Tetap Setia Dalam Segala Keadaan
- Feb 28
- 2 min read

Perempuan-perempuan yang telah mengikut Yesus dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya. Lukas 23:55 AVB
Setelah Tuhan Yesus menyerahkan roh-Nya ke dalam tangan Allah Bapa, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir. Terdapat seorang hartawan bernama Yusuf yang berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang yang baik dan benar. Walaupun dia seorang anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah. Dengan penuh keberanian tanpa memikirkan kedudukan dan keselamatannya, dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Yesus. Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengafankannya dengan kain linen lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan.
Hari itu ialah hari Persiapan, dan hari Sabat hampir bermula. Sewaktu Yesus dimakamkan Yusuf, semua murid Yesus yang sentiasa bersama-sama-Nya tidak hadir. Sebaliknya, perempuan-perempuan yang telah mengikut Yesus dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya. Kemudian barulah mereka pulang ke tempat masing-masing untuk menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Yesus.
Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat bagi mentaati perintah Allah. Mereka memperlihatkan kesetiaan yang murni kepada Yesus sejak mereka mengikut-Nya sehingga kematian dan pemakaman-Nya. Mereka bukan hanya dekat dengan Yesus pada saat kegemilangan dalam pelayanan Yesus tetapi juga pada saat penderitaan dan kematian Yesus di atas kayu salib. Mereka bukanlah seperti ramai yang melarikan diri atau meninggalkan Yesus.
Kesetiaan mereka mengikut Yesus tidak pernah berubah sejak awal lagi sehinggalah waktu Yesus ditangkap, disalib dan dimakamkan. Begitu jugalah kesetiaan kita tidak seharusnya berubah mengikut keadaan semasa tetapi kesetiaan kita harus tetap teguh dan tidak berbelah bahagi dalam semua keadaan. Marilah kita tetap setia kepada Allah selama kita hidup di dunia ini walaupun kita mungkin menghadapi pelbagai tekanan dan penganiayaan. Jangan sekali-kali berpaling daripada iman kita kepada Allah kerana pada akhir perjalanan hidup kita, pastinya kita akan menerima mahkota hidup sebagai ganjaran kemenangan daripada Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon kekuatan daripada-Mu agar dalam semua keadaan aku akan tetap setia tanpa menyerah kalah. Inilah aku. Pimpinlah aku agar aku dapat mengakhiri perlumbaan hidup ini dengan baik. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments