Tirai Pemisah Diruntuhkan
- 2 days ago
- 2 min read

Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terbelah dua. Lukas 23:45 AVB
Para askar menyalib Tuhan Yesus di Golgota yang bermaksud Tempat Tengkorak pada pukul sembilan pagi. Kira-kira dari pukul dua belas tengah hari hingga pukul tiga petang seluruh negeri itu diselubungi kegelapan kerana matahari berhenti bersinar. Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terbelah dua dari atas ke bawah. Yesus berseru dengan kuat, “Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir.
Jelaslah bahawa dua kejadian yang sangat mengejutkan semua orang berlaku pada hari itu. Kejadian yang pertama ialah secara tiba-tiba matahari berhenti memancarkan cahaya selama tiga jam, sehingga seluruh negeri gelap-gelita pada siang hari. Kegelapan selama tiga jam memang merupakan satu keajaiban. Tidak disebut mengapa matahari berhenti bersinar. Bagaimanapun, perkara luar biasa ini menekankan betapa muram dan menyayat hati ketika Yesus disalib.
Kejadian yang kedua ialah tirai yang tergantung di Bait Suci untuk memisahkan Tempat Yang Maha Suci dari Tempat Yang Suci terkoyak menjadi dua helai. Kejadian ini memberitahu kita bahawa semua kehendak hukum Taurat telah disempurnakan melalui pengorbanan Yesus, Anak Domba Allah yang diutus untuk menghapuskan dosa umat manusia. Yesus datang bukan untuk menghapuskan hukum Taurat tetapi untuk menunaikan segala-galanya. Dinding pemisah antara kita dengan Allah, antara orang Yahudi dengan orang bukanYahudi, dan antara boleh dengan tidak boleh menghampiri Allah yang maha suci telah diruntuhkan.
Atas pertumpahan darah Yesus di kayu salib, maka sekarang ini kita boleh menghampiri takhta kasih kurnia Allah dengan penuh keberanian dan keyakinan. Hal ini bermakna bahawa kita boleh menghadap Allah tanpa memerlukan persembahan korban binatang untuk mendapatkan pengampunan daripada-Nya. Hari ini kita hanya datang kepada Tuhan Yesus sebagai pengantara kita dengan Allah untuk memperoleh pengampunan dan penyelamatan. Marilah kita berpegang teguh pada pengakuan harapan kita tanpa berganjak, kerana Dia yang berjanji sentiasa setia.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku ucapkan terima kasih kepada-Mu kerana Tuhan Yesus diutus untuk menanggung semua dosaku di kayu salib. Kini aku tidak lagi takut menghadap-Mu dan boleh membawa segala isi hatiku kepada-Mu. Biarlah aku datang ke hadirat-Mu dengan hati yang tulus dan iman yang teguh sepenuhnya. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments