dijawab, setiap salah faham perlu diperbetulkan, dan setiap kata-kata negatif perlu dilawan. Tetapi semakin saya berjalan dalam pelayanan, saya sedar bahawa tidak semua peperangan datang daripada Tuhan untuk kita lawan.
Ada peperangan yang sebenarnya hanya mahu: menguras emosi, melemahkan fokus, merosakkan hati, dan mencuri damai seorang pemimpin.
Saya pernah berada dalam keadaan di mana apa sahaja yang dilakukan tetap akan dipersoalkan. Ketika diam dikatakan sombong, ketika bersuara dikatakan terlalu keras. Ketika membantu dianggap ada agenda, ketika berundur dianggap tidak peduli.
Di situlah Tuhan mengajar saya satu perkara yang sangat mahal dalam kepimpinan: “Tidak semua perkara memerlukan respon. Kadang berdiam juga adalah satu bentuk hikmat.”
Ada waktu saya memilih untuk diam bukan kerana saya kalah, lemah, atau tidak tahu menjawab. Tetapi kerana saya sedar bahawa menjaga hati lebih penting daripada memenangkan perdebatan.
Saya belajar bahawa: orang matang tidak bereaksi terhadap semua perkara, pemimpin yang dewasa tahu bila perlu bersuara dan bila perlu menyerahkan semuanya kepada Tuhan, dan tidak semua orang akan memahami perjalanan pelayanan yang kita lalui.
Kadang kita terlalu sibuk mahu menjelaskan diri kepada manusia, sehingga kita lupa bahawa Tuhan mengetahui seluruh isi hati kita.
Sama seperti seekor singa tidak perlu menjawab setiap gonggongan anjing di sepanjang jalan. Mengapa? Kerana singa tahu identitinya. Jika singa berhenti untuk melawan setiap gangguan kecil, ia akan kehilangan fokus terhadap tujuan sebenarnya. Begitulah juga dalam kepimpinan dan pelayanan.
Kadang: mata perlu “dibutakan” daripada melihat perkara yang merosakkan hati, telinga perlu “ditulikan” daripada suara toksik yang melemahkan iman, dan mulut perlu “didiamkan” agar kita tidak bercakap dalam emosi. Kerana ada kata-kata yang apabila dilepaskan dalam kemarahan, boleh merosakkan pelayanan bertahun-tahun.
Amsal 17:27 berkata: “Orang yang berpengetahuan menahan perkataannya, orang yang berpengertian berkepala dingin.”
Saya belajar bahawa dalam pelayanan: bukan semua perkara perlu dijawab, bukan semua serangan perlu dilawan, dan bukan semua salah faham perlu dijelaskan.
Kadang Tuhan membela kita bukan melalui suara kita, tetapi melalui waktu dan buah kehidupan kita sendiri.
Hari ini saya semakin memahami bahawa kekuatan seorang pemimpin bukan hanya pada keberaniannya berkata-kata, tetapi juga pada kemampuannya mengendalikan diri ketika emosinya mahu bersuara.
Dan ada musim di mana doa paling dewasa dalam kepimpinan ialah: “Tuhan, ajar saya untuk tetap tenang terhadap perkara yang tidak membawa saya lebih dekat kepada-Mu.” Oleh Pr Jerry Ignacio Sumber : Whatsapp channel @ jerry ignacio




Comments