top of page

Yesus Tenang Menghadapi Tuduhan Terhadap-Nya

  • 1 day ago
  • 2 min read

Mereka mula menuduh Dia, “Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku diri-Nya Kristus, seorang raja!” Lukas 23:2 AVB

 

Awal-awal pagi lagi ketua-ketua imam segera bermesyuarat dengan para tua-tua, ahli Taurat dan seluruh Majlis Agama. Mereka berpakat untuk membunuh Yesus. Oleh itu, mereka menyuruh orang mengikat-Nya dan membawa-Nya untuk menghadap Pontius Pilatus, gabenor negeri Yudea pada masa itu. Mereka mula menuduh Dia, “Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku diri-Nya Kristus, seorang raja!”

 

Walaupun Yesus dikenakan dengan berbagai-bagai tuduhan daripada para ketua imam, tua-tua masyarakat Yahudi, ahli Taurat, dan anggota Majlis Agama, namun Yesus tetap tenang menghadapi semuanya. Yesus tahu bahawa semua ini harus berlaku kepada-Nya supaya apa yang dinubuatkan oleh para nabi tentang cara Dia akan mati akan terjadi. Segala yang tersurat dalam kitab-kitab nabi tentang Anak Manusia akan berlaku di Yerusalem. Dia akan diserahkan ke tangan bangsa asing. Dia akan diejek dan dimaki serta diludahi orang. Mereka akan menyebat Dia dan membunuh-Nya. Akan tetapi, pada hari yang ketiga Dia akan bangkit semula.

 

Itulah sebabnya Yesus tetap tenang menghadapi semua tuduhan yang dilemparkan oleh para musuh terhadap diri-Nya. Yesus tidak mahu menjawab sepatah pun tentang tuduhan mereka itu. Yesus tahu bahawa mereka tidak akan berjaya membuktikan bahawa Dia bersalah atas mana-mana pun tuduhan tersebut.

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apabila kita mengikut Tuhan Yesus, pasti berbagai-bagai tuduhan akan dilontarkan oleh orang terhadap diri kita. Bagaimanapun, kita harus mengikut teladan Yesus dengan berdiam diri dan membiarkan Allah bertindak bagi pihak kita.

 

Menjawab tuduhan yang dilontarkan oleh orang yang membenci kita tidak dapat meredakan kemarahan mereka terhadap diri kita. Jalan terbaik untuk menangkis tuduhan adalah dengan menghadap Allah yang berkuasa untuk menyerahkan segala-galanya ke dalam tangan-Nya. Marilah kita meneladani kesabaran dan ketenangan Yesus ketika Dia menanggung penganiayaan serta penderitaan. 

 

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, Engkaulah batu pejalku, kubuku, perisaiku dan benteng pertahananku. Kepada-Mu aku berlindung. Biarlah aku belajar berdiam diri dan menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Engkaulah Allah yang menghakimi dengan adil dan mengetahui apa yang harus Engkau lakukan bagi pihakku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

bottom of page