top of page

Yang Mendengar Kata-Kata Pengikut-Nya, Mendengar Kata-Kata Yesus

“Sesiapa yang mendengar kata-katamu mendengar kata-kata-Ku; sesiapa yang menentangmu menentang-Ku; dan sesiapa yang menentang-Ku juga menentang Dia yang mengutus-Ku.” Lukas 10:16 AVB

 

Tuhan Yesus telah mengutus tujuh puluh dua orang pengikut-Nya ke pelbagai bandar dan tempat  untuk menyampaikan berita baik kepada orang yang ditemui mereka.  Dia terlebih dahulu memberi mereka tatacara bagaimana mereka harus melaksanakan semua tugas yang dipercayakan kepada mereka semasa mengkhabarkan berita baik itu.

 

Di samping itu, Yesus  mendorong mereka supaya mereka tetap bersemangat dan teguh hati sewaktu mereka menjalani pelayanan  mengkhabarkan berita baik kerana mereka pasti akan menghadapi sambutan yang baik dan juga penolakan atau kecaman.  Dia menasihati mereka agar tidak mudah lemah semangat tetapi tetap memiliki keyakinan untuk terus melakukan  mukjizat demi mukjizat kerana mereka telah diberi kuasa oleh-Nya.

 

Dengan itu, mereka tidak perlu takut sewaktu mereka membawa berita baik kepada orang yang ditemui mereka kerana orang yang mendengar kata-kata mereka bererti bahawa mereka mendengar kata-kata-Nya. Demikian juga jika orang menolak diri mereka, hal itu bererti bahawa mereka menolak diri-Nya juga. Sebenarnya, orang itu bukan hanya menolak diri-Nya tetapi juga menolak Dia yang mengutus diri-Nya.

 

Sesungguhnya, semangat mereka tidak seharusnya luntur tidak kira  apa-apa pun yang dialami mereka semasa mengkhabarkan berita baik kerana Dia senantiasa bersama-sama  mereka. Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita tetap bersemangat menyampaikan berita baik  kepada orang lain?

 

Sebagaimana yang tersurat dalam Kitab Suci, “Alangkah indahnya kaki mereka yang membawa berita baik!”  Roma 10:15b AVB

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon hikmah dan kekuatan  daripada-Mu. Biarlah aku sentiasa bersemangat melayani-Mu walaupun melalui pelbagai cabaran dan tentangan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page