top of page

Cari

3258 results found with an empty search

  • Singkirkan Segala Kepura-puraan

    Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah orang yang membela diri di hadapan khalayak ramai, tetapi Allah mengetahui isi hatimu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia tidak ada nilainya di mata Allah.” Lukas 16:15 AVB   Setelah Tuhan Yesus mengajar murid-murid-Nya tentang wang dan kekayaan, Dia menekankan bahawa mereka tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan. Orang Farisi yang loba akan wang memberikan reaksi yang negatif kepada ajaran Yesus. Yesus pun menegur orang Farisi yang munafik. Mereka sentiasa berusaha sedaya upaya untuk kelihatan benar dan baik dengan melakukan ibadat keagamaan supaya mereka mendapatkan pujian daripada orang lain.     Bagaimanapun,  Allah yang mengetahui isi hati manusia, mengetahui niat jahat yang terpendam di dalam hati mereka. Sebab apa yang dipandang manusia sebagai sangat tinggi, seperti wang, kekayaan, status adalah sebaliknya bagi Allah. Maka Yesus menegur orang Farisi yang berpura-pura benar di hadapan orang lain sungguhpun hati mereka sangat jauh daripada Allah. Allah sangat membenci kepura-puraan hati mereka di hadapan orang lain. Tegasnya, tidak ada satu pun perkara yang tersembunyi di mata Allah.   Janganlah menjadikan diri kita seperti orang Farisi yang penuh dengan kepura-puraan, tetapi hati mereka tertutup kepada Allah. Mereka menipu diri mereka sendiri dan orang lain melalui penampilan luaran mereka yang nampaknya suci. Akan tetapi, isi hati mereka penuh dengan hal duniawi yang dikejar oleh manusia tetapi dibenci oleh Allah.   Ingat, segala perkara di hadapan Allah tidak ada yang tersembunyi, semuanya terbuka. Oleh itu, kita harus membina hidup kita dengan kebenaran firman Allah. Sebab bagi-Nya hati yang hancur, sesal dan ikhlas  adalah yang dicari oleh-Nya. Jalanilah hidup yang selaras dengan kebenaran firman-Nya setiap hari dan mohonlah Allah untuk menyingkirkan segala kepura-puraan daripada diri kita.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku daripada segala kepura-puraan yang menguasai hatiku. Ajarlah aku untuk menjalani hidup yang menyenangkan hati-Mu. Bimbinglah aku untuk mengikut jalan-Mu setiap hari agar aku terus memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Doa Puji Harian

    Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia

  • Kerana Kebenaran Orang Mengejek Kita

    Orang Farisi yang mendengar kata-kata Yesus mengejek-Nya kerana mereka loba akan wang.   Lukas 16:14 AVB   Ketika orang Farisi mendengar ajaran Tuhan Yesus bahawa murid-murid-Nya tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan,  mereka mula mengolok-olokkan dan mentertawakan Yesus. Mereka tidak berminat langsung dengan ajaran-Nya yang secara tidak langsung menegur mereka. Ejekan mereka sebenarnya menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja munafik tetapi juga buta rohani. Apa yang lebih disukai mereka ialah wang dan bukan kebenaran atau kerajaan Allah. Yesus memberitahu mereka, “Kamulah orang yang membela diri di hadapan khalayak ramai, tetapi Allah mengetahui isi hatimu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia tidak ada nilainya di mata Allah.   Oleh sebab tamak haloba menguasai hidup peribadi orang Farisi, maka mereka mula tidak berasa selesa dengan ajaran Yesus. Sebab ajaran Yesus itu sesungguhnya telah membongkarkan segala pelanggaran  mereka yang tersembunyi selama ini. Atas kebenaran yang diperkatakan Yesus, maka kemunafikan orang Farisi tersingkap.   Demikian juga dengan banyak orang pada hari ini. Kelihatan mereka hidup seperti orang benar yang bersungguh-sungguh menjalankan kewajipan agama. Seperti orang Farisi, mereka memiliki banyak pengetahuan tentang hukum agama dan sangat tekun melakukan kegiatan ibadat mereka. Namun demikian,  mereka tamak haloba dan besar diri sehingga hidup mereka dihancurkan oleh sifat cinta akan wang.   Sebenarnya, orang Farisi mentertawakan Yesus kerana ajaran-Nya bertentangan dengan cara hidup mereka yang penuh dengan ketamakan dan keangkuhan. Oleh itu, janganlah kita berkecil hati atau mudah berputus asa sekiranya orang mula memperolok-olokkan kita atas kebenaran firman Allah yang kita sampaikan kepada mereka. Ingatlah bahawa Yesus juga melalui keadaan yang sama. Orang dunia ini pasti akan memperolok-olokkan  kita sekiranya kita terus berkata tentang kebenaran firman Allah kerana fokus mereka ialah kekayaan duniawi dan bukannya Allah.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk terus berkata tentang kebenaran-Mu kepada orang yang ada di sekelilingku. Biarlah kebenaran-Mu itu terus berakar umbi  dan bermekar dalam hidupku.  Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Doa Puji Harian

    Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia

  • Janganlah Mengabdi Diri Kepada Dua Orang Tuan Pada Masa yang Sama

    “Seorang hamba tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.”   Lukas 16:13 AVB   Tuhan Yesus mengakhiri ibarat-Nya tentang pengurus yang cerdik dengan berkata kepada murid-murid-Nya bahawa tidak ada seorang pun yang dapat bekerja pada satu waktu yang sama kepada dua orang tuan. Sebab dia akan membenci tuan yang satu dan menyukai tuan yang lain. Selain itu, dia akan patuh kepada tuan yang satu dan mengingkari tuan yang lain.   Demikian juga  dengan diri kita pada hari ini. Kita tidak boleh menjadi hamba kepada Allah dan pada masa yang sama kita juga menjadi hamba kepada wang. Sebab kita hanya dapat melayani satu tuan sahaja pada satu-satu masa. Seorang hamba yang ingin mengabdi diri kepada Allah tidak dapat menyerah diri yang sepenuhnya kepada Allah sekiranya pada masa yang sama dia juga ingin mengabdi diri kepada wang.   Sebenarnya, Tuhan Yesus menggesa kita untuk mengabdi diri kepada Allah dengan sepenuh jiwa raga. Kita tidak boleh mengasihi atau melayani dua orang tuan sama seperti kita tidak boleh berjalan menuju dua hala yang berlainan pada satu-satu masa. Jika kita memilih untuk mengabdi diri kepada kekayaan, mana boleh kita mengabdi diri kepada Allah. Kalau kita memilih untuk mengabdi diri kepada Allah, janganlah kita mengabdi diri kepada kekayaan pula. Yesus menuntut  kejujuran dan kebolehpercayaan daripada kita. Dengan kata lain, kita mengutamakan Allah dalam segala-galanya. Ingat, Allah dan kekayaan dunia ini  menuntut kesetiaan dan keutamaan yang saling bercanggah.   Memang kita mungkin ingin ada kedua-dua Allah dan kekayaan, tetapi kita tidak dapat melayani kedua-duanya dengan sepenuh hati. Kita  akan membenci yang satu dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang satu dan curang kepada yang lain. Mustahillah kita menjadi hamba Allah dan juga hamba wang. Jika Allah ialah tuan kita, wang ialah hamba kita dan kita akan menggunakan sumber kewangan kita mengikut kehendak Allah. Bagaimanapun, jika Allah bukan tuan kita, kita akan menjadi hamba kepada wang. Betapa malangnya wang dijadikan tuan! Kita akan mensia-siakan hidup. Amalan mengutamakan wang akan membawa kebinasaan rohani tetapi amalan mengutamakan Allah akan membawa berkat yang melimpah ruah.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang  menyerah seluruh hidupku kepada-Mu. Bimbinglah aku untuk mengikut semua jalan-Mu dalam hidupku. Engkau sahajalah yang terutama dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Doa Puji Harian

    Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia

  • Sudah Selesai Hidup Dalam Kemenangan Kristus

    Oleh Pr Glenn Zedgar | UPC-KBM

  • Amanah Terhadap Harta Syurga Terletak Pada Pengurusan Harta Dunia

    “Oleh itu, jika kamu tidak setia dalam kekayaan dunia ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan yang sejati kepadamu?” Lukas 16:11 AVB   Yesus sekali lagi berkata kepada murid-murid-Nya bahawa kesetiaan mereka terhadap pengurusan harta dunia ini akan menjadi dasar mereka mengendalikan harta yang datang dari syurga. Dengan kata lain,  jika mereka bukanlah pengurus yang setia mengendalikan harta dunia yang diberikan, mana mungkin mereka diamanahkan dengan berkat rohani yang lebih penting lagi daripada Allah. Oleh itu, mereka harus membuktikan kesetiaan mereka terlebih dahulu dalam pengurusan harta dunia ini.   Sebab sekiranya mereka tidak jujur dan setia mengurus harta dunia  yang telah diamanahkan kepada mereka, mana boleh Allah mengamanahkan harta syurga kepada mereka. Sebab mereka ternyata tidak jujur dan setia menggunakan kekayaan dunia ini. Akibatnya,  mereka juga tidak akan diamanahkan untuk menggunakan kekayaan yang sejati, iaitu  berkat rohani dan ganjaran syurgawi yang dikurniakan oleh Allah dan yang mempunyai nilai abadi.   Sesungguhnya, kesetiaan mengurus harta dunia menjadi kayu pengukur tentang perwatakan  diri dan potensi mereka untuk memegang tanggungjawab yang lebih besar dalam kerajaan Allah serta diamanahkan untuk mengurus harta syurga yang jauh lebih bernilai. Jelaslah bahawa mereka harus menggunakan kekayaan dunia dengan sebaik-baiknya agar mereka dapat dipercayai untuk menggunakan kekayaan yang sejati dari syurga.   Kekayaan yang sejati ialah harta rohani yang akan menyebabkan mereka menjadi kaya  dalam iman mereka, kaya terhadap Allah, kaya dalam Kristus, kaya dalam janji-janji-Nya, dan kaya  dalam harta syurgawi. Oleh itu, marilah kita mengumpulkan harta kekayaan dari syurga dengan mengutamakan kerajaan Allah dan kebenaran-Nya.   Harta duniawi ialah perkara kecil, tetapi kasih kurnia Allah, hubungan kita dengan Allah  dan kemuliaan Allah merupakan perkara yang lebih besar daripada segala-galanya.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menurut kehendak-Mu dalam segala yang aku lakukan. Tolonglah aku untuk mengurus segala harta dunia yang diberikan kepadaku dengan jujur dan setia. Bimbinglah aku dalam segala jalanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.  Pr Patrick Taie

  • Doa Puji Harian

    Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia

  • Dipanggil Dengan Tujuan

    Oleh Pr Glenn Zedgar | UPC-KBM

  • Jika Setia dalam Perkara Kecil, akan Setia Juga dalam Perkara Besar

    “Orang yang setia dalam perkara yang kecil akan setia juga dalam perkara yang besar; dan orang yang tidak setia dalam perkara yang kecil tidak akan setia dalam perkara yang besar.” Lukas 16:10 AVB   Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa sekiranya seseorang itu mampu mengurus harta yang diamanahkan kepadanya dalam jumlah yang kecil dengan baik, maka  dia pasti mampu untuk mengurus jumlah harta yang besar dengan baik juga.    Hal ini bermakna bahawa kesetiaan seseorang itu dibuktikan mula-mulanya dalam perkara yang kecil. Dia seterusnya akan setia dalam perkara yang lebih besar. Demikian juga halnya dengan seseorang pengurus. Kejujurannya terbukti dalam perkara yang kecil terlebih dahulu. Sekiranya dia tidak jujur dalam perkara kecil, apa lagi dalam perkara yang lebih besar.   Pendek kata, kejujuran dan kesetiaan seseorang akan teruji dalam perkara yang kecil terlebih dahulu. Sekiranya dia tidak jujur dalam hal-hal yang kecil, bagaimanakah mungkin dia boleh dipercayai dalam perkara-perkara yang lebih besar? Hal ini merujuk kepada sikap  tanggungjawab seseorang terhadap pemberian Allah yang diamanahkan kepadanya.   Ingatlah, kita hanya pengurus yang diamanahkan oleh Allah. Semua yang kita miliki, seperti sumber kewangan atau harta benda, masa, peluang dan kebolehan sebenarnya diberikan oleh Allah. Kita dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengurusnya dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, kita harus sentiasa jujur dan taat setia dalam tanggungjawab mengurus pemberian Allah. Sekiranya kita taat setia dalam tanggungjawab kecil, maka Allah tentu akan mengamanahkan tanggungjawab dan harta sejati yang lebih besar lagi kepada kita.   Kesimpulannya, biarlah kita setia mengurus yang sedikit atau yang kecil dahulu. Maka Allah akan memberi kita kuasa untuk mengendalikan yang banyak atau yang besar kemudian.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk setia dan jujur dalam perkara-perkara  kecil ataupun besar yang diamanahkan kepadaku. Teguhlah hati  dan hidupku agar dalam semua urusanku Engkau akan dipermulia. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.  Pr Patrick Taie

bottom of page