top of page

Cari

3189 results found with an empty search

  • DOA NECF Hari 5: Bangsa yang Takut akan Tuhan

    Konsep “bangsa yang takut akan Tuhan” disebut khususnya berkaitan dengan Israel dan negara lain yang mengakui kedaulatan Tuhan. Israel: Israel sering digambarkan sebagai bangsa yang dipilih oleh Tuhan untuk menyembah dan mengabdi kepada-Nya. Konsep takut akan Tuhan berkait rapat dengan hubungan perjanjian mereka denganNya. Ulangan 10:12-13 dan Mazmur 33:8 menekankan pentingnya rasa hormat dan ketaatan kepada Tuhan. Bangsa Lain: Bangsa-bangsa bukan Israel menyatakan satu bentuk penghormatan kepada Tuhan, mengakui autoriti dan kuasaNya. Dalam Yunus 3, penduduk Niniwe takut akan Tuhan dan mereka bertaubat selepas amaran Yunus. Daniel 4:34-37 menggambarkan Raja Nebukadnezar dari Babel mengakui dan takut akan Tuhan selepas tempoh kerendahan hatinya. Mazmur 33:8 berkata: “Biarlah segenap bumi takut kepada TUHAN, biarlah semua penduduk dunia gentar terhadap Dia! “ Pemazmur menyeru semua orang di bumi untuk dengan hormat mengakui dan takut akan Tuhan, mengakui kekuasaan-Nya yang tertinggi sebagai Pencipta dan Penguasa atas semua ciptaan. Menurut Alkitab, apabila sesebuah negara takut akan Tuhan, beberapa kesan positif ditonjolkan: 1. Berkat dan kemakmuran: Mazmur 33:12 berkata, “Berbahagialah bangsa, yang Allahnya ialah TUHAN, suku bangsa yang dipilih-Nya menjadi milik-Nya sendiri!” 2. Kebenaran dan keadilan: Amsal 14:34 menyatakan, “Kebenaran meninggikan derajat bangsa, tetapi dosa adalah noda bangsa.” 3. Perlindungan Ilahi: Mazmur 34:8 mencadangkan bahawa, “Malaikat TUHAN berkemah di sekeliling orang-orang yang takut akan Dia, lalu meluputkan mereka.” 4. Kedamaian dan kestabilan: Yesaya 26:3 berbicara tentang kedamaian, “Yang hatinya teguh Kaujagai dengan damai sejahtera, sebab kepada-Mulah ia percaya.” 5. Kebijaksanaan dan bimbingan: Amsal 9:10 mengajar, “Permulaan hikmat adalah takut akan TUHAN, dan mengenal Yang Mahakudus adalah pengertian.” 6. Pemulihan dan penyembuhan: 2 Tawarikh 7:14 menjanjikan, “dan umat-Ku, yang atasnya nama-Ku disebut, merendahkan diri, berdoa dan mencari wajah-Ku, lalu berbalik dari jalan-jalannya yang jahat, maka Aku akan mendengar dari sorga dan mengampuni dosa mereka, serta memulihkan negeri mereka.” Ringkasnya, apabila sesebuah negara takut akan Tuhan, ia akan mengalami berkat, keadilan, perlindungan, keamanan, kebijaksanaan, dan potensi pemulihan. Doa: ● Bapa Syurgawi, jadikanlah kami bangsa yang takut akan Engkau di mana kami akan saling menghormati antara satu sama lain, dan hidup dalam kesatuan, persefahaman dan kasih. Kiranya kasih-Mu mengubah hati kami, membawa kesembuhan, kedamaian dan harapan kepada semua. Dalam nama Yesus, Amin. ● GEREJA - Berdoa agar Gereja meninggalkan semua penyembahan berhala dan keinginan dan motif yang mementingkan diri sendiri, dan agar jemaah akan menjalani kehidupan yang serupa dengan Kristus dan berpusatkan Kristus. (Yosua 24:14) ● BANGSA - Berdoa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan kuasa dan tugasnya secara bebas, telus dan profesional, tanpa dikompromikan oleh sebarang pengaruh atau campur tangan politik. Dr Henry Padin

  • Utamakanlah Kerajaan Allah

    “Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.” Lukas 12:31 AVB   Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa ketika mereka menghadapi kerunsingan, mereka perlu memastikan bahawa Allah terus memerintah seluruh jiwa raga mereka. Dengan itu, segala keperluan yang lain, seperti makanan, minuman, dan pakaian akan diberikan oleh Allah kepada mereka kerana Dialah Tuhan yang tahu bagaimana menolong atau memenuhi segala keperluan mereka.   Tegasnya, setiap murid-Nya hendaklah mengutamakan kerajaan Allah dalam hidup dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah bagi diri mereka. Mereka hendaklah percaya dan yakin bahawa Allah yang maha kuasa dan penuh kasih sayang akan memberi mereka semua yang diperlukan mereka.    Mengutamakan kerajaan Allah dalam hidup ini bermaksud pengikut-pengikut Tuhan Yesus perlu menjadikan pemberitaan kerajaan Allah sebagai keutamaan bagi diri mereka. Seluruh hidup mereka haruslah sentiasa tertuju pada pekerjaan Allah. Mereka tidak mengenal jerih lelah apabila mereka berusaha mengkhabarkan Injil dengan sepenuh hati, asalkan berita tentang Yesus disampaikan kepada orang di sekeliling mereka.   Oleh itu, jangan sekali-kali mengalihkan hati dan fikiran kita daripada pekerjaan Allah dalam hidup ini. Allah telah memanggil setiap kita ke ladang yang tuaiannya banyak sekali. Yakinlah bahawa Dia akan memperkasakan dan memampukan kita untuk menyempurnakan pekerjaan yang diberikan-Nya.  “Segala yang kamu katakan dan lakukan haruslah dengan nama Tuhan Yesus sambil mengucap syukur kepada Bapa kita Allah melalui-Nya.” Kolose 3:17 AVB   Doa: Ya Tuhan Yesus, terima kasih atas kasih dan anugerah-Mu. Ajarlah aku supaya sentiasa mengutamakan Engkau dalam segala perkara yang aku lakukan. Ampunilah aku kiranya aku tidak mengutamakan Engkau. Inilah diriku,  pakailah aku demi memuliakan nama-Mu. Dalam nama-Mu, ya Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • DOA NECF Hari 4: Takut akan Tuhan bererti Pertaubatan dan Menjalani Kehidupan Kekudusan

    “dan umat-Ku, yang atasnya nama-Ku disebut, merendahkan diri, berdoa dan mencari wajah-Ku, lalu berbalik dari jalan-jalannya yang jahat, maka Aku akan mendengar dari sorga dan mengampuni dosa mereka, serta memulihkan negeri mereka.” (2 Tawarikh 7:14) Janji perjanjian Tuhan kepada umat-Nya di mana Dia menekankan kesediaan-Nya untuk mengampuni dan memulihkan ketika mereka bertaubat terungkap dalam 2 Tawarikh 7:14. Pertaubatan bukan hanya merasakan kesedihan kerana dosa tetapi datang dengan tindakan nyata seperti: (1) Merendahkan diri: mengakui dosa-dosa kita dan kebergantungan kita pada belas kasihan Tuhan (lihat Yakobus 4:10; (2) Berdoa: berkomunikasi dengan Tuhan, mengaku dosa kita dan memohon pengampunan-Nya (lihat 1 Yohanes 1: 9); (3) Hati dengan kehendak-Nya (lihat Mazmur 27:8 dan (4) Berpaling daripada jalan jahat kita (lihat Yehezkiel 18:30). Pertaubatan kita haruslah merangkumi langkah-langkah berikut: (Langkah 1) Pembaharuan fikiran kita setiap hari. Roma 12: 2 mendorong orang percaya untuk memperbaharui fikirkan mereka secara terus-menerus untuk membezakan kehendak Tuhan dan mengelak daripada mengikut pola dosa. (Langkah 2) Mengandalkan Roh Kudus, Galatia 5:16 mengingatkan kita untuk “berjalan dengan Roh,” yang memberi daya kepada kita untuk melawan dosa dan hidup sesuai dengan keinginan Tuhan. (Langkah 3) Menjalani kehidupan yang bertaubat. Lukas 9:23 menyeru orang percaya untuk memikul salib mereka setiap hari, melambangkan kehidupan penyangkalan diri. Kita pasti melakukan kesilapan, tetapi kasih karunia Tuhan cukup bagi kita (lihat 2 Korintus 12: 9) dan belas kasihan-Nya baru setiap pagi (lihat Ratapan 3: 22-23). Jaminan ini mendorong kita untuk memohon pengampunan atas dosa kita yang mungkin termasuk: (1) Dosa peribadi seperti bergosip dan fitnah. Amsal 16:28 memperingatkan bahawa “Orang yang curang menimbulkan pertengkaran, dan seorang pemfitnah menceraikan sahabat yang karib.” Kita mungkin secara tidak sengaja menyakiti orang lain melalui perkataan yang cuai. (2) Dosa masyarakat seperti mengabaikan orang miskin dan yang dalam keperluan. Yakobus 2: 15-16 menantang kita untuk menyediakan bagi mereka yang memerlukan. (3) Dosa global seperti ketamakan dan materialisme. Kolose 3: 5 menggambarkan ketamakan sebagai penyembahan berhala, yang menghalang daripada menyembah Tuhan dan mengutamakan kerajaan-Nya. Doa: ● Bapa Surgawi, ampuni kami kerana kami telah gagal mentaati perintah-Mu melalui perkataan, tindakan, dan ketidakbertindakan kami. Ampuni dosa kesombongan, kemarahan, dan gosip peribadi kami, dan tolong kami berbicara dan bertindak dengan kasih karunia dan kasih. Sebagai sebuah masyarakat, kami bertaubat mengabaikan orang miskin, menutup mata terhadap ketidakadilan, dan gagal hidup sebagai tubuh Kristus. Kami juga mengakui ketamakan dan materialisme yang telah mengalihkan perhatian kami dari mencari kerajaan-Mu terlebih dahulu. Kuduskanlah kami dari semua ketidakbenaran. Dalam nama Yesus, Amin. ● GEREJA - Berdoalah agar Tuhan memberi kuasa kepada gereja untuk melawan setiap pertempuran dengan pujian, penyembahan, dan kesyukuran, agar bangsa-bangsa akan melihat kuasa-Nya melalui Gereja dan belajar takut akan Dia. (2 Tawarikh 20:29) ● BANGSA - Berdoalah agar Perkhidmatan Awam bebas daripada rasuah dan berfungsi secara berkesan dan cekap. Dr Henry Padin

  • Hari 4: Harus Memilih

    Tarikh: 10 Ogos 2025 Ayat Fokus: Mazmur 25:12 & 32:8  Tidak mudah untuk memahami apa maksud berjalan dalam takut akan Tuhan. Berikut adalah satu contoh yang mungkin akan membantu. Bayangkan Ah Ming sedang duduk di meja makan, membuat kerja sekolah. Tetapi dalam hatinya, dia sangat ingin bermain permainan video. Ibunya juga berada di situ, menggosok pakaian sekolahnya dan adiknya. Dia sedang memerhatikan Ah Ming. Ah Ming mendongak dan melihat tatapan mata ibunya. Mata ibunya tertuju kepada kerja sekolahnya. Ah Ming mengeluh dan meneruskan tugasnya. Ibu Ah Ming sedang membimbingnya dengan matanya, dan dia memilih untuk melakukan apa yang harus dilakukan. Tiba-tiba ibunya berkata, “Ibu hendak keluar sebentar untuk menguruskan sesuatu. Teruskan kerja sekolahmu dan bantu adikmu, Sze Hwa, jika perlu.” Di dalam hatinya, Ah Ming masih mahu bermain permainan video. Tetapi dia tahu apa yang harus dia lakukan, iaitu mematuhi arahan ibunya. Jadi, walaupun ibunya tidak ada di rumah, dia tetap meneruskan kerja sekolahnya, bahkan membantu adiknya. Ini bukan kerana ibu bapa atau Tuhan bersikap keras terhadap kita. TIDAK! Sebaliknya, mereka mengasihi kita dan mahukan yang terbaik untuk kita. Begitu juga, berjalan dalam takut akan Tuhan membantu kita untuk taat, bukan kerana kita takut dihukum, tetapi kerana kita sangat menghormati-Nya. Ia seperti Tuhan membimbing kita dengan mata-Nya. Kita memilih apa yang harus kita lakukan. Renungkan: Takut akan Tuhan membantu saya memilih apa yang harus saya lakukan. Doa Hari Ini: Abba Bapa, terima kasih atas kasih-Mu dan mata Mu yang membimbing saya untuk memilih apa yang sepatutnya. Ini membantu saya untuk menjauhi masalah. Terima kasih atas pelajaran dalam belajar hikmah yang lebih besar. Dalam nama Yesus saya bersyukur. Amin. Gereja: Berdoalah agar penyembahan, ucapan syukur, dan pujian menjadi gaya hidup kita. Berdoalah agar ketika kita bimbang, kita menyembah Tuhan. Ketika kita sedih, kita bersyukur kepada-Nya. Dan ketika kita lemah, kita memuji Yesus. (Baca 2 Tawarikh 20:29) Bangsa: Berdoalah agar para penjawat awam di Malaysia tidak terlibat dalam rasuah, tetapi menjalankan tugas mereka dengan baik serta memiliki sikap yang benar.

  • Janganlah Runsing

    “Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah runsing.” Lukas 12:29 AVB   Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya supaya tidak terlalu bimbang atau runsing memikirkan  apa yang  mahu dimakan dan diminum mereka. Yesus menasihati mereka untuk memperhatikan burung-burung di udara yang tidak meyemai atau menuai tetapi Allah memeliharanya dengan memberinya makan. Demikian juga dengan diri murid-murid Yesus. Allah pasti akan memelihara dan menjaga mereka kerana mereka lebih bernilai daripada burung-burung itu.   Sesungguhnya, Yesus mahu memperingatkan diri mereka supaya tidak cemas, runsing atau khuatir berlebih-lebihan tentang apa yang akan dimakan dan diminum mereka. Sebab perasaan cemas, bimbang atau khuatir yang keterlaluan akan mendatangkan mudarat dan melumpuhkan hidup  rohani  mereka.   Dengan itu, mereka perlu mengelakkan diri daripada dibelenggu oleh kerunsingan dan kekhuatiran. Sebaliknya, mereka akan datang kepada Allah untuk memohon supaya semua keperluan mereka akan dipenuhi. Di samping itu, mereka harus mengawal diri mereka daripada sikap mengejar kebendaan atau hal-hal duniawi, sekalipun  kebendaan tertentu juga diperlukan mereka.   Sebab keutamaan diri kita mestilah berfokuskan Allah dalam segala yang kita lakukan setiap hari. Kita hendaklah mengetepikan kepentingan diri sendiri dan mengutamakan kepentingan orang lain. Janganlah hidup seperti orang di dunia ini yang sibuk mengejar pelbagai kebendaan  tanpa berasa puas dengan apa yang dimiliki mereka.   Biarlah kita mengutamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepada kita. Matius 6:33 AVB   Doa: Ya Bapa yang di syurga, berilah aku hati yang sentiasa bersyukur dan berserah kepada-Mu dalam segala perkara. Ajarlah aku untuk mengutamakan Engkau dalam setiap perkara yang aku lakukan. Terima kasih atas kebaikan-Mu selama aku hidup. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Hari 3: Untuk Mengajar

    Tarikh: 9 Ogos 2025 Ayat Fokus: Mazmur 25:12 Cikgu Musa selalu mengingatkan kelasnya, “Ini Malaysia. Minum lebih banyak air!” Dia berkata, “Cuaca panas, kamu berpeluh, jadi kamu perlu minum lebih banyak air!” Tetapi murid-muridnya tidak selalu mendengar nasihatnya. Inilah yang terjadi kepada Gimbang. Dia pengsan di sekolah dan dibawa ke hospital dengan ambulans. Rakan sekelasnya, Ah Ming, Adam, Charlotte, dan Suzie berasa takut. Gimbang mengalami dehidrasi dan mendapat jangkitan dada kerana kekurangan air. Apa yang doktor beritahu kepadanya? “Minum lebih banyak air!” Jadi, Gimbang perlu minum lebih banyak air setiap hari. Dia juga perlu banyak berehat selama beberapa minggu sehingga dia sembuh. Guru dan doktornya telah memberi arahan. Tetapi terpulang kepada murid murid dan pesakit itu untuk memilih  mahu mematuhinya atau tidak. Ini sama seperti berjalan dalam takut akan guru dan doktor. Ini akan membantu mereka memilih untuk minum lebih banyak air walaupun tiada siapa yang memerhatikan mereka. Begitu juga, apabila kita berjalan dalam takut akan Tuhan, kita akan memilih untuk taat kepada arahan-Nya. Dalam Alkitab, iaitu Firman Tuhan, kita menemui arahan-Nya. Ayat fokus hari ini memberitahu kita bahawa takut akan Tuhan mengajar kita jalan yang harus kita lalui. Kita mentaati kerana kita mengasihi dan menghormati Tuhan. Kita mentaati walaupun tiada siapa yang melihat kita. Inilah makna takut akan Tuhan. Sebagai pengikut Yesus, kita mempunyai Roh Kudus-Nya yang membantu kita untuk hidup dalam ketaatan ini setiap hari. Renungkan: Takut akan Tuhan mengajar kita. Doa Hari Ini: Tuhan Yesus, saya adalah pengikut-Mu. Terima kasih atas arahan-Mu yang kami temui dalam Alkitab. Terima kasih atas kasih dan penjagaan-Mu. Semoga kasih dan hormat saya kepada-Mu akan bertumbuh apabila saya memilih untuk mengikuti jalan-Mu. Amin. Gereja: Berdoalah agar kita mendengar Firman Tuhan dan melakukan apa yang berkenan kepada-Nya, seperti menghormati dan mematuhi ibu bapa kita, menghormati guru-guru, serta membantu rakan rakan kita. (Baca Ulangan 10:12; 13:4) Bangsa: Berdoalah agar kerajaan Malaysia tetap stabil dan mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakan usaha dalam menjadikan negara kita tempat yang lebih baik untuk didiami dan bekerja.

  • DOA NECF Hari 3: Berkat dalam Takut akan Tuhan

    Yesaya 11:2-5 Roh TUHAN akan ada padanya, roh hikmat dan pengertian, roh nasihat dan keperkasaan, roh pengenalan dan takut akan TUHAN; ya, kesenangannya ialah takut akan TUHAN. Ia tidak akan menghakimi dengan sekilas pandang saja atau menjatuhkan keputusan menurut kata orang. Tetapi ia akan menghakimi orang-orang lemah dengan keadilan, dan akan menjatuhkan keputusan terhadap orang-orang yang tertindas di negeri dengan kejujuran; ia akan menghajar bumi dengan perkataannya seperti dengan tongkat, dan dengan nafas mulutnya ia akan membunuh orang fasik. Ia tidak akan menyimpang dari kebenaran dan kesetiaan, seperti ikat pinggang tetap terikat pada pinggang. Takut akan Tuhan membawa kita berkat, termasuk kebijaksanaan, perlindungan, dan hubungan yang dekat dengan Dia, Tuhan kita yang perkasa. Bagi umat Tuhan yang berada di bawah syarat-syarat perjanjian ini, Pemazmur berkata, “…Berbahagialah orang yang takut akan TUHAN, yang sangat suka kepada segala perintah-Nya. Anak cucunya akan perkasa di bumi; angkatan orang benar akan diberkati. ” (Mazmur 112:1-2) Apabila kita takut akan Tuhan dan percaya bahawa Dia akan memenuhi janji-Nya untuk membebaskan kita daripada murka-Nya, kita akan diberkati. Dengan kedatangan Yesus Kristus, kita sebagai umat Tuhan akan memahami sepenuhnya betapa indahnya berkat-berkat yang timbul daripada rasa takut akan Tuhan. Kedua, berkat takut akan Tuhan ialah pengampunan dosa secara total. Kita yang dahulunya musuh Tuhan kini menjadi sahabat-Nya (lihat Rom 5:1-10). Ketiga, berkat takut akan Tuhan adalah janji umur yang panjang apabila kita mentaati perintah-perintah-Nya (lihat Amsal 20:27; Efesus 6:2-3.) Keempat, Dia akan membebaskan kita daripada ajaran sesat dan tipu daya Iblis (lihat 1 Yohanes 2:18-25.) Doa: ● Tuhan Yesus, tolonglah Gereja-Mu bertumbuh dalam iman dengan pengertian yang asli tentang berkat takut akan Tuhan. Kiranya kami terus bersatu, berdoa dan fokus kepada-Mu. Bawalah pertaubatan kebangsaan di mana orang-orang dari setiap suku, bangsa dan bahasa akan merendahkan diri dan berpaling dari jalan jahat mereka untuk meminta pengampunan daripada-Mu. Amin. ● GEREJA - Berdoa agar Gereja akan melayani Tuhan dengan segenap hati dan segenap jiwanya, peka kepada suaraNya, mentaati Firman-Nya dan melakukan kehendakNya. (Ulangan 10:12; 13:4) ● BANGSA - Berdoa agar Tuhan memberikan kestabilan politik kepada Malaysia dan agar pergolakan politik yang berlaku pada 2018 tidak akan berulang, agar kerajaan hari ini memberi tumpuan untuk memulihkan keadaan ekonomi dan sosial kita. Dr Henry Padin

  • Doa Puji Harian

    Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia

  • DOA NECF Hari 2: Takut akan Tuhan, Akui Hadirat-Nya dan Hormatilah Dia

    Takut akan Tuhan bermula dengan: (1) Mengakui hadirat-Nya sebelum masa dan segala sesuatu. Yesus Kristus adalah Alfa dan Omega, Yang Awal dan Yang Akhir (lihat Wahyu 1:8, 17). Di dalam Dia segala sesuatu ada, dan tanpa Dia tidak ada suatu pun yang telah dijadikan (lihat Yohanes 1:3; Kol. 1:17). Dia ada di mana-mana dan Dia mengetahui segala sesuatu. Kita diciptakan secara unik menurut gambar dan rupa-Nya untuk berhubungan dengan-Nya, menyembahNya dan melakukan kehendak-Nya (lihat Kejadian 1:26). Takut akan Tuhan membuat panggilan dan tujuan hidup kita menjadi jelas. (2) Menghormati-Nya dengan rasa hormat yang dalam dan kudus kerana Dia ialah sumber kehidupan dan keberadaan kita, Tuhan yang kudus dan benar yang penuh dengan kemuliaan. Dia menampakkan diri kepada Musa dari semak yang terbakar, dan Musa takut untuk melihat kemuliaan-Nya (lihat Keluaran 3:5,6). Dia menampakkan Diri di Gunung Sinai ketika Dia memberikan perintah-perintah-Nya, dan orang Israel tidak tahan mendengar suara-Nya (lihat Keluaran 19:16; 20:1819). Tuhan berkata dalam Imamat 11:44, “haruslah kamu kudus, sebab Aku ini kudus.” Ibrani 9:27 memberi tahu kita bahawa “Dan sama seperti manusia ditetapkan untuk mati hanya satu kali saja, dan sesudah itu dihakimi.” Penghakiman akan datang kepada semua orang dan kita akan menerima apa yang patut kepada kita untuk perkara yang dilakukan dalam tubuh, baik atau buruk (lihat Roma 14:10,12; 2 Kor.5:10). Di dalam Dia, tidak ada pilih kasih (lihat Ef.6:9; Kolose 3:25) (3) Berusaha untuk menguduskan hidup anda untuk hidup bagi-Nya dengan melakukan tiga perkara penting: (i) Menjaga tubuh kita (daging kita). Persembahkannya sebagai sesuatu yang bersih, kudus dan berkenan kepada Tuhan (lihat Roma 12:1), (ii) Menjaga jiwa kita tetap sihat dan sejahtera. Berubahlah dengan pembaharuan fikiran kita setiap hari (lihat Roma 12:2), dan (iii) Berjalan dalam dan dipimpin oleh Roh sehingga kita tidak akan mengikut keinginan daging kita (lihat Roma 8:14; Galatia 5:16). Jika kita menjaga diri kita - tubuh, jiwa dan roh - kuat dan sihat, kita akan menjaga diri kita dalam takut akan Tuhan, memungkinkan kita untuk melakukan kehendak-Nya. Doa: Ya Tuhan, tolonglah saya memahami takut Mu, bahawa Engkau kudus, benar dan penuh kemuliaan dan bahawa Engkau akan menghakimi setiap orang sesuai dengan perkara yang dilakukan dalam tubuh, baik atau buruk. Saya bertaubat daripada dosa-dosa saya ; saya menyerahkan tubuh saya, fikiran saya dan emosi saya kepada kuasa Roh Kudus sehingga saya dapat menjalani kehidupan yang dipenuhi Roh dan dipimpin oleh Roh. Dalam Nama Yesus, Amin. GEREJA - Berdoa agar Gereja akan belajar membenci kejahatan, kesombongan, keangkuhan dan kata-kata yang sesat dalam menanggapi perintahNya untuk takut kepada-Nya. (Amsal 8:13) BANGSA - Berdoalah agar Tuhan melindungi dan memberikan hikmat kepada organisasi-organisasi hak asasi manusia seperti HAKAM, SUHAKAM, dan Pusat KOMAS sehingga mereka dapat dengan bebas menyuarakan isu-isu dan keprihatinan kebangsaan berhubung dengan diskriminasi kaum dan nilai-nilai demokrasi. Berdoalah agar kerajaan Malaysia akan menerima nasihat atau cadangan yang akan bermanfaat bagi semua rakyat Malaysia. Dr Henry Padin

  • Kekhuatiran Tidak Dapat Melanjutkan Usia

    “Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir?” Lukas 12:25 AVB   Tuhan Yesus sekali lagi memperingatkan murid-murid-Nya tentang kekhuatiran yang  menjejaskan kesejahteraan hidup banyak orang, terutamanya kekhuatiran tentang keperluan jasmani sehari-hari mereka. Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka:   “Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai.  Hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian. Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir?”   Jelaslah bahawa Yesus menggesa setiap murid-Nya supaya tidak memberikan ruang sedikit pun  dalam hidup untuk dibebani oleh kekhuatiran. Sebab kekhuatiran tidak sekali-kali dapat mengubah keadaan seseorang ataupun memanjangkan umurnya  walaupun sesaat.   Oleh itu, mereka harus menyingkirkan segala kekhuatiran yang melanda hati mereka. Sebab setiap kekhuatiran yang timbul dalam hati mereka tidak dapat menghasilkan apa-apa pun yang baik bagi hidup mereka hari ini atau esok. Demikian juga kekhuatiran tidak dapat membantu mereka untuk memperoleh apa-apa pun yang diingini mereka. Dengan kata lain, kekhuatiran sebenarnya sia-sia sahaja.   Selain itu, kekhuatiran menyebabkan ketenangan dalam hati kita terganggu atau tergugat sehingga kita tidak dapat berfikir dengan baik. Jadi, lepaskanlah segala kekhuatiran dalam hati kita kepada Allah. Sebaliknya, simpanlah kebenaran firman Allah dalam hati kita. Sebab dengan tersematnya kebenaran firman Allah dalam hati, maka kita akan tetap percaya kepada Allah dan menjadi tenang serta damai sejahtera.   Usahlah khuatir…   Doa: Ya Bapa yang di syurga, tolonglah bebaskan aku daripada perasaan khuatir. Berilah aku hati yang sentiasa percaya dan berharap kepada-Mu dalam segala perkara. Aku insaf bahawa kekhuatiran hanya mendatangkan tekanan kepada jiwa dan tidak dapat melepaskan aku daripada masalah hidup ini. Ajarlah aku bersandar teguh kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Hari 2: Takut yang Benar & Salah

    Tarikh: 8 Ogos 2025 Ayat Fokus: Mazmur 25:12 dan Amsal 9:10 Ada banyak sebab mengapa orang mempunyai ketakutan. Ada yang takut harimau, dan itu baik kerana ia menghalang mereka daripada berkeliaran di dalam hutan. Ada yang takut perompak, jadi mereka mengunci pintu. Ada juga yang takut guruh dan kilat, jadi mereka menjauhi pokok dan tidak menggunakan payung supaya tidak disambar petir. Ini adalah ketakutan yang baik kerana ia memberi amaran tentang bahaya dan membantu menjaga keselamatan. Apabila kita berjalan dalam takut akan Tuhan, ini juga adalah ketakutan yang baik. Ini bermakna kita mengasihi Tuhan dengan sangat mendalam sehingga kita menghormati-Nya, mengagumi-Nya, mempercayai-Nya, dan memilih untuk taat kepada-Nya. Ini akan menjaga kita supaya tetap selamat Lebih daripada itu, berjalan dalam takut akan Tuhan akan membantu kita menjauhi dosa. Masih ingat tentang Adam dan Hawa di Taman Eden? Ketika mereka tidak taat kepada Allah, mereka menjadi takut kepada-Nya. Jika mereka mempunyai rasa takut yang benar kepada Allah, mereka akan bertaubat dan memohon pengampunan daripada-Nya. Sebaliknya, mereka lupa untuk menghormati Allah dan menjadi takut, lalu bersembunyi daripada-Nya. Ini adalah ketakutan yang salah. Alkitab berkata dalam Amsal 9:10: “Takut kepada TUHAN adalah permulaan hikmah.” Apabila kita berjalan di jalan menuju hikmah, kita akan hidup dalam takut akan Tuhan. Kita juga akan diberkati dan dibimbing dalam jalan yang harus kita pilih. Inilah rasa takut yang benar. Renungkan: Takut akan Tuhan menunjukkan kekaguman kita terhadap-Nya. Doa Hari Ini: Bapa yang di syurga, Engkaulah satu-satunya Allah yang sungguh menakjubkan. Kepada-Mu saya menaruh kepercayaan saya. Engkaulah yang saya pilih untuk taati. Tolong bimbing saya di jalan menuju hikmah. Saya juga memilih untuk lebih menghormati Engkau dalam hidup saya apabila saya berjalan dalam takut akan Engkau. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin. Gereja: Berdoalah agar kita tidak memikirkan atau mengucapkan kata-kata yang kasar atau cemburu, tetapi sebaliknya berbuat baik serta bertutur dengan sopan dan lemah lembut kepada orang lain. (Baca Amsal 8:13) Bangsa: Berdoalah agar Tuhan melindungi mereka yang bersuara demi hak orang miskin dan yang memerlukan, kiranya kerajaan mendengar cadangan mereka untuk memperbaiki kehidupan golongan yang kurang bernasib baik ini.

  • Doa Permohonan dan Syafaat

    Doa permohonan ialah doa untuk keperluan diri sendiri, manakala doa syafaat ialah doa yang kita panjatkan untuk orang lain. Dalam doa ini, kita membawa isi hati kita kepada Tuhan sama ada dalam kesusahan, kebimbangan, atau harapan dan kita juga menjadi penyambung kasih Tuhan kepada orang lain melalui doa. Tuhan sangat mengasihi kita dan ingin kita bercakap dengan-Nya tentang apa sahaja. Bila kita perlukan kekuatan, hikmat, penyembuhan, atau jawapan kita boleh datang kepada-Nya. Dan bukan itu sahaja kita juga boleh berdoa untuk orang lain seperti keluarga, rakan, bangsa, atau sesiapa yang sedang dalam kesusahan. Doa permohonan: “Tuhan, tolong aku yang sedang lemah.” Doa syafaat: “Tuhan, tolong sahabatku yang sedang sakit.” Filipi 4:6 (AVB) "Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah." Tuhan mahu kita datang kepada-Nya dalam segala perkara besar atau kecil. Dia sudi mendengar dan bertindak pada waktunya. Mengapa Doa Permohonan dan Syafaat Penting? Menunjukkan kebergantungan kita kepada Tuhan Kita tidak mampu buat semuanya sendiri. Doa ialah pengakuan bahawa kita memerlukan pertolongan Tuhan setiap hari. Menjadi saluran berkat kepada orang lain Apabila kita mendoakan orang lain, kita menjadi perantara kasih Tuhan dalam hidup mereka. Membentuk hati yang peka dan penyayang Doa syafaat menjadikan kita lebih prihatin terhadap keperluan orang di sekeliling kita, dan tidak hidup untuk diri sendiri sahaja. Kadang-kadang kita terlalu sibuk hingga lupa berdoa, atau kita rasa malu untuk meminta. Tetapi Tuhan tidak pernah jemu mendengar. Dia mengasihi kita, dan mahu kita datang kepada-Nya dalam setiap keadaan. 1 Timotius 2:1 (AVB) "Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dinaikkan untuk semua manusia" Soalan untuk direnungkan: Adakah aku bergantung kepada Tuhan dalam segala perkara melalui doa? Siapakah yang perlu aku doakan hari ini? Doa Bimbingan "Ya Tuhan, Bapa yang penuh kasih, Aku datang kepada-Mu hari ini kerana hanya Engkaulah sumber kekuatan dan pengharapanku. Dalam kelemahan dan kebimbangan, aku memohon hikmat dan ketenangan-Mu agar aku dapat membuat keputusan dengan bijaksana dan seturut kehendak-Mu. Tuhan, aku juga menyerahkan ayahku ke dalam tangan-Mu. Jamahlah tubuhnya dengan kuasa-Mu yang menyembuhkan, dan penuhilah hatinya dengan pengharapan dan damai sejahtera dari-Mu. Aku percaya, Tuhan, bahawa Engkau mendengar setiap seruanku dan Engkau akan menjawab dengan cara dan waktu yang terbaik menurut rancangan-Mu. Terima kasih atas kasih setia-Mu yang tidak pernah gagal. Dalam nama Yesus, aku berdoa. Amin."

bottom of page