Support Us
Support Us
Cari
3262 results found with an empty search
- Carilah demi Mendapatnya
“Oleh itu, Aku berkata kepada kamu: Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.” Lukas 11:9 AVB Tuhan Yesus bukan sahaja mengajar para murid-Nya untuk berdoa meminta sesuatu tetapi Dia juga mengajar mereka supaya “mencarinya” kerana meminta sahaja tidak cukup untuk mendapat apa yang dikehendaki mereka tetapi ia harus disertai dengan usaha “mencari”. Mencari juga haruslah daripada Allah dan bukan dari tempat lain. Mereka harus mencarinya daripada Allah sebagai Bapa mereka. Dialah tempat mereka harus datang dan menyatakan segala yang diperlukan dalam hidup mereka. Sesungguhnya, pengikut-pengikut Tuhan Yesus harus datang mencari segala sesuatu yang diperlukan mereka daripada Bapa yang di syurga. Dengan memohon daripada Allah, maka mereka akan mendapat apa yang diminta dan diperlukan mereka dalam hidup mereka. Mencari bererti mereka harus terus berusaha mendapatkannya tanpa berasa jemu sehinggalah mereka memperolehnya atau menemukannya. Berkat ketekunan dan kegigihan untuk mencari, maka mereka akan berhasil dalam segala urusan mereka. Yakinlah bahawa Dia sebagai Bapa kita yang maha tahu, maha berkuasa dan maha pemurah pasti akan memenuhi apa yang sedang kita cari dalam hidup ini. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar Engkau meneguhkan hatiku untuk terus mencari sehingga mendapat segala yang aku perlukan dalam hidup ini tanpa mengenal lelah atau jemu. Ajarlah aku untuk tetap menaruh harapan kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Mintalah daripada Allah
“Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Mintalah dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.” Lukas 11:9 AVB Tuhan Yesus telah mengajar para murid-Nya supaya berdoa memohon keperluan jasmani yang secukupnya, pengampunan dan perlindungan daripada Bapa yang di syurga. Dia mengajar mereka tentang pentingnya berdoa kepada Allah demi kesejahteraan diri mereka. Kelihatan Tuhan Yesus mengajar mereka untuk meminta daripada Allah. Walaupun Allah sesungguhnya mengetahui apa yang diperlukan mereka, tetapi mereka masih harus meminta apa yang diperlukan daripada-Nya secara peribadi bagi diri mereka. Sebab Allah memberi mereka kebebasan untuk bertindak bagi diri mereka. Dengan itu, mereka harus meminta daripada Allah secara peribadi tentang keperluan mereka. Sebab hubungan mereka dengan Allah adalah seperti hubungan anak dengan bapa. Apabila si anak meminta sesuatu daripada bapanya, si bapa pasti akan memberikannya. Begitu juga hubungan mereka dengan Allah sebagai Bapa mereka. Sememangnya apabila mereka meminta sesuatu, maka Dia sebagai Bapa yang baik tentu akan mengabulkan permintaan mereka. Kesimpulannya, marilah kita menyampaikan segala keperluan kita kepada Allah yang menjadi Bapa kita. Dialah Bapa yang mengenal hati kita dan tahu memberikan yang terbaik bagi diri kita. Oleh itu, janganlah sesekali ragu-ragu atau jemu datang memohon pertolongan daripada-Nya yang maha berkuasa. Dia sebagai Bapa kita yang baik pasti akan memenuhi permintaan kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku memohon agar Engkau terus mengajar aku untuk datang kepada-Mu dalam segala perkara. Aku tahu bahawa Engkau Tuhan Allah yang baik dan mengenal hatiku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Mohon Pertolongan Tuhan daripada Godaan
‘ janganlah biarkan kami tergoda.’ Lukas 11:4b AVB Setelah memohon pengampunan daripada Allah atas segala dosa mereka dan juga mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap mereka, Tuhan Yesus seterusnya mengajar para murid-Nya untuk memohon agar Allah melepaskan mereka daripada godaan yang akan ditempuhi. Oleh itu, Yesus memberitahu murid-murid-Nya supaya mereka berdoa kepada Bapa yang di syurga agar janganlah membiarkan mereka kehilangan iman ketika digoda atau dicubai tetapi menyelamatkan mereka daripada yang jahat. Yesus mengajar mereka untuk memohon agar mereka tidak dibiarkan tergoda. Permohonan ini sememangnya memperingatkan murid-murid-Nya betapa diri mereka cenderung tertarik dengan godaan-godaan dunia ini. Jelaslah bahawa mereka memerlukan pertolongan dan campur tangan Allah untuk membimbing hidup mereka setiap hari agar mereka tidak tergoda. Alangkah pentingnya mereka membiarkan Roh Kudus sepenuhnya mengendalikan seluruh hidup mereka setiap hari agar mereka tetap beriman lagi kuat sewaktu menghadapi godaan atau cubaan. Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Selagi kita hidup di dunia, kita memerlukan perlindungan dan bimbingan daripada Allah untuk menolong kita tidak menyerah kalah kepada bermacam-macam godaan, cubaan, dan masalah hidup yang dapat menggoyahkan iman kita. Doa: Ya Tuhan Yesus, aku mengakui bahawa aku seorang yang lemah dan memerlukan pertolongan-Mu. Aku memohon agar Engkau melindungi dan menjauhkan diriku daripada segala godaan dunia ini. Dalam nama-Mu aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Mengakui Dosa dan Mengampuni Orang yang Bersalah Terhadap Kita
‘ Ampunkanlah dosa kami, sebagaimana kami mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami;’ Lukas 11:4a AVB Setelah memohon keperluan jasmani mereka dipenuhi, Tuhan Yesus mengajar murid-murid-Nya untuk memohon pengampunan daripada Allah atas setiap dosa mereka dan juga mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap mereka. Memohon pengampunan daripada Allah atas setiap kesalahan mereka bukanlah tindakan yang dilakukan sekali sahaja tetapi tindakan ini harus dilakukan setiap hari ketika mereka datang ke hadirat Allah dalam doa mereka. Sebab sifat tabii mereka sering kali membuat mereka mudah berdosa. Oleh itu, mereka harus memohon pengampunan daripada Allah setiap hari . Yesus memanggil semua murid-Nya supaya mengakui dosa mereka setiap hari. Dengan membuat pengakuan kepada Allah, Dia akan mengampuni mereka dan menyucikan mereka daripada segala dosa mereka. Sesungguhnya, demi menerima pengampunan atas dosa, setiap orang yang percaya kepada Tuhan Yesus harus mengakui dosanya. Sebagai pengikut Tuhan Yesus, kita juga diajar-Nya untuk mengampuni mereka yang berdosa terhadap diri kita. Kesimpulannya, akuilah dosa kita di hadapan Allah untuk diampuni-Nya. Ampunilah mereka yang bersalah terhadap kita memandangkan kita sendiri telah mengalami pengampunan dan belas kasihan Allah. Doa: Ya Tuhan Yesus, aku seorang yang berdosa. Ampunilah aku atas segala dosaku. Tolonglah aku pula untuk mengampuni mereka yang bersalah terhadapku. Dalam nama-Mu aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Mintalah apa yang kita Perlukan daripada Allah
‘Berilah kami makanan setiap hari;’ Lukas 11:3 AVB Setelah Tuhan Yesus mengajar para murid-Nya memulakan doa mereka dengan pujian kepada Allah sebagai Bapa mereka yang harus dihormati sebagai Allah yang kudus, khususnya sebagai yang paling suci, paling bernilai dan paling mulia dalam hidup semua orang. Yesus seterusnya mengajar murid-murid-Nya untuk memohon kepada Bapa agar memberi mereka makanan yang secukupnya setiap hari. Hal ini memberitahu kita bahawa keperluan jasmani kita merupakan sesuatu yang sangat penting untuk dipenuhi. Mereka hendaklah bergantung sepenuhnya kepada Allah untuk memenuhi semua keperluan mereka. Oleh itu, murid-murid-Nya diajar meminta daripada Bapa untuk menyediakan segala keperluan jasmani mereka setiap hari. Dengan kata lain, segala keperluan harian mereka ini dapat dipuaskan melalui pemeliharaan Allah dan usaha manusia. Sebenarnya, Tuhan Yesus ingin memberitahu para murid-Nya bahawa keperluan jasmani mereka tidak dipandang ringan oleh Allah Bapa kerana sewaktu Yesus mengajar mereka berdoa, perkara kedua yang dikemukakan oleh-Nya adalah untuk meminta Allah memenuhi keperluan jasmani mereka. Janganlah lupa untuk meminta Bapa yang di syurga memenuhi keperluan jasmani kita, tetapi pada masa yang sama kita sendiri juga perlu berusaha untuk memperolehnya. Allah akan menghujani kita dengan “ roti dari langit” tetapi kita harus keluar untuk memungut secukupnya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku memanjatkan kesyukuran kerana Engkau Allah yang sentiasa memenuhi segala keperluan jasmaniku. Apabila aku datang kepada-Mu dan meminta daripada-Mu, Engkau yang pengasih dan pemurah akan memenuhi segala yang aku perlukan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Allah itu "Bapa" Kita
Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu berdoa, katakanlah: ‘Ya Bapa, Sucilah Nama-Mu; Datanglah kerajaan-Mu; ’ ” Lukas 11:2 AVB Ketika Tuhan Yesus mengajar para murid-Nya bagaimana berdoa, Dia berkata, “Berdoalah demikian: ‘Ya Bapa kami yang di syurga, sucilah nama-Mu. Datanglah kerajaan-Mu. Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga.’ ” Petikan Matius 6:9-10 ini adalah lebih terperinci sedikit berbanding dengan Lukas 11:2 di atas. Yesus mahu mengajar murid-murid-Nya pentingnya Allah dalam hidup mereka kerana Dia haruslah diutamakan. Mereka harus berdoa agar nama Bapa diagungkan dan dihormati oleh semua orang sebagai Allah yang kudus, khususnya sebagai yang paling suci, paling bernilai dan paling mulia dalam hidup mereka. Pada hakikatnya hidup mereka tidak ada nilai sekiranya nama Allah Bapa tidak sesungguh-sungguhnya dihargai dalam hidup mereka. Setiap mereka hendaklah mengisytiharkan nama Allah itu suci, meninggikan-Nya dan mengaku kebesaran-Nya. Doa memperlihatkan ikatan hubungan peribadi seseorang dengan Allah sehingga dia terus bertumbuh secara rohani. Seorang Kristian memiliki hubungan peribadi dengan Allah Bapa yang menjaganya dengan penuh kasih sayang. Itulah sebabnya Tuhan Yesus memanggil Allah sebagai Bapa-Nya, tanda hubungan mereka yang akrab. Jadi, Yesus turut mengajar para murid-Nya berdoa dengan menyebut Allah sebagai Bapa mereka yang di syurga kerana mereka sebenarnya anak Allah. Biarlah kerajaan-Nya datang dan Dia memerintah sebagai Raja dalam hidup mereka. Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana menjadi Allah dan Bapa bagi hidupku hari ini. Engkau Tuhan yang tidak jauh daripadaku tetapi sentiasa dekat dalam hidupku. Ajarlah aku untuk berjalan akrab dengan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Yesus Mengajar Para Murid-Nya Berdoa
... seorang daripada murid-Nya berkata, “Tuhan, ajarlah kami berdoa seperti Yohanes mengajar murid-muridnya.” Lukas 11:1b AVB Setelah Yesus selasai berdoa, salah seorang murid-Nya datang berkata kepada-Nya, "Tuhan, ajarlah kami berdoa seperti Yohanes mengajar murid-muridnya." Murid Yesus itu memohon agar Dia mengajar mereka berdoa sebagaimana yang diajarkan Yohanes Pembaptis kepada murid-muridnya. Yohanes telah mengajar murid-muridnya untuk melakukan kewajiban yang sangat penting bagi diri mereka. Doa yang diajarkan Yohanes kepada murid-muridnya berisikan permohonan dan permintaan. Dalam Lukas 5:33 ada orang memberitahu Yesus bahawa murid-murid Yohanes Pembaptis kerap kali berpuasa dan berdoa. Demikian juga murid-murid orang Farisi tetapi murid-murid-Nya terus makan dan minum sahaja. Setelah mendengar permintaan murid-Nya itu, Yesus pun mengajar mereka satu doa yang intinya mengisytiharkan kebesaran Allah dan memanjatkan permohonan. Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita meminta Allah untuk mengajar kita baik perkara besar mahupun kecil dalam hidup kita? Dia Allah yang penuh kasih dan murah hati pasti akan mengabulkan apa yang kita minta daripada-Nya. Apakah yang anda minta Allah ajarkan selama ini? Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar Engkau mengajar aku untuk tekun berdoa dan melayani-Mu dengan lebih baik dari hari ke hari. Aku mahu menjadi hamba-Mu yang sentiasa melayani dengan hati yang berpaut sepenuhnya pada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie











