Support Us
Support Us
Cari
3262 results found with an empty search
- Muka Bahagia
Jane suka tolong ibunya buat biskut berbentuk orang. Dia rasa sangat seronok bila buat biskut itu. Jane buat satu orang biskut yang comel dan letak senyuman besar di muka biskut itu. Bagaimana dengan kamu hari ini? Adakah kamu pakai senyuman gembira? Senyuman di muka menunjukkan hati kita pun gembira. Tuhan beri kita banyak sebab untuk gembira. Dia sayang kita. Dia jaga kita. Dan Dia juga kawan kita. Tuhan boleh bantu kita rasa gembira di luar dan dalam hati. Ayat Alkitab: Hati yang gembira membuat wajah ceria. Amsal 15:13 Doa saya: Tolonglah saya, Tuhan, untuk bergembira hari ini semasa saya bekerja dan bermain.
- Yesus Pendoa
Yesus berdoa di suatu tempat dan setelah Dia berhenti, seorang daripada murid-Nya berkata, “Tuhan, ajarlah kami berdoa seperti Yohanes mengajar murid-muridnya.” Lukas 11:1 AVB Pada suatu hari Tuhan Yesus pergi ke tempat yang sunyi untuk berdoa. Setelah Dia selesai berdoa, salah seorang murid-Nya datang kepada-Nya lalu dia berkata kepada Tuhan Yesus, “Tuhan, ajarlah kami berdoa seperti Yohanes mengajar murid-muridnya.” Secara peribadi Yesus seorang pendoa kerana Dia sering kali meluangkan masa-Nya untuk berdoa bersendirian di-tempat-tempat yang sunyi. Doa merupakan kebiasaan penting yang diamalkan Yesus dalam hidup-Nya setiap hari. Walaupun Dia sangat sibuk dalam pelayanan-Nya tetapi Dia tidak akan lupa untuk melapangkan masa-Nya secara peribadi di tempat-tempat yang sunyi demi berdoa kepada Bapa-Nya. Yesus merupakan suri teladan yang sangat baik untuk kita ikuti dalam hidup ini kerana Dia tetap meluangkan masa-Nya untuk berdoa bersendirian tidak kira sesibuk mana pun Dia dalam pelayanan. Memang Dia akan mencari tempat yang sunyi untuk berdoa seorang diri. Dia kerap naik ke bukit atau gunung untuk berdoa semalam-malaman kepada Bapa-Nya. Bagaimanakah dengan diri anda pada hari ini? Apakah anda seorang pendoa, seorang yang sentiasa melapangkan masanya untuk berakrab dengan Tuhan Yesus secara peribadi. Doa bagaikan nafas kita kerana jika kita berhenti bernafas, kita akan mati. Demikian juga dengan hidup rohani kita jika kita tidak berdoa kepada Bapa kita yang di syurga. Ingatlah bahawa jika doa begitu penting bagi Tuhan Yesus, apatah lagi kita! Oleh itu, jadilah pendoa yang setia dalam hidup ini. Doa: Ya Bapa yang di syurga, jadikanlah aku seorang pendoa. Tolonglah aku supaya terus mengutamakan masa untuk berdoa kepada-Mu dan sentiasa ingin berakrab dengan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Maria Memilih Perkara Baik
“Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maria telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.” Lukas 10:42 AVB Setelah Yesus menegur sikap Marta, Dia memperingatkannya tentang perkara yang sangat penting bagi hidupnya. Sambil membuat perbandingan antara Marta dengan Maria, Yesus berkata kepada Marta bahawa Maria telah membuat pilihan yang terbaik bagi dirinya, yang tidak akan diambil daripadanya oleh sesiapa pun. Maria duduk dengan tenangnya di kaki Tuhan Yesus demi mendengar ajaran-Nya dengan sepenuh hati. Maria hanya menumpukan seluruh perhatiannya kepada kata-kata Tuhan Yesus tanpa mempedulikan hal-hal lain. Dengan segenap jiwa raga dia mendengar kata-kata Tuhan Yesus. Pendek kata, dia langsung tidak mahu ketinggalan satu patah kata pun yang disampaikan oleh Tuhan Yesus. Perkara ini merupakan yang terbaik bagi Maria kerana dia telah memilih untuk mengabdikan diri dengan sepenuh hati kepada Tuhan Yesus. Maria tidak menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang tidak penting dalam hidup. Dia cuma menyibukkan diri untuk mendengar Firman Tuhan. Nyatalah bahawa kita harus bijak menghadapi segala perkara dalam hidup ini agar kita tidak sesal pada hari akan datang atas pilihan atau keputusan yang kita buat. Sesungguhnya, kita harus mengenal pasti apa yang terbaik bagi hidup kita hari ini agar kita tidak menyesali tindakan kita kemudian hari. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menjadi bijak dalam hidupku dan mengenal pasti apa yang baik untuk hidupku agar pada suatu hari nanti aku tidak menyesali pilihan atau keputusan yang telah aku buat. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Kasih kepada Tuhan sebagai Pendorong Hidup
Tuhan menjawab, “Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara.” Lukas 10:41 AVB Tuhan Yesus menegur Marta kerana dia telah menjadikan dirinya sangat khuatir selain menyusahkan diri sendiri dengan terlalu banyak perkara. Akibatnya, dia muram dan sangat keletihan lalu dia mula merungut tentang semua kerja yang dilakukannya untuk melayani para tetamu. Menjadi sibuk dalam pelayanan bukanlah sesuatu yang salah atau yang menyebabkan kita berdosa. Sebenarnya, apa yang menyebabkan kita berdosa ialah apabila kita mula mengeluh dan bersungut-sungut terhadap tugas kita. Oleh itu, kita haruslah bijak dalam segala perkara yang kita lakukan dalam hidup kita pada hari ini. Kita hendaklah berusaha untuk tidak menjadi batu sandungan kepada orang lain atau berdosa atas sikap negatif kita. Biarlah kita menjadi orang Kristian yang seimbang dalam hidup ini dan makin hari makin mengasihi Tuhan Yesus. Kita janganlah keterlaluan atau berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara sehingga kita berkeluh-kesah dan bersungut-sungut kerana tidak ada orang menolong kita. Tegasnya, jadilah bijak dan jangan mengikut perasaan ketika melakukan sesuatu. Biarlah kasih kepada Tuhan menjadi pendorong utama dalam semua tindakan kita. Sebab kasih kepada Tuhan akan mengelakkan kita daripada bersungut-sungut apabila melakukan sesuatu. Doa: Ya Bapa yang di syurga, penuhilah aku dengan kasih-Mu agar setiap perbuatanku akan memuliakan nama-Mu. Ajarlah aku untuk melakukan segala perkara dengan penuh sukacita dan damai sejahtera tanpa bersungut-sungut. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Marta Gelisah Membuat Banyak Kerja
Tetapi Marta pula sibuk melayani mereka. Marta menghampiri Yesus dan berkata, “Tuhan, tidakkah Engkau peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.” Lukas 10:40 AVB Sewaktu Yesus dan murid-murid-Nya masuk ke dalam rumah Marta, dia bersibuk-sibuk membuat banyak persiapan untuk melayani semua orang yang datang bersama-sama Yesus dengan baik. Kesannya, dia menjadi letih dan khuatir lalu mengeluh kerana terlalu banyak kerja yang harus dibereskannya. Marta juga tidak senang hati lalu bersungut kerana Maria adiknya tidak menolongnya untuk membuat apa-apa kerja. Dia pun datang kepada Yesus dan berkata, “Tuhan, tidakkah Engkau peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.” Apabila mendengar keluhan hati Marta, Yesus pun menasihatinya dengan berkata, “Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara. Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maria telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.” Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita mengeluh kerana terdapat banyak kerja yang harus kita siapkan lalu kita sangka bahawa tidak ada orang yang mempedulikan jerih payah kita? Oleh itu, marilah kita melakukan segala perkara demi Tuhan Yesus dengan lapang hati dan penuh sukacita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk melakukan segala pekerjaanku dengan lapang hati dan penuh sukacita. Ampunilah aku sekiranya aku mengeluh atau bersungut-sungut ketika menyempurnakan pekerjaan-Mu. Ubahlah sikapku dan pakailah aku untuk terus giat melakukan pekerjaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie












