Apabila Pelayanan Menjadi Identiti, Bukan Panggilan
- 13 minutes ago
- 2 min read

Marilah kepada-Ku… Aku akan memberi kelegaan kepadamu. — Matius 11:28
Dalam perjalanan pelayanan, ada satu musim di mana jadual sentiasa penuh, lawatan lapangan, mesyuarat, laporan, dan pelbagai keperluan pelayanan. Secara luaran semuanya kelihatan baik. Pelayanan berjalan, program terlaksana, dan banyak perkara selesai.
Namun dalam diam saya sedar sesuatu: saya banyak bercakap tentang Tuhan, tetapi semakin kurang duduk diam di hadapan Tuhan.
Saya masih berdoa, tetapi doa saya mula dipenuhi senarai perkara yang perlu diselesaikan. Saya masih membaca Firman, tetapi sering untuk persediaan pelayanan, bukan untuk membiarkan Firman itu membentuk hati saya.
Pada satu titik, saya merasa letih secara rohani bukan kerana kerja terlalu banyak, tetapi kerana hubungan saya dengan Tuhan tidak lagi menjadi sumber utama kekuatan.
Di situlah saya benar-benar memahami bahawa pelayanan boleh menjadi identiti tanpa kita sedar, sedangkan ia sepatutnya hanya menjadi buah daripada hubungan kita dengan Tuhan.
Firman dalam Matius 11:28 menjadi sangat peribadi bagi saya: kita dipanggil datang kepada-Nya terlebih dahulu, bukan kepada tugas.
Sejak itu saya mula membuat perubahan kecil tetapi sangat bermakna: saya belajar meluangkan masa bersama Tuhan tanpa agenda pelayanan hanya untuk berdiam, berdoa, dan membiarkan hati saya dipulihkan.
Menariknya, apabila hubungan dengan Tuhan dipulihkan, pelayanan tidak menjadi beban tetapi kembali menjadi sukacita.
Pelajaran ringkas yang saya pelajari
1. Pelayanan bukan ukuran kedewasaan rohani tetapi melalui keintiman kita dengan Tuhan.
2. Kesibukan rohani tidak sama dengan kesegaran rohani.
3. Masa bersama Tuhan bukan persiapan untuk pelayanan ia adalah keperluan jiwa.
Tetapkan masa harian bersama Tuhan tanpa membawa senarai tugas. Tanyakan diri secara jujur: Adakah saya lebih sibuk bekerja untuk Tuhan daripada berjalan dengan Tuhan?
Ingat bahawa identiti kita adalah anak Tuhan terlebih dahulu, pelayan kemudian.
Apabila hubungan dengan Tuhan menjadi pusat, pelayanan akan mengalir secara semula jadi. Tetapi apabila pelayanan menjadi identiti, keletihan rohani pasti datang.
Datanglah kepada-Nya dahulu di situlah kekuatan, kelegaan, dan sukacita dipulihkan.
Oleh Pr Jerry Ignacio
Sumber : Whatsapp Channel @ jerry ignacio




Comments