top of page

Cari

3189 results found with an empty search

  • Hidup Berfoya-foya Membawa Padah

    “Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya.”   Lukas 15:13 AVB   Tuhan Yesus menyambung ibarat tentang anak lelaki yang hilang. Tidak lama selepas anak bongsu itu memperoleh bahagian harta pusakanya, dia pun menjualnya lalu meninggalkan rumah bapanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya dan segala macam keseronokan duniawi.   Setelah anak bongsu menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu sehingga dia berada dalam keadaan serba kekurangan. Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya.  Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya.  Akhirnya, dia sedar bahawa semua orang gaji bapanya dapat makan sehingga kenyang, tetapi dia pula hampir mati kelaparan.   Marilah kita mengisi hidup kita pada hari ini dengan menceburkan diri dalam pelayanan atau melakukan pekerjaan Allah. Jangan sekali-kali membuka ruang hidup kita kepada pelbagai godaan dan keseronokan dunia ini. Penuhilah hati kita dengan kebenaran Allah agar hidup kita tidak akan binasa tetapi penuh dengan pengharapan.   Berhati-hatilah bahawa dalam hidup kita kerap kali jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut. Demikianlah dengan keinginan nafsu dan mata, serta segala keangkuhan hidup di dunia. Pada mulanya jalan yang kita ikut nampak seakan-akan begitu indah dan seronok tetapi pengakhirannya akan membawa kebinasaan. Oleh itu, ikutlah jalan Allah dan hiduplah demi Allah.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk mengutamakan pekerjaan-Mu dalam setiap langkah hidupku. Bimbinglah aku untuk mengikut jalan-Mu agar dalam semua yang aku lakukan, nama-Mu dipermulia. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Mengejar Keseronokan akan Menghancurkan Diri Sendiri

    “Anak bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.’ Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu.” Lukas 15:12 AVB   Seterusnya, Tuhan Yesus menceritakan ibarat tentang anak lelaki yang hilang. Seorang bapa  mempunyai dua orang anak lelaki.  Anak bongsu berkata kepada bapanya, ‘‘Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.’’ Terang-terang anak bongsu tidak sabar menanti lagi sehingga si bapa meninggal dunia. Dia cuma ingin cepat-cepat mendapatkan bahagian harta pusakanya.   Apabila si bapa mendengar permintaan anak bongsunya, dia tidak menyoalnya atau menolak permintaannya dengan memberikan alasan tertentu tetapi dia terus membahagikan hartanya kepada kedua-dua orang anaknya. Dengan mengambil bahagian harta pusakanya, anak bongsu secara tidak langsung menyatakan bahawa dia tidak mahu hidup lagi di bawah kuasa dan naungan bapanya selain ingin bebas memuaskan keinginan hatinya untuk hidup berseronok-seronok.   Oleh sebab anak bongsu leka mengejar keseronokan hidup, maka tanpa disedari dia telah ditarik masuk ke dalam kehancuran. Hatinya yang berlonjak-lonjak untuk memperoleh bahagian harta daripada bapanya telah menyebabkan dia tidak menaruh hormat kepada bapanya, bahkan dia dikira biadap kerana dia seolah-olah mengharapkan kematian bapanya. Perbuatan si anak bongsu jelas membawa aib kepada keluarganya kerana dia hilang sabar untuk memperoleh bahagian hartanya sebelum masa yang sewajarnya.   Demikian juga dengan diri kebanyakan kita pada hari ini. Kadang-kadang kita tidak sabar-sabar untuk menunggu waktunya. Kita sering kali terdorong oleh keinginan hati kita untuk bertindak terburu-buru untuk memperoleh apa yang kita kejar dalam hidup kita. Oleh sebab kita tidak sabar, maka hidup kita menjadi hancur atau musnah.   Betapa pentingnya kita belajar untuk bersabar dan jangan bertindak mengikut keinginan hati kita tetapi hendaklah mengikut kehendak Allah.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, tolonglah aku untuk bersabar dan menanti waktu-Mu dalam segala perkara. Bimbinglah aku untuk mengikut jalan-Mu yang benar sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Apakah yang Membuat Hati Kita Sangat Gembira?

    “Aku berkata kepadamu bahawa malaikat-malaikat Allah bergembira kerana seorang yang berdosa bertaubat.” Lukas 15:10 AVB   Apabila tamat ibarat tentang domba yang hilang, Tuhan Yesus mengisahkan ibarat yang kedua pula, “Atau seandainya seorang perempuan yang mempunyai sepuluh keping wang perak kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita lalu menyapu rumah dan mencari dengan cermat sehingga dia menemukannya kembali.  Setelah itu, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya dan berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan sekeping wang yang hilang itu.’ ”    Satu keping wang perak lebih kurang sama nilai dengan upah sehari untuk seorang pekerja pada zaman itu. Besar kemungkinan sepuluh keping wang perak itu merupakan keseluruhan wang yang dimiliki oleh perempuan tersebut. Apabila perempuan itu mendapati dia kehilangan sekeping wang perak yang sangat penting dan bernilai kepadanya, dia bertindak segera untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.     Memang dapat dibayangkan betapa gembiranya perempuan itu setelah dia berjaya menjumpai wang peraknya yang hilang. Hatinya  dipenuhi dengan sukacita yang besar sehingga dia ingin berkongsi kegembiraan tersebut dengan sahabat handai dan jiran tetangganya.  Demikianlah juga keadaannya dalam kerajaan syurga apabila seorang yang berdosa bertaubat daripada dosanya dan kembali kepada Allah. Maka seluruh malaikat Allah akan bersukacita.   Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah yang membuat hati kita sangat gembira dalam hidup ini? Adakah hati kita gembira apabila kita berkongsi Injil dengan giat kepada orang di sekeliling kita supaya mereka turut mengenal Yesus Kristus dan mengakui Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka?   Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku berterima kasih kepada-Mu kerana menyelamatkan aku daripada hukuman dosaku. Atas belas kasihan dan kasih kurnia-Mu aku diampuni daripada dosaku dan diselamatkan untuk mendapat hidup kekal. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Keinginan Allah untuk Kita Semua

    “Aku berkata kepadamu bahawa begitu jugalah kegembiraan di syurga kerana seorang yang berdosa bertaubat lebih daripada kegembiraan ke atas sembilan puluh sembilan orang yang benar yang tidak perlu bertaubat.”   Lukas 15:7 AVB   Tuhan Yesus mengisahkan ibarat ini kepada mereka yang bersungut-sungut bahawa Dia menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka.  “Jika seorang antara kamu mempunyai seratus ekor domba lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga ditemukannya. Setelah dia menemukannya, dia memikul domba itu di atas bahunya.  Setibanya di rumah, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya lalu berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan domba aku yang hilang itu.’      Ibarat tentang domba yang hilang  digunakan oleh Yesus untuk memberitahu orang ramai  betapa Allah sangat gembira apabila melihat orang bertaubat dan kembali kepada-Nya. peDemikian juga seharusnya dengan diri kita terhadap orang yang bertaubat dan kembali kepada Allah. Kita patut berasa sangat gembira apabila kita melihat seseorang memutuskan untuk bertaubat daripada dosanya dan kembali kepada Allah. Sebab pertaubatan merupakan keinginan Allah bagi semua orang di dunia ini. Dia amat bersabar dengan kita kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa tetapi Dia ingin semuanya bertaubat dan kembali kepada-Nya.   Sesungguhnya, seseorang yang terus hidup dalam dosa bagaikan domba yang hilang atau sesat. Dia sesat langkah daripada naungan dan perlindungan Allah, yang seharusnya mendapat penghormatan serta pengabdian daripadanya. Dia seperti domba yang menyimpang lalu terpisah daripada kawanan domba yang lain.   Domba yang sesat akan berkeliaran di merata-rata tempat kerana sudah kehilangan arah tuju, sehingga dia tidak lagi tahu di mana dirinya sedang berada. Dia berjalan ke sana ke mari dalam kebingungan. Dia tidak lagi selamat, bahkan dalam bahaya dan terancam oleh binatang buas. Hal ini menyebabkan dia sentiasa berasa takut dan ngeri kerana dia jauh daripada perlindungan gembalanya dan dia sendiri memang tidak dapat menemukan jalan untuk  kembali kepada gembala atau kawanannya.   Syukurlah, Allah datang mencari dan membawa kita pulang kepada-Nya. Itulah sebabnya Dia mengutus Anak Tunggal-Nya, iaitu  Tuhan Yesus untuk mencari dan menyelamatkan kita yang hilang.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas anugerah penyelamatan-Mu. Engkau mengutus Anak-Mu Yesus Kristus untuk mencari dan menyelamatkan aku daripada hukuman dosa. Bimbinglah aku dalam setiap langkahku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Menang Dalam Pertempuran Fikiran

    Oleh Pr Glenn Zedgar | UPC-KBM

  • Sambutlah dan Terima Semua Orang Seperti Yesus

    Orang Farisi dan ahli-ahli Taurat bersungut-sungut, “Orang ini menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka.”   Lukas 15:2 AVB   Pada suatu hari semua pemungut cukai dan orang yang berdosa datang mendengar Yesus. Apabila orang Farisi dan ahli-ahli Taurat melihat kedatangan golongan yang dipandang keji ini, mereka mulai tidak senang hati terhadap Yesus kerana Dia tidak keberatan langsung untuk menerima pemungut cukai dan orang yang berdosa. Mereka pun bersungut-sungut lalu berkata kepada orang ramai,  “Orang ini menyambut orang  berdosa dan makan bersama mereka.”   Menurut tanggapan orang Farisi dan ahli-ahli Taurat,  pemungut cukai ialah orang yang berdosa kerana mereka bekerja untuk orang Romawi. Mereka mengutip cukai daripada anggota masyarakat untuk diberikan kepada Kaisar. Selain itu, pemungut cukai tidak jujur dan amanah kerana mereka mengutip cukai yang lebih banyak daripada apa yang dikenakan sebenarnya oleh Kaisar demi mengumpulkan kekayaan secara tidak halal. Oleh sebab itu, orang Farisi dan ahli-ahli Taurat menganggap pemungut cukai sebagai orang jahat atau orang najis.   Di mata Yesus setiap orang adalah istimewa dan berharga bagi kerajaan-Nya. Itulah sebabnya Yesus menyambut dan menerima mereka lalu makan bersama mereka. Walapun masyarakat umum berpendapat bahawa tidak wajarlah Dia sebagai “Guru”  untuk berinteraksi dengan para pemungut cukai dan orang yang dipandang hina, tetapi bagi Yesus, misi-Nya yang terpenting adalah untuk membawa orang masuk ke dalam kerajaan-Nya.   Demikian juga seharusnya dengan diri kita. Janganlah sambutan dan penerimaan kita terhadap orang lain yang ada di sekeliling kita berdasar pada bangsa, pekerjaan, kedudukan atau latar belakang. Allah menerima setiap kita seadanya, justeru kita seharusnya membuka hati kita untuk menerima orang lain demi penyelamatan jiwa mereka.   Marilah kita meneladani Tuhan Yesus untuk menyambut dan menerima semua orang secara sama rata tanpa membeza-bezakan mereka. Allah tidak pilih kasih tetapi berbelas kasihan dan kasih kepada setiap orang, bahkan orang yang berdosa atau yang dipandang hina.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menjadi berkat kepada semua orang tanpa membeza-bezakan mereka berdasar pada bangsa, pekerjaan, kedudukan atau latar belakang. Tolonglah aku untuk mengasihi mereka dengan hati yang terbuka. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.  Pr Patrick Taie

  • Berserah Sepenuhnya Sebagai Murid yang Sejati

    “Garam itu baik tetapi jika menjadi tawar, bagaimanakah garam itu dapat dimasinkan semula?  Garam itu tidak berguna untuk menyuburkan tanah atau dijadikan baja kecuali dibuang sahaja. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah.” Lukas 14:34-35 AVB   Bagi seseorang yang memutuskan untuk mengikut Tuhan Yesus, dia haruslah menyerahkan hidupnya dengan sepenuh hati kepada Yesus. Sebab dia perlu bersiap sedia untuk memikul segala tanggungan demi Yesus. Maka sebelum membuat keputusan untuk mengikut Yesus, pertimbangan yang semasak-masaknya hendaklah dibuat.     Untuk mengikut Yesus, berserah diri dengan segenap hati dituntut sehingga kita tidak lagi tergoyahkan  oleh apa-apa sahaja yang menggugat iman kita di dunia ini. Sebab kita sudah membuat keputusan berdasarkan kepercayaan dan keyakinan yang sepenuhnya kepada Tuhan Yesus. Kita sama sekali tidak mengikut Yesus secara sambil lewa sahaja atau ikut sedap hati.   Itulah sebabnya Yesus berkata kepada kita, “ Garam itu baik tetapi jika menjadi tawar, bagaimanakah garam itu dapat dimasinkan semula?  Garam itu tidak berguna untuk menyuburkan tanah atau dijadikan baja kecuali dibuang sahaja. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah.”   Seperti yang diketahui, garam berfungsi sebagai pengawet, perasa dan perisa. Murid Yesus yang sejati memainkan peranan untuk membanteras atau merencatkan leluasanya kejahatan dan gejala sosial di mana-mana sahaja dia ditempatkan, sebagaimana garam mengawetkan makanan supaya tidak cepat rosak.   Sifat, tutur kata dan tindak tanduk murid Yesus yang bagaikan perasa dan perisa yang sedap manis turut menyebabkan orang lain berminat untuk mengenal Yesus dan menerima penyelamatan yang dianugerahkan-Nya.  Demikian juga dengan diri kita sebagai murid Yesus. Sekiranya hati kita berbelah bahagi pada hari ini, maka kita sama seperti garam yang menjadi tawar atau hilang masinnya.  Kita tidak berguna langsung dalam kerajaan Allah dan akan dibuang.   Jadilah murid Tuhan Yesus yang sejati, yang berserah diri sepenuhnya kepada-Yesus sahaja.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Pakailah hidupku untuk melayani-Mu dan ajarlah aku untuk melakukan kehendak-Mu sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

bottom of page