Support Us
Support Us
Cari
3259 results found with an empty search
- Hati Yang Diperbaharui
Oleh Pr Glenn Zedgar | UPC-KBM
- Adakah anda Seorang Murid Yesus yang Sejati?
“Sesiapa yang tidak memikul salibnya dan mengikut Aku, tidak boleh menjadi murid-Ku.” Lukas 14:27 AVB Setiap orang yang tidak bersiap sedia atau rela untuk berkorban ataupun menanggung beban berat demi Tuhan Yesus tidak layak untuk menjadi murid-Nya. Sebab seseorang itu haruslah memikul salibnya dan mengikut Yesus. Sebagai murid Yesus yang memutuskan untuk mengikut-Nya, dia harus bertahan dengan segala cercaan yang dilontarkan oleh orang di sekelilingnya. Demikian juga dia harus menghadapi segala keaiban, penghinaan, dan penganiayaan daripada orang yang membencinya kerana Yesus. Dengan kata lain, untuk melayakkan seseorang itu menjadi murid Yesus, bukan dia lagi yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalamnya. Memikul salib menandakan dia rela menyerahkan hidup, kehendak diri, cita-cita dan kesenangannya secara mutlak kepada Allah. Oleh itu, apabila Yesus memanggil kita untuk memikul salib kita dan mengikut-Nya, maka kita harus menurut dan mentaati-Nya dengan segenap jiwa raga. Kita tidak lagi hidup demi diri kita tetapi hidup sepenuhnya demi Yesus. Kita hendaklah mengarahkan seluruh pandangan mata kita hanya pada Kristus dan bersandar sepenuhnya pada-Nya. Sesungguhnya, memikul salib bererti kita rela menanggung keaiban, penghinaan, penderitaan, dan penganiayaan, bahkan pengorbanan nyawa demi Kristus. Relakah kita berbuat demikian untuk menjadi murid Yesus yang sejati? Doa: Ya Bapa yang di syurga, tolonglah aku untuk mengikut Engkau dalam semua jalanku walaupun banyak cabaran yang harus aku tempuhi. Biarlah kasih dan imanku kepada-Mu tidak sekali-kali berubah. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Fikiran Yang Dipenuhi Harapan
Oleh Pr Glenn Zedgar | UPC-KBM
- Lebih Mengasihi Yesus
“Jika seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan nyawanya, dia tidak boleh menjadi murid-Ku.” Lukas 14:26 AVB Tuhan Yesus berkata kepada orang ramai yang berduyun-duyun mengikut-Nya, “Jika seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan nyawanya, dia tidak boleh menjadi murid-Ku.” Kata-kata Yesus bermaksud bahawa banyak orang berpusu-pusu mengiringi-Nya hanya sekadar mahu menyaksikan mukjizat dan keajaiban yang dilakukan-Nya dan bukan atas kasih yang besar kepada-Nya. Oleh itu, sekiranya seseorang mahu mengikut Yesus, kasihnya kepada Yesus mestilah lebih besar daripada kasihnya kepada semua orang dalam hidupnya. Andai kata kasihnya kepada anggota keluarga, sanak saudara dan sahabat handai, termasuk diri sendiri lebih besar daripada kasihnya kepada Tuhan Yesus, maka orang itu tidak layak mengikut Yesus. Sebab apabila kasihnya kepada Tuhan Yesus separuh-separuh, maka penyerahan dirinya kepada-Nya tidaklah teguh dan sejati. Pendek kata, seseorang yang memutuskan untuk mengikut Tuhan Yesus hendaklah mengutamakan kasih dan taat setia kepada-Nya dan tidak sekali-kali meletakkan sesiapa sahaja mendahulukan Tuhan Yesus. Yesuslah yang terutama dalam hidupnya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk jauh lebih mengasihi-Mu berbanding dengan kasihku kepada semua orang atau hal yang lain dalam hidupku. Biar Engkaulah yang terpenting dalam hidupku ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Utamakan Jemputan Kerajaan Allah
“ ‘Aku berkata kepadamu bahawa tiada seorang pun antara mereka yang telah dijemput itu, akan menikmati jamuanku ini.’ ” Lukas 14:24 AVB Apabila pelayan itu pulang dan memberitahukan alasan para tetamu, tuan rumah yang menyediakan jamuan besar itu pun sangat marah kepada mereka yang berdalih menolak jemputannya. Dalam budaya orang Yahudi penolakan yang sedemikian dianggap sebagai satu penghinaan peribadi kepada tuan rumah. Oleh sebab mereka tidak mahu datang menghadiri jamuan itu, maka dia tidak sekali-kali akan memberi mereka makan sedikit pun daripada makanan yang disediakan untuk jamuan itu. Hal ini bermakna bahawa penolakan kepada jemputan telah menutup pintu untuk mereka menikmati jamuan yang telah disediakan. Walaupun jamuan itu sebenarnya disediakan untuk mereka, tetapi penolakan mereka dengan pelbagai alasan yang remeh-temeh menyebabkan mereka tidak layak lagi untuk memasuki balai jamuan. Jamuan besar ini merujuk kepada "Perjamuan Dalam Kerajaan Allah" yang menyatakan jemputan untuk penyelamatan kita semua. Kita dijemput untuk menghadiri jamuan itu tetapi pada saat akhir ada sebilangan kita yang dijemput tergamak membatalkan kehadiran kita semata-mata atas hal-hal keduniaan atau kepentingan peribadi. Betapa seriusnya akibat yang akan menimpa kita jika kita terus menolak jemputan daripada Allah. Sesungguhnya, alangkah ruginya kita yang menolak jemputan itu kerana jemputan itu dilakukan bukan berdasarkan perbuatan baik kita, atau penyangkalan diri kita, ataupun ketaatan kita mengikut ajaran agama, tetapi semuanya atas limpah belas kasihan dan anugerah Allah yang menyediakan jamuan. Apabila menerima jemputan, jangan berubah hati pada saat yang terakhir. Jemputan harus berdasarkan kerelaan untuk melepaskan segala sesuatu dalam hidup kita yang tidak menyenangkan hati Allah demi penyelamatan jiwa kita. Sebab penyelamatan itu perlu dibayar dengan harga yang tinggi sekali. Menerima penyelamatan dalam Yesus mungkin akan membawa kesan tertentu kepada karier kita, kehidupan sosial kita, atau kehidupan keluarga kita, bahkan nyawa kita. Bagaimanapun, menghadiri jamuan itu akan memberikan sukacita dan damai sejahtera yang besar dalam hidup kita untuk selama-lamanya. Tegasnya, jangan biarkan hal-hal duniawi menjajah hidup kita, tetapi terimalah Yesus dan ikut Dia seumur hidup kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana menerima aku seadanya. Berilah aku hati yang rela untuk meninggalkan hal-hal duniawi dan meletakkan Engkau sebagai yang terutama dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Keutamaan Dalam Hidup Kita
“Seorang yang lain lagi berkata, ‘Aku baru berkahwin. Oleh itu, aku tidak dapat datang.’ ” Lukas 14:20 AVB Satu alasan lagi daripada orang yang menolak jemputan untuk menghadiri jamuan besar yang diadakan ialah dia baru sahaja berkahwin. Dengan itu, dia tidak dapat datang untuk menghadiri jamuan itu. Sebagaimana yang diketahui, persediaan untuk perkahwinan orang Yahudi dirancang dan diatur dengan sangat teliti sekali. Lelaki tersebut sudah tentu mengetahui bila dia akan melangsungkan perkahwinan. Jadi, awal-awal lagi dia tidak patut bersetuju untuk menerima jemputan untuk jamuan besar itu dan kemudian tidak mahu menghadirinya pula. Bersama pasangan baharu untuk mengurus rumah tangga setelah berkahwin bukanlah sesuatu yang salah di hadapan Allah tetapi Allah tidak harus diketepikan dalam hubungan suami isteri kerana Dia haruslah menjadi yang terutama dalam rumah tangga. Perbuatan lebih mengutamakan pasangan daripada Allah merupakan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak-Nya. Ingatlah bahawa pasangan hidup merupakan pemberian yang baik daripada Allah. Siapakah yang merupakan orang yang terpenting dalam hidup anda pada hari ini? Apakah jemputan dan panggilan Allah penting bagi dirimu hari ini atau sebaliknya? Sewaktu Allah menjemput anda, siapakah yang kamu utamakan dalam hidup anda? Tuhan Yesus telah membayar harga yang sangat mahal untuk menyediakan anugerah penyelamatan bagi setiap kita. Apakah kita telah mendengar jemputan dan panggilan-Nya kepada kita saat ini? Atau kita berkata, “ Minta maaf, aku baru sahaja …..”? Doa: Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku atas kesalahanku yang tidak mengutamakan Engkau dalam hidupku. Sering kali aku mengutamakan kepentingan peribadiku. Ajarlah aku untuk sentiasa menjadikan Engkau sebagai yang terutama dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Hidup Berkuasa
Pr Daniel Tan | SIB Life
- Akibat Kekhuatiran Tentang Hal-Hal Duniawi
“ ‘Seorang yang lain berkata, ‘Aku telah membeli lima pasang lembu dan harus pergi mencuba lembu-lembu itu. Aku minta maaf.’ ” Lukas 14:19 AVB Orang kedua yang dijemput untuk menghadiri jamuan besar itu memberitahu pelayan tuan rumah bahawa dia meminta maaf tidak dapat datang untuk jamuan itu kerana dia baru sahaja membeli lima pasang lembu dan dia hendak pergi mencuba haiwan itu terlebih dahulu. Oleh sebab cemas hati dan khuatir tentang hal-hal duniawi, maka tetamu itu menolak pada saat akhir untuk menghadiri jamuan itu. Kononnya, pembelian lima pasang lembu menghalang dirinya untuk datang menyertai jamuan yang disediakan baginya. Alasannya ialah dia ingin memastikan sama ada lembu-lembu yang dibelinya itu dapat memenuhi keperluannya atau tidak. Sebelum dia membayar wang untuk membeli lima pasang lembu itu, bukankah tidak masuk akal jika dia tidak terlebih dahulu mencuba dan meneliti lembu itu dengan cermat? Tidak dinafikan bahawa alasan yang diberikan oleh tetamu ini sangat lemah selain menunjukkan hidupnya lebih banyak menumpukan hal-hal keduniaan. Sebenarnya, alasannya itu juga merupakan kecenderungan kebanyakan orang terhadap harta benda duniawi dan kekhuatiran mereka tentang kebendaan. Betapa pentingnya komitmen rohani lebih diutamakan daripada hak milik kebendaan atau kepentingan peribadi. Demikianlah dengan diri kita pada hari ini. Sekiranya kita sentiasa berfokus pada kekhuatiran tentang hal-hal duniawi, maka kita akan menolak jemputan dan panggilan Allah untuk hidup kita. Sebab kita akan membiarkan kekhuatiran tentang hal-hal duniawi ini melumpuhkan hidup kita. Sesiapa yang tidak mengendahkan panggilan Allah akan terlepas peluang untuk menikmati jamuan besar dalam kerajaan-Nya kelak. Oleh itu, singkirkan segala kekhuatiran tentang hal-hal duniawi. Terimalah anugerah Allah dan datanglah kepada-Nya dengan hati yang terbuka tanpa berdalih lagi. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menyingkirkan segala kekhuatiran tentang hal-hal duniawi yang menguasai hidupku. Bukalah hatiku untuk menerima anugerah-Mu dan mengikut Engkau seumur hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie











