top of page

Utamakan Jemputan Kerajaan Allah

ree

“ ‘Aku berkata kepadamu bahawa tiada seorang pun antara mereka yang telah dijemput itu, akan menikmati jamuanku ini.’ ” Lukas 14:24 AVB

 

Apabila pelayan itu pulang dan memberitahukan alasan para tetamu,  tuan rumah yang menyediakan jamuan besar itu pun sangat marah kepada mereka yang berdalih menolak jemputannya. Dalam budaya orang Yahudi penolakan yang sedemikian dianggap sebagai satu penghinaan peribadi kepada tuan rumah. Oleh sebab mereka tidak mahu datang menghadiri jamuan itu, maka dia tidak sekali-kali akan memberi mereka makan sedikit pun daripada makanan yang disediakan untuk jamuan itu.

 

Hal ini bermakna bahawa penolakan kepada jemputan telah menutup pintu untuk mereka menikmati jamuan yang telah disediakan. Walaupun jamuan itu sebenarnya disediakan untuk mereka, tetapi penolakan mereka dengan pelbagai alasan yang remeh-temeh menyebabkan mereka tidak layak lagi untuk memasuki balai jamuan.

 

Jamuan besar ini merujuk kepada "Perjamuan Dalam Kerajaan Allah" yang menyatakan  jemputan untuk penyelamatan kita semua. Kita dijemput untuk menghadiri jamuan itu tetapi  pada saat akhir ada sebilangan kita yang dijemput tergamak membatalkan kehadiran kita semata-mata atas hal-hal keduniaan atau kepentingan peribadi. Betapa seriusnya akibat yang akan menimpa kita jika kita terus menolak jemputan daripada Allah.

 

Sesungguhnya, alangkah ruginya kita yang menolak jemputan itu kerana jemputan itu dilakukan bukan berdasarkan perbuatan baik kita, atau penyangkalan diri kita, ataupun ketaatan kita mengikut ajaran agama, tetapi semuanya atas limpah belas kasihan dan anugerah Allah yang menyediakan jamuan.

 

Apabila menerima jemputan, jangan berubah hati pada saat yang terakhir. Jemputan harus berdasarkan kerelaan untuk melepaskan segala sesuatu dalam hidup kita yang tidak menyenangkan hati Allah demi penyelamatan jiwa kita. Sebab penyelamatan itu perlu dibayar dengan harga yang tinggi sekali. Menerima penyelamatan  dalam Yesus mungkin akan membawa kesan tertentu kepada karier kita, kehidupan sosial kita, atau kehidupan keluarga kita, bahkan nyawa kita.

 

Bagaimanapun, menghadiri jamuan itu akan memberikan sukacita dan damai sejahtera yang besar dalam hidup kita untuk selama-lamanya. Tegasnya, jangan biarkan hal-hal duniawi menjajah hidup kita, tetapi terimalah Yesus dan ikut Dia seumur hidup kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana menerima aku seadanya. Berilah aku hati yang rela untuk meninggalkan hal-hal duniawi dan meletakkan Engkau sebagai yang terutama dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page