Yesus Mengenal Isi Hati Manusia
- Komuniti Digital 05

- May 3
- 2 min read

'Apabila melihat perkara ini, orang Farisi yang menjemput Yesus berkata-kata dalam hatinya, “Jika orang ini seorang nabi, tentulah Dia mengetahui perempuan yang menyentuh-Nya seorang yang hidup berdosa.” ' (Lukas 7:39) AVB
Orang Farisi (Simon) yang telah menjemput Yesus ke rumahnya untuk makan bersama, berkata di dalam hatinya, “...Sekiranya Yesus benar-benar seorang nabi, tentu Dia tahu bahawa wanita yang menyentuh-Nya itu hidup dalam dosa!...”
Meskipun Simon hanya berkata-kata di dalam hatinya, tanpa sesiapa pun mengetahui, Yesus tahu isi hati Simon dan mengetahui bahawa Simon mempersoalkan tindakan-Nya terhadap wanita berdosa itu. Lalu Yesus berkata kepada Simon, “...ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu...”
Simon pun menjawab kepada Tuhan Yesus, “Ya Guru, katakanlah.” Maka Yesus berkata kepadanya dengan menggunakan satu perumpamaan:
'“Ada dua orang berhutang kepada seorang pemiutang wang. Seorang berhutang lima ratus keping wang dinar dan seorang lagi lima puluh. Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya?” '
Yesus mengetahui apa yang ada dalam hati Simon, walaupun Simon tidak menyatakannya secara terbuka. Yesus tahu — Dia tahu segalanya. Tiada apa yang tersembunyi di hadapan-Nya. Hal ini membuktikan kepada kita bahawa Yesus sesungguhnya adalah Tuhan, kerana hanya Tuhan yang mengetahui isi hati manusia.
Oleh itu, kita harus sentiasa menjaga hati agar tetap suci dan benar di hadapan Tuhan. Yesus mengetahui apa yang ada dalam hati kita — dengan kata lain, tiada apa yang tersembunyi daripada-Nya. Maka kita hendaklah sentiasa memelihara hati dengan baik, agar kita hidup berkenan di hadapan-Nya.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, memohon agar Tuhan memberikan kepadaku hati yang suci dan benar, hati yang sentiasa memuliakan nama-Mu, agar sepanjang hidupku, aku terus memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments